Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan Utusan dikenakan tindakan jika langgar undang-undang

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam berdepan dikenakan tindakan jika didapati tidak mengikut peraturan sewajarnya dalam urusan melibatkan kakitangan syarikat, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

“Mereka perlu ikut undang-undang, (jika) mereka tidak patuhi undang-undang kita akan ambil tindakan perlu,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.

Syarikat berusia 80 tahun itu menghentikan operasi susulan masalah kewangan dan semalam juga adalah tarikh akhir bekerja buat semua kakitangannya.

Mereka dilaporkan tidak menerima surat pemberhentian pekerjaan dan sebaliknya diberitahu untuk mengambil cuti sehingga hujung bulan – tindakan yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, kementeriannya kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengkaji semula dan menyenaraikan bidang pekerjaan yang mempunyai prospek yang cerah.

Katanya, ini dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk menentukan pilihan kerjaya seiring dengan perkembangan teknologi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nasib kakitangan Utusan ‘jentik’ rasa prihatin hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Terkesan dengan nasib yang menimpa kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, pelbagai pihak hari ini tampil menghulur bantuan termasuk wang ringgit, barangan keperluan harian dan keperluan bayi bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata, beliau bersama hampir 400 ahli lain terpanggil untuk menjayakan Tabung Bantuan Utusan Malaysia dan Kosmo atas dasar hubungan ukhwah sesama manusia khususnya rakan sejawatan.

Bermula dari 10 pagi tadi bertempat di Balai Berita NSTP Bangsar di sini, penyumbang yang terdiri daripada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan di sekitar Lembah Klang tidak henti-henti tampil bagi menyampaikan bantuan sejurus kaunter dibuka.

Farah Marshita berkata, pihaknya menyasarkan sumbangan termasuk wang ringgit, keperluan harian dan keperluan bayi untuk disalurkan kepada kakitangan Utusan yang akan diserahkan kepada Setiausaha NUJ Cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar petang ini.

“Walaupun kami berlainan syarikat, namun kita adalah saudara. Memang dimaklumkan bahawa Utusan meneruskan operasi dan kakitangan menerima gaji pendahuluan, secara peribadi bagi saya ia tidak cukup untuk menampung hidup di bandar besar.

“NUJ NSTP mahu semua kakitangan Utusan mendapat sumbangan yang diberi hari ini secara sama rata. Saya harap inisiatif ini tidak terhenti hari ini sahaja, malah sesiapa sahaja boleh melakukan sumbangan melalui transaksi perbankan dalam talian,” katanya ketika ditemui ketika program Tabung Bantuan Utusan Malaysia dan Kosmo.

Antara badan korporat dan NGO yang tampil memberi sumbangan adalah Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Miraclegacy, Kumpulan Ramly dan Kumpulan Media Sarawak.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Wong Yun Fatt yang mendapat tahu mengenai program itu daripada rakan yang bertugas di NSTP menyifatkan sumbangan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Rasa tidak sedap hati kalau kita dengar ada orang dalam kesusahan tetapi kita tidak tolong. Kami peka dan prihatin dengan nasib mereka. Malah kami juga tolong orang luar seperti bina masjid di Lombok, Indonesia,” katanya.

Penolong Pengurus Pemasaran Kumpulan Ramly, Eimran Othman berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan sumbangan sebagai menghargai jasa dan sumbangan media kepada syarikat pengeluar makanan halal itu.

Menurutnya, selama beroperasi hampir 40 tahun di negara ini, pihak media bukan sahaja menulis berita mengenai syarikat malah menyampaikan maklumat serta penjelasan mengenai sebarang isu yang dihadapi.

“Sumbangan kewangan ini adalah inisiatif Kumpulan Ramly kepada Utusan yang pernah membantu kami memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu yang pernah melanda kami sebelum ini dan pada masa sama membersihkan nama dan imej Kumpulan Ramly,” katanya.

