Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kongres tolak Jawi mungkin undang tindak balas

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran mengenai akibat sekiranya kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong meneruskan kongres yang dirancang berhubung pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Perdana Menteri berkata, ia mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga menganjurkan kongres mereka bagi membincangkan usaha menutup sekolah-sekolah vernakular Cina.

Bercakap kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa dalam negara berbilang kaum ini, apa yang penting adalah bagi setiap pihak bertimbang rasa terhadap sentimen pihak lain.

Ditanya sama ada kongres itu perlu dihentikan, Dr Mahathir yang juga pengerusi Sidang Kemuncak KL menjawab: “Ini negara bebas, negara yang membenarkan kebebasan bersuara.

“Tapi kita juga perlu sensitif terhadap kaum lain yang tinggal di negara ini. Jika anda mula buat serangan terhadap kaum lain, atau melanggar perlembagaan negara, akhirnya ia akan mengakibatkan huru-hara, ketidakstabilan, dan semua orang menjadi miskin, dan akhirnya kita akan lihat ramai rakyat Malaysia berhijrah ke negara lain.

Dr Mahathir turut memberi amaran mengenai kesan sekiranya orang ramai mulai bergaduh antara satu sama lain.

“Jika anda buat perkara ini, sama seperti banyak negara-negara lain, mereka akan bawa pergaduhan ini ke jalanan, bergaduh sesama sendiri, baling gas pemedih mata dan sebagainya. Jika anda mahu Malaysia jadi seperti itu, teruskanlah,” kata Perdana Menteri.

Walaupun mendapat bantahan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, bulan lepas Mahkamah Tinggi di George Town memutuskan bahawa pengajaran tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, dan boleh diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya tekap, sambung titik, tiru semula sahaja

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Tekap, sambung titik pada huruf jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat, hanya itu yang perlu dilakukan oleh murid Tahun Empat termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) apabila tulisan khat diperkenalkan sebagai antara kandungan subjek Bahasa Melayu tahun depan.

Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr S Vijayaletchumy berkata, perkara itu hanya akan diajar empat kali setahun dalam tempoh 10 minit terakhir sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa sesi pengajaran Bahasa Melayu.

Vijayaletchumy yang merupakan antara ahli panel terlibat dalam menggubal kurikulum itu turut menegaskan untuk sesi pembelajaran itu, lima hingga enam aksara daripada tulisan jawi sahaja yang akan diperkenalkan kepada murid.

“Masyarakat serta pihak tertentu sebenarnya sudah salah faham atau keliru antara tulisan jawi dengan tulisan khat. Ia merupakan perkara yang berbeza.

“Tulisan jawi merupakan tulisan rasmi manakala tulisan khat merupakan salah satu aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam Bahasa Melayu yang melibatkan tulisan jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan seni khat dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan Bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri… yang diajar adalah seni khat dan bukan tulisan jawi, jadi ia merupakan salah faham,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di UPM, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa murid SJKC dan SJKT tidak perlu risau kerana ia tidak langsung melibatkan pembelajaran berunsur agama Islam kerana khat hanyalah seni kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 yang menimbulkan polemik dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu termasuk 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil di negara ini.

Menjelas tentang perkara itu, Vijayaletchumy berkata, pembelajaran Bahasa Melayu mempunyai lima bahagian penting iaitu melibatkan tiga kemahiran (mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis) dua lagi merupakan aspek tatabahasa serta seni bahasa.

“Pengajaran seni khat ini merupakan terkandung dalam seni bahasa dan ia tidak akan dinilai sama sekali dalam penilaian pencapaian murid. Hal ini telah dinyatakan secara jelas dalam Dokumen Standad Kurikulum Pendidikan (DSKP).

“Murid akan belajar perkara ini secara santai dan ia adalah unsur tambahan sahaja. Ini juga merupakan psikomotor sebab seni tulisan khat ini akan memerlukan murid untuk memanjangkan tulisan ke kiri, ke kanan ke bawah dan sebagainya.

“Ia juga baik untuk minda kerana murid juga akan lebih seronok dan santai untuk belajar disebabkan tidak ada tekanan untuk mereka diuji dan lulus membolehkan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan lebih baik,” katanya.

Dalam masa yang sama pengenalan pembelajaran seni khat itu juga katanya tidak akan menyebabkan berlaku pertambahan guru di sekolah kerana ia akan menggunakan tenaga pengajar yang sedia ada.

Selain itu, ibu bapa tidak perlu risau tentang soal kos kerana semua alatan yang akan digunakan pembelajaran itu akan ditanggung oleh pihak kementerian.

Sehubungan itu, beliau juga berharap isu ini tidak terus dipolitikkan untuk kebaikan generasi akan datang, tambahan lagi kurikulum yang diperkenalkan oleh kerajaan ini telah dibincang dengan teliti dan disepakati lebih 30 ahli bahasa, guru sekolah SJKT dan SJKC yang terlibat dalam panel khas berkenaan. – BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tulisan khat dalam bahasa Melayu murid Tahun Empat kekal

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan.

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pihaknya mengambil maklum pelbagai respons terhadap isu itu namun perancangan pengenalannya telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014.

Usaha itu juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan.

“Sehubungan itu, KPM akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru,” menurut kenyataan itu.

KPM turut menjelaskan selain terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia, tulisan khat adalah warisan Bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

KPM komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan, katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular tahun hadapan. – BERNAMA