Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia kaji sistem ambil pekerja Bangladesh tanpa kos

PUTRAJAYA, 8 JAN: Malaysia sedang mengkaji perjanjian pengambilan pekerja asing dari Bangladesh tanpa melibatkan kos, bagi menghentikan kegiatan buruh paksa dan mengelakkan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran berkata perbincangan bersama kerajaan Bangladesh untuk terma baharu perjanjian itu, kini dalam peringkat terakhir, seperti perjanjian antara Malaysia dan Nepal tahun lalu berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja.

Katanya mengikut perjanjian tersebut, majikan antaranya akan menanggung caj perkhidmatan pengambilan, tiket penerbangan dua hala, caj visa, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan keselamatan dan caj levi.

Kula Segaran berkata, Malaysia mengenakan sekatan ke atas pengambilan pekerja Bangladesh pada 2018 dan perbincangan bilateral terma baru pengambilan pekerja sedang berjalan dengan baik.

Katanya, perbincangan untuk menarik balik sekatan itu antara Malaysia dan Bangladesh berjalan sejak sekian lama, dan pasukan petugas Malaysia dijangka akan melawat Bangladesh bulan ini, bagi menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

“Ada hanya beberapa perkara yang belum diselesaikan. Amat sedikit, daripada 10 hingga 12 perkara, (hanya) yang terakhir atau dua perkara yang perlu diselesaikan.

“Apabila ia diselesaikan, kita akan buka sektor ini. Kerajaan Malaysia bersedia untuk lakukannya (tarik balik sekatan),” katanya kepada pemberita selepas program bertemu pelanggan di sini semalam.

Kula Segaran berkata demikian mengulas laporan berita, yang menyatakan kerajaan Bangladesh tidak berniat menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia, sehingga sistem pengambilan pekerja lebih telus, dengan kadar kos lebih rendah dapat dimuktamadkan.

Laporan memetik Menteri Kebajikan Pekerja Luar Negara Imran Ahmad sebagai berkata, pekerja mereka diluar negara menghadapi masalah akibat kos yang tinggi dikenakan, untuk bekerja di Malaysia dengan ada dalam kalangan pekerja yang terpaksa membayar sehingga RM19,000 untuk bekerja di sini antara tahun 2016 dan 2018.

Kula Segaran berkata, perlu ada satu sistem di Bangladesh untuk menghentikan penghantaran pekerja yang tidak diperiksa dan menambah ada kes di mana ramai pekerja asing dieksploitasi oleh agen, yang mengenakan bayaran tinggi.

Katanya, apabila Malaysia menandatangi perjanjian dengan Nepal, salah satu daripada syarat ialah apabila pekerja mereka datang ke Malaysia, ia tidak melibatkan sebarang pembayaran, di mana tiket penerbangan dan lain-lain perbelanjaan perlu ditanggung majikan, dan bukannya pekerja.

Kula Segaran menyatakan kegusarannya mengenai Malaysia yang berkemungkinan menghadapi sekatan daripada Amerika Syarikat, jika tidak ada sebarang penambahbaikan selepas negara itu meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tier 2 dalam Laporan Perdagangan Manusia (TIP) untuk tahun kedua pada 2019.

“Sebab itulah kita cuba meminda undang-undang, kerana banyak undang-undang pekerja kita lapuk, kita mahu jadikan ia terkini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kula Segaran serah siasatan terlibat LTTE kepada polis

IPOH, 12 OKT: Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menyerahkan kepada pihak polis siasatan berhubung tuduhan bahawa dirinya terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah semata-mata berdasarkan gambar yang tersebar di laman media sosial tanpa sumber yang diketahui.

“Tidak adil membuat tuduhan terhadap seseorang itu terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas hanya dengan gambar yang tersebar di media sosial.

“Saya ada banyak gambar tersebar. Apa yang saya perlu cakap?

“Kalau pembuat gambar itu boleh tampil membuat dakwaan kepada saya, saya akan jawab kepada dia, jadi jangan mudah percaya dengan apa yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp atau internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019, di sini, hari ini.

Ditanya tentang pendiriannya mengenai LTTE, Kula Segaran yang juga Naib Pengerusi DAP memaklumkan beliau hanya bersimpati terhadap mangsa berikutan perkara yang berlaku di negara lain adalah urusan dalaman mereka.