Amy Mohd Isa, 32, dari Kajang yang hadir menyerahkan sumbangan keperluan bayi bersama suaminya berkata walaupun tidak mempunyai rakan dalam kalangan petugas media, namun ia menjadi tanggungjawab sekiranya mendapat tahu ada pihak memerlukan bantuan.

“Saya dan suami ada kongsi maklumat mengenai program sumbangan ini di Facebook malah ada juga rakan yang kirim sumbangan mereka untuk kami bawa ke sini,” katanya.

Baru-baru ini tersebar desas-desus bahawa Utusan yang ditubuhkan pada 1939 dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi ekoran masalah pembayaran gaji kepada kira-kira 800 pekerja yang dilaporkan tertunggak sejak tiga bulan lepas.

Namun, pihak pengurusan syarikat penerbitan akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia yang berusia 80 tahun itu mengumumkan tidak akan menutup operasi syarikat tersebut dengan membayar gaji pendahuluan dan mengambil langkah menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah bermula hari ini sebagai tambahan pulangan kepada syarikat.

Bagi mereka yang mahu menyumbang, pusat sumbangan itu dibuka sehingga 4 petang ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prospek Utusan kelam, berdepan nyahsenarai

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berikutan berdepan masalah kewangan ditambah dengan kegagalan untuk mencari pelabur bagi menyelamatkannya.

Berita itu tersebar selepas desas-desus bahawa syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 sebagai Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi pada Rabu ini selepas beroperasi selama 80 tahun.

Pada 30 Jun, 2019 ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM261.61 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata berdasarkan prestasi segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan semasanya, ahli lembaga tidak pasti bahawa kumpulan akan dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.

“Disebabkan keputusan yang merosot seperti di atas, kumpulan mengalami kekangan aliran tunai dan telah secara serius berusaha menangani isu itu dengan meningkatkan usaha bagi penjualan harta tanahnya.

“Bagaimanapun, kemajuan penjualan itu terjejas teruk oleh sentimen pasaran perlahan, sekatan dan syarat pihak berkuasa relevan dan dengan itu syarikat tidak dapat menyelesaikan isu aliran tunai dengan kadar segera,” katanya.

Ia juga berkata adalah mustahil untuk kumpulan itu meyakinkan pelabur berpotensi untuk menyelamatkan perniagaan itu.

“Beberapa pihak berpotensi yang dikenal pasti telah enggan untuk mengambil bahagian disebabkan liabiliti besar ditanggung kumpulan,” katanya.

Oleh itu, kumpulan tidak dapat memenuhi syarat Bursa Malaysia untuk meningkatkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Situasi semasa itu telah menjejaskan hak Bursa Malaysia Securities Bhd untuk meneruskan langkah menggantung urus niaga sahamnya dan untuk nyahsenarai syarikat itu sekiranya ia gagal mengemukakan pelan penstrukturan semula kepada pihak berkuasa hari ini.

Sehubungan itu, Utusan berkata pihaknya sedar bahawa Bursa Securities boleh mengambil sebarang tindakan relevan termasuk menggantung urus niaga sekuriti disenaraikan pada hari keenam pasaran selepas tarikh notis penggantungan.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, sahamnya naik satu sen kepada 11 sen dengan 11,000 saham diniagakan.

Sejarah Utusan bermula di Queen Street, Singapura.

Ia ditubuhkan oleh Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura.

Ia kemudian memindahkan ibu pejabatnya ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur selepas Merdeka pada 1958.

Semasa zaman kegemilangannya, edaran suratkhabarnya memuncak sehingga 350,000 naskhah sehari pada 1990-an dan ia merupakan suratkhabar terlaris di negara ini.

Bagaimanapun, ia semakin kurang mendapat sambutan selepas 2004, apabila edarannya merosot kepada 250,000, dan terus merudum kepada 144,438 naskhah pada separuh pertama 2016.

Utusan berdepan masalah sejak 2012, dan pada Ogos tahun lepas, ia memasuki kriteria PN17 selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

– BERNAMA