Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Unit bencana Selangor pantau cuaca elak banjir, tanah runtuh

SHAH ALAM, 12 JULAI: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sentiasa memantau keadaan cuaca serta amaran Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai persediaan menghadapi banjir dan tanah runtuh.

Ketua Unitnya, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata komunikasi dengan pegawai daerah, pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan turut dilakukan bagi mengetahui perkembangan semasa kawasan masing-masing.

“Kawasan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh dengan fokus di bahagian berisiko tinggi tetapi tidak mengabaikan tahap rendah dan sederhana kerana ia juga memberi ancaman kepada penempatan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata hasil pantauan akan dimaklum kepada jabatan atau agensi bertanggungjawab bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

“Langkah seperti pembersihan, pemgepaman, pembaikan, mitigasi jangka pendek atau panjang akan dibuat tertakluk kepada peruntukan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Fenomena air pasang besar di Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.7 meter melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor, awal pagi ini.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, lima daerah terbabit ialah Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

“Di Kuala Langat, kami mengesan terdapat limpahan kecil di jalan raya di Istana Pantai Bahagia namun ia tidak melibatkan penempatan. Begitu juga limpahan sama di jalan raya di Jeti Jeram, Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, di Klang terdapat lima tempat ban bocor di Kampung Tok Muda, tetapi ia juga tidak membabitkan penempatan, selain limpahan air melepasi ban di Kampung Baru, Telok Gong,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tiada limpahan air melepasi benteng bagi daerah Sabak Bernam dan Sepang.

“Ban di pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik, selamat serta terkawal, selain cuaca yang baik dan cerah,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada limpahan air di pesisir pantai akibat air pasang besar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Keadaan pantai di Selangor dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan air berlaku di pesisir pantai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku awal pagi ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor ketika dihubungi Bernama berkata, keadaan ban ataupun benteng di kawasan pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik.

“Keadaan dilaporkan baik dan selamat serta cuaca juga cerah dan baik. Tiada sebarang pusat pemindahan yang dibuka setakat pukul 9.30 pagi ini,” katanya.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Unit Pengurusan Bencana Selangor dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada hari ini dan esok (1 hingga 2 September), 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut dijangka mencecah 5.7 meter.

Sehubungan itu, pelbagai agensi berkaitan termasuk Pihak berkuasa Tempatan di negeri ini turut diarah berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar berkenaan.

– BERNAMA