Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Mesyuarat bincang kabinet esok

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 10 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, mesyuarat bagi membincangkan ahli kabinet Malaysia akan diadakan, esok.

Katanya, mesyuarat diantara pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu turut membabitkan pemilihan parti komponen, dalam barisan kabinet.

“Kita akan bahagi barisan kabinet mengikut parti dengan seadilnya.

“Perbincangan ini akan berlangsung agak lama, namun ia perlu diselesaikan segera bagi membentuk kerajaan,” katanya ketika sidang media di Hotel Sheraton, di sini, hari ini.

Tun Dr Mahathir turut memberitahu, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk merombak ketua jabatan yang dipercayai bersifat kleptokrat.

“Namun, sebagai pemimpin yang sudah berpengalaman selama 22 tahun, sudah tentu negara ini akan ditadbir mengikut undang-undang yang sah,” katanya.

Sidang media pertama Tun Dr Mahathir selepas diisytihar Perdana Menteri itu turut dihadiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Categories
RENCANA

Perdana Menteri ke-7: Bapa sejarah baru negara

OLEH NAEEM RAFFI

EPISOD penuh dramatik lagi bersejarah buat negara tercinta saat menanti pelantikan rasmi Perdana Menteri ke-7 Malaysia yang berlangsung sempurna dalam satu upacara penuh istiadat, di Istana Negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, diangkat menjadi Perdana Menteri yang baru, di hadapan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sungguh kebetulan dan bersejarah apabila pemimpin berusia 93 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri atau ringkasnya PM, pada jam 09.30 PM.

Sejarah baru juga tercipta apabila Tun Dr Mahathir menggalas jawatan sama buat kali kedua selepad kali pertama kalinya selama 22 tahun, pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Tun Dr Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri apabila PAKATAN berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara, selepas 61 tahun mentadbir.

PAKATAN menang majoriti mudah 113 kerusi Parlimen sementara Parti Warisan Sabah (WARISAN) menang lapan kerusi selain menawan beberapa negeri.

Sungguh tidak disangka lawan tetapi sangat bersejarah buat PAKATAN dan rakyat.

Antara negeri ditawan PAKATAN adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta mengekalkan kemenangan, di Selangor juga Pulau Pinang.

Ia juga sejarah kerana sebahagian kubu kuat BN, kini milik PAKATAN.

Selain itu, ia sejarah baru buat negara kita apabila ‘tsunami rakyat’ yang digembar-gemburkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 benar-benar berlaku.

Jadi, tidak ralatlah penulis membayangkan susuk tubuh Tun Dr Mahathir sebagai Bapa Sejarah Baru Negara.

#Mohd Naeem adalah Penolong Pengarang SelangorKini