Categories
AGENSI SELANGOR

Cuaca tidak menentu, unit bencana fokus kawasan banjir kilat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memantau setiap masa kawasan kerap dilanda banjir kilat memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ketuanya, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata antara kawasan terbabit di sekitar Kajang, Dengkil, Meru, Kapar dan Klang.

“Masalah ini banyak berlaku di Selangor jadi kita utamakan kawasan kerap mengalaminya. Dalam masa sama kita turut memantau keadaan ban yang berisiko pecah atau runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut berkomunikasi dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan semua kawasan terkawal.

“Agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bersedia 24 jam dalam berdepan masalah seperti banjir kilat, tanah runtuh atau sebagainya,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, sebanyak 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang dilanda banjir menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Perkara sama berulang lagi pada 31 Julai lalu di 20 kawasan sekitar daerah Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

291 mangsa banjir di Sepang ditempatkan di empat pusat pemindahan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Seramai 291 mangsa banjir sekitar Sepang masih ditempatkan di pusat pemindahan, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata walaupun jumlah mangsa berkurangan berbanding semalam namun empat pusat pemindahan tetap dibuka bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

“Setiap pusat menempatkan antara 39 hingga 125 mangsa banjir. Setakat 11 pagi tadi 114 mangsa dari 28 keluarga sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kami akan terus memantau dan membuat tindakan susulan terhadap kejadian ini selaian memastikan kebajikan mangsa terjaga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Empat pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil dan SRA Ahmad Razali.

Kelmarin sebanyak 20 kawasan di daerah Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dibekalkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kawasan risiko bencana ke MTES, rangka atasi masalah

SHAH ALAM, 12 JULAI: Semua kawasan dikenal pasti berisiko bencana akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan segera, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata MTES akan meneliti masalah kawasan berkenaan selanjutnya mempertimbangkan langkah penyelesaian termasuk kelulusan kos.

“Setiap insiden diterima akan mendapat perhatian sewajarnya. Kerjasama dari pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan semua urusan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurut Ahmad Fairuz setiap kawasan berisiko akan diselenggara dan dipantau jabatan atau agensi tertentu seperti PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

“Sekiranya pantauan mereka mendapati ada tanda awal kepada banjir, banjir kilat dan tanah runtuh, laporan akan terus dibuat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Unit bencana Selangor pantau cuaca elak banjir, tanah runtuh

SHAH ALAM, 12 JULAI: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sentiasa memantau keadaan cuaca serta amaran Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai persediaan menghadapi banjir dan tanah runtuh.

Ketua Unitnya, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata komunikasi dengan pegawai daerah, pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan turut dilakukan bagi mengetahui perkembangan semasa kawasan masing-masing.

“Kawasan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh dengan fokus di bahagian berisiko tinggi tetapi tidak mengabaikan tahap rendah dan sederhana kerana ia juga memberi ancaman kepada penempatan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata hasil pantauan akan dimaklum kepada jabatan atau agensi bertanggungjawab bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

“Langkah seperti pembersihan, pemgepaman, pembaikan, mitigasi jangka pendek atau panjang akan dibuat tertakluk kepada peruntukan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

71 mangsa banjir di Sepang sudah pulang

SHAH ALAM, 24 JUN: Seramai 71 individu dari 16 keluarga yang menjadi mangsa banjir di Sepang sejak Sabtu lalu sudah pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata baki 37 keluarga lagi membabitkan 135 orang masih ditempatkan di empat pusat pemindahan.

“Semua mangsa dijangka boleh pulang ke rumah mereka selewat-lewatnya esok namun ia bergantung kepada cuaca dan paras air sungai.

“Kita akan terus memantau keadaan ini selain memastikan kebajikan semua mangsa terjaga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelas Ahmad Fairuz, satu pusat pemindahan sudah ditutup manakala empat lagi masih dibuka.

Semalam, Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan RM500 kepada 53 keluarga mangsa banjir dari beberapa kampung sekitar daerah itu selepas rumah mereka dinaiki air.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Fenomena air pasang besar di Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.7 meter melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor, awal pagi ini.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, lima daerah terbabit ialah Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

“Di Kuala Langat, kami mengesan terdapat limpahan kecil di jalan raya di Istana Pantai Bahagia namun ia tidak melibatkan penempatan. Begitu juga limpahan sama di jalan raya di Jeti Jeram, Kuala Selangor.

“Bagaimanapun, di Klang terdapat lima tempat ban bocor di Kampung Tok Muda, tetapi ia juga tidak membabitkan penempatan, selain limpahan air melepasi ban di Kampung Baru, Telok Gong,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tiada limpahan air melepasi benteng bagi daerah Sabak Bernam dan Sepang.

“Ban di pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik, selamat serta terkawal, selain cuaca yang baik dan cerah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pangsapuri Taman Keramat Permai retak selamat diduduki

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 2 MEI: Keputusan siasatan lengkap berhubung keretakan serius yang berlaku di Pangsapuri Blok F Taman Keramat Permai, di sini, 26 April lalu, didapati selamat diduduki.

Ketua Unit Pengurusan Bencana, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, hasil kajian yang dilakukan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bersama Perunding ZNA (ASIA) Sdn Bhd didapati bangunan dan struktur flat itu selamat dan tiada sebarang kecondongan berlaku.

Katanya, penduduk mula dibenarkan kembali ke Blok F mulai Sabtu ini seawal jam 8 pagi manakala pusat pemindahan akan ditutup secara rasmi pada jam 2 petang hari yang sama.

“Hasil pengumpulan data dan penilaian sejak 27 April lalu sehingga semalam didapati tiada sebarang kecondongan berlaku di flat ini dan perunding turut mengesahkan bangunan selamat diduduki.

“Bagaimanapun, kerja pembaikan struktur keretakan bangunan sudah dilakukan sejak semalam oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tempoh baik pulih itu mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Pusat Komuniti Wanita dan Belia Hulu Kelang, Keramat Permai, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada penduduk tetap akan tinggal di pangsapuri terbabit semasa kerja baik pulih dilaksanakan, Ahmad Fairuz berkata, penduduk tidak perlu khuatir kerana pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa.

Katanya, pihaknya memberi jaminan sepanjang kerja baik pulih dijalankan gangguan kepada penduduk hanya pada kadar minimal sahaja.

“Kita sudah memasang ‘prop’ untuk menyokong struktur keretakan itu walaupun tiada pergerakan aktif dan penduduk tidak perlu khuatir.

“Pemantauan juga akan tetap dijalankan secara berterusan selama enam bulan selepas kerja baik pulih selama sebulan itu siap,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari pada 26 April lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit.

Susan kejadian itu ia memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Manakala, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)