Categories
SELANGOR

Khidmat trem mudahkan pelancong ke Bukit Melawati

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 7 FEB: Perlahan-lahan gerabak trem mendaki satu-satunya laluan ke puncak Bukit Melawati membawa bersamanya pelancong yang tidak sabar ingin menikmati panorama di kubu tua itu.

Dengan warna ceria merah-kuning dan reka bentuk yang unik, trem beroda Bukit Melawati tampak comel dan menjadi tarikan yang dinantikan pengunjung.

IMG_1298Trip pendakian menaiki trem itu mengambil masa 30 minit dengan dua gerabaknya mampu membawa 45 penumpang dalam satu masa.

Dengan tekun tiga trem yang disediakan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) itu bergilir-gilir mengambil dan menurunkan penumpang.

Melihat atur cara pakej yang disediakan, pengendali trem, iaitu MDKS sememangnya ingin memastikan kunjungan anda ke Bukit Melawati sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Selepas menyelusuri warisan sejarah Bukit Melawati dan melewati gerombolan Lotong Kelabu (trachypithecus cristatus) yang melata, trem MDKS itu turut membawa mereka ke Taman Ikan Air Tawar yang terletak tidak jauh dari bukit bersejarah itu.

Kemas kini maklumat yang kami terima sebelum ini, perkhidmatan trem berkenaan beroperasi setiap hujung minggu dan cuti umum dengan tambang yang masih berpatutan iaitu RM5 bagi orang dewasa dan RM3 kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga 12 tahun.

-NFN-