Categories
AGENDA NASIONAL

Saintis wanita cipta suplemen madu tangani obesiti

KUALA NERUS, 3 NOV: Sejak dahulu lagi madu diketahui sebagai manisan semula jadi yang bermanfaat bagi kesihatan.

Namun, ramai yang ragu-ragu mengamalkan pemakanan madu disebabkan lambakan madu tiruan di pasaran kini yang mengandungi gula tambahan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Atas permasalahan ini, seorang saintis wanita dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail mengambil inisiatif menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) ke atas madu dan menghasilkan makanan tambahan kesihatan (suplemen) berbentuk dos kapsul yang hanya mengandungi madu asli bagi menangani masalah obesiti.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT itu berkata, penyelidikan yang dilakukannya sejak 10 tahun lepas mendapati dengan hanya mengambil madu asli, selera makan seseorang boleh dikawal dan seterusnya masalah obesiti dapat ditangani.

“Madu merupakan antara benda paling mudah, murah dan tidak mempunyai kesan sampingan. Ia mengandungi khasiat lengkap untuk memberi tenaga kepada tubuh badan. Namun ada yang mempertikaikannya dengan menyatakan madu itu manis dan mereka dapat penyakit diabetes setelah makan madu. Tetapi itu madu tiruan.

“Kita juga telah buat eksperimen ke atas tikus makmal dan ia menunjukkan tikus yang diberi madu asli semakin kurus dan sihat, tetapi yang diberi madu tiruan semakin gemuk dan mempunyai banyak penyakit,” katanya yang menggunakan mesin menguji ketulenan serta kualiti madu bagi membezakan antara madu asli dan tiruan.

Melalui penyelidikan itu juga, Wan Iryani mengenal pasti tiga kaedah untuk membezakan antara madu asli dan madu tiruan selain ujian makmal dan mesin, iaitu melalui rasa, bau dan penglihatan yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat.

“Madu asli mempunyai rasa dan bau khas seakan-akan tumbuhan dan bunga, manakala madu tiruan berbau air gula dan tengik serta rasanya terlampau manis. Madu tiruan juga warnanya lebih lutsinar dan jelas tidak seperti madu asli yang lebih keruh sebab mengandungi bahan-bahan aktif,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikannya meliputi semua jenis madu yang terdapat di Malaysia termasuk madu kelulut dan madu lebah tualang.

Penyelidikan ke atas madu itu telah membawa tuah kepada Wan Iryani apabila menerima anugerah L’Oreal – UNESCO Fellowship For Women In Science (FWIS) baru-baru ini, yang mengiktiraf usahanya menghasilkan kajian berinovatif dan bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau bersama dua lagi saintis wanita tempatan yang menerima anugerah tersebut diberi wang geran berjumlah RM30,000 untuk meneruskan projek mereka.

Katanya wang geran tersebut akan digunakan untuk meneruskan kajiannya dan menguji suplemen madu asli itu ke atas manusia serta mengenal pasti jumlah dos yang diperlukan untuk mengawal obesiti.

“Kita akan beri suplemen ini kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan dan kita akan tengok bagaimana madu memberi tindak balas di dalam badan manusia. Saya hendak kaji bagaimana bila kita makan madu ia merangsang sel-sel lemak kita, itu tiada sesiapa pun tahu.

“Kita juga akan lihat pengambilan dos suplemen itu, sama ada untuk diambil tiga kali sehari, sekali sehari atau sebagainya,” katanya sambil memberitahu kajian terhadap manusia itu akan dimulakan Januari 2020.

Beliau berkata, suplemen madu asli tersebut dijangka menemui pasaran tahun hadapan dan terdapat beberapa syarikat menawarkan diri untuk memasarkan produk itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Stok ikan kurang, saiz semakin kecil

KUALA TERENGGANU, 18 OKT: Stok ikan di perairan negara kini semakin berkurangan dan saiznya semakin mengecil akibat kerakusan manusia.

Pensyarah kanan bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, 15 tahun dahulu, nelayan mampu mendapatkan ikan bersaiz besar dengan mudah berbanding keadaan sekarang dan ia menjadi salah satu penanda aras tekanan terhadap stok perikanan negara.

Salah satu punca hakisan stok adalah penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (Illegal, unreported and unregulated fishing – IIU).

“Isu IUU ini, boleh memberi kesan dalam jangka panjang terhadap stok perikanan di negara kita. Selain ikan komersial, mangsa utama kegiatan IUU ini adalah hidupan laut dan ikan yang tidak mendapat permintaan yang tinggi di pasaran.

“Contohnya ikan lumba-lumba, paus, penyu, obor-obor dan hidupan demersal seperti kerangan. Ada di antara hidupan ini berakhir sebagai ikan baja dan dibuang sebegitu sahaja di lautan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, baru-baru ini.

Mohd Fazrul berkata, tekanan kepada stok perikanan semakin meruncing apabila penggunaan ikan perkapita di Malaysia meningkat daripada 46 kilogram kepada 55 kilogram dari 2010 ke 2019.

Dijangkakan juga pendaratan ikan marin akan meningkat sebanyak 2.9 peratus iaitu daripada 1.23 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.76 juta tan metrik pada 2020, malah permintaan produk berasaskan perikanan meningkat dari tahun ke tahun dan sekali gus meningkatkan lagi tekanan pada stok perikanan sedia ada.

“Permintaan yang tinggi menyebabkan pengusaha perikanan mencari seribu satu cara bagi memenuhi permintaan di pasaran,” katanya.

Menurut Mohd Fazrul, antara teknik yang diharamkan di Malaysia tetapi masih digunakan secara berleluasa adalah racun, elektrik, rawai dan letupan, hingga memberi tekanan besar kepada stok ikan.

Penggunaan racun atau tuba merupakan salah satu teknik IUU yang digunakan pada musim kemarau serta digunakan pada air tawar apabila perairan menjadi cetek.

“Tuba ini juga boleh memberi kesan kepada mereka yang memakan ikan yang ditangkap menggunakan teknik ini. Antara ciri-ciri yang mudah kelihatan ikan yang telah dituba adalah perutnya lebam dan berwarna biru, malah ikan juga mudah berbau dan mengeluarkan lendir yang banyak,.

“Elektrik juga telah disalahgunakan sebagai kaedah untuk menangkap ikan. Walaupun kebanyakan mereka yang menggunakan alatan elektrik bagi mencari ikan mengatakan ikan hanya pengsan sementara waktu namun kesan kepada organ dalaman amat lah besar sehingga berlaku pendarahan dalaman dan menyebabkan pecahnya pundi udara yang terdapat di dalam badan ikan,” katanya.

Mohd Fazrul berkata, bom juga digunakan sebagai bahan mencari ikan secara berleluasa tanpa menyedari ia mengandungi bahan kimia sianida yang boleh memudaratkan mereka yang memakan ikan tersebut.

Tahun ini sahaja, katanya, sebanyak 43 kes pengeboman telah direkodkan di Semporna, Sabah dan gelombang yang dihasilkan oleh letupan itu juga membawa kecederaan serius kepada organ dalaman ikan termasuk tulang hancur serta usus dan pundi udara pecah.

Selain itu, Mohd Fazrul berkata, penjarahan sumber perikanan oleh nelayan asing juga semakin berleluasa sehingga Malaysia kerugian RM6 bilion setahun walaupun pihak berkuasa cuba mengatasinya.

Tambahan pula, katanya, penggunaan peralatan menangkap ikan seperti pukat rawa surong dan bubu naga di kawasan yang tidak sepatutnya menyukarkan lagi kelangsungan hidup ikan juvenil.

“Penggunaan rawai juga menyumbang kepada perikanan IUU. Rawai yang digunakan pada skala besar boleh mencecah sehingga 3,000 bentuk. Penyu, ikan lumba-lumba, burung camar boleh menjadi mangsa kerana tertarik pada umpan yang disangkut pada mata rawai.

“Selain pengawalan berterusan, aplikasi penderiaan jarak jauh dan penduga gema boleh digunakan bagi memantau IUU ini. Kerjasama yang erat antara pihak nelayan dan pihak berkuasa yang terlibat juga amat penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pensyarah: Makanan laut bercengkerang dicemari logam berat

KUALA LUMPUR, 8 APR: Penggemar makanan laut bercengkerang terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan jenis itu berikutan risiko dijangkiti penyakit akibat keracunan logam berat.

Pensyarah Kanan Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Ong Meng Chuan berkata, menerusi kajian yang dijalankan pasukannya, pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.

Katanya antara kawasan yang dikesan berisiko menghadapi pencemaran logam berat itu adalah sekitar pelabuhan di perairan Johor, Pelabuhan Klang dan muara sungai di Pulau Pinang.

“Fenomena itu secara tidak langsung turut mencemari sumber makanan laut kerana sifat haiwan bercengkerang ini ia mendiami habitatnya dan tidak bergerak ke tempat lain…secara tidak langsung, ia memperoleh sumber makanan daripada tempat ia tinggal.

“Jadi sudah tentu jika perairan itu dicemari logam-logam berat berkenaan, sudah pasti ia turut mencemari haiwan bercengkerang itu yang seterusnya dimakan oleh manusia,” katanya kepada Bernama.

Kajian tersebut dijalankan pasukan Ong baru-baru ini dalam pelayaran saintifik menggunakan kapal penyelidikan UMT, RV Discovery sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dari 13 hingga 22 Mac lalu dari Kuala Terengganu hingga ke Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, Kedah.

Ekspedisi yang disertai 25 saintis dan penyelidik itu, telah melalui lebih 45 stesen persampelan di dua laluan maritim iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Ong berkata tidak ramai yang menyedari kesan pencemaran logam berat daripada sumber makanan laut boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia kerana ia melibatkan kesan jangka masa panjang.

“Kesan pencemaran logam berat terhadap manusia mengambil masa yang lama untuk dikesan sebab ia melalui proses biookomulasi dimana kita makan sedikit daripada makanan itu yang dicemari arsenik atau merkuri (logam ini tidak diperlukan oleh badan) setiap hari dan akhirnya akan menyebabkan kita mendapat pelbagai penyakit,” katanya.

Mengulas mengapa kawasan perairan Selat Melaka lebih tercemar berbanding Laut China Selatan, Ong berkata keadaan laut Selat Melaka yang cetek dan peningkatan sektor perindustrian di kawasan pelabuhan dan muara sungai menjadikan ia penyumbang utama pencemaran tersebut.

Katanya di kawasan muara sungai, arus sungai adalah lebih lemah dan menyebabkan logam-logam berat ini mudah terdampar dan menjadi mendapan di sungai dalam jangka masa yang lama.

“Keadaan perairan yang sempit dan cetek, juga telah menjadikan kadar pemendapan bahan logam berat itu tinggi berbanding di Laut China Selatan yang mempunyai kadar isi padu air laut yang lebih banyak dan ini akan mencairkan bahan logam tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ong berkata kerajaan dan pihak yang berkaitan perlu bertindak tegas dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang mengambil remeh isu pencemaran logam berat di kawasan perairan negara ini.

“Mungkin denda yang lebih tinggi atau hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini.

“Kita juga tidak mahu kes pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim-Kim hingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup 7 Mac lalu berulang kembali,” katanya.

– BERNAMA