Sebelum ini, tular satu gambar yang didakwa kononnya Kula Segaran bersama pemimpin kanan LTTE.

Polis baru-baru ini dilaporkan telah menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Kula Segaran berkata, pihak polis perlu mendakwa sesiapa yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE di mahkamah sekiranya mempunyai fakta dan bukti yang kukuh.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, kesesakan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka akan dapat diatasi menerusi inisiatif pembinaan pusat rehabilitasi yang baharu di Perak.

Katanya beberapa lokasi di seluruh Perak telah dikenal pasti untuk dijadikan lokasi hospital dan pusat rehabilitasi berkenaan.

“Pusat baharu itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta akan dibina di Perak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuti bersalin 90 hari: Majikan swasta ingkar berdepan tindakan

IPOH, 12 OKT: Majikan swasta yang enggan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita bermula 2021 akan dikenakan tindakan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, majikan swasta perlu mematuhi perkara itu yang dibentangkan semasa Belanjawan 2020.

“Sekiranya sektor awam boleh melaksanakannya mengapa tidak sektor swasta,” katanya pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cuti bersalin selama 90 hari perlu dilaksanakan sebagai mengikuti standard antarabangsa walaupun pelaksanannya akan dimulakan pada 2021.

“Negara kita perlu mengikut ‘international standard’ dan mana-mana syarikat yang enggan melaksanakannya akan dikenakan tindakan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 berkata, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu meliputi empat perkara antaranya meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai 2021.

Sementara itu, beliau berkata insentif gaji #MalaysiaKerja akan diuruskan dan dikreditkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan penyelewengan oleh pelbagai pihak termasuk majikan.

“Kerajaan akan membayar melalui KWSP kerana mereka dan majikan mempunyai rekod pekerja. Ia juga bagi mengelakkan majikan daripada menyeleweng wang itu,” katanya.

Program pertama #GraduanKerja di bawah inisiatif #MalaysiaKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan dengan setiap graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima.

Majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 260,000 kekosongan pekerjaan yang boleh dimohon oleh rakyat Malaysia di JobsMalaysia bagi mendapatkan kerja yang diingini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan Utusan dikenakan tindakan jika langgar undang-undang

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam berdepan dikenakan tindakan jika didapati tidak mengikut peraturan sewajarnya dalam urusan melibatkan kakitangan syarikat, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

“Mereka perlu ikut undang-undang, (jika) mereka tidak patuhi undang-undang kita akan ambil tindakan perlu,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.

Syarikat berusia 80 tahun itu menghentikan operasi susulan masalah kewangan dan semalam juga adalah tarikh akhir bekerja buat semua kakitangannya.

Mereka dilaporkan tidak menerima surat pemberhentian pekerjaan dan sebaliknya diberitahu untuk mengambil cuti sehingga hujung bulan – tindakan yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, kementeriannya kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengkaji semula dan menyenaraikan bidang pekerjaan yang mempunyai prospek yang cerah.

Katanya, ini dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk menentukan pilihan kerjaya seiring dengan perkembangan teknologi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja Utusan boleh mohon bantuan SIP Perkeso

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Utusan) yang diberhentikan dari segi undang-undang boleh memohon bantuan daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, SIP bertindak sebagai jaminan sosial yang bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan memberikan bantuan kepada mereka.

SIP ini adalah satu sistem insurans pekerjaan, di mana selama enam bulan (selepas diberhentikan) mereka (pekerja) akan diberikan beberapa bayaran gaji.

“Ketika itu, SIP juga akan membantu mencari kerja alternatif, mereka juga akan mendapatkan majikan untuk menemu duga pekerja berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan berita tentang Utusan yang secara rasmi menamatkan operasinya ekoran masalah kewangan.

Hari bekerja terakhir bagi pekerja Utusan Melayu ialah hari ini manakala hari terakhir perkhidmatan ialah pada 31 Oktober. Utusan adalah penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua di negara ini.

Dalam kenyataan semalam, Utusan berkata ia akan akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn.Bhd. kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd.

Dilof adalah pemegang permit bagi penerbitan dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

Sementara itu, Kula Segaran meminta pengurusan Utusan supaya menimbangkan kembali keputusannya untuk menghentikan operasi.

Beliau berkata, syarikat akhbar itu harus mencari jalan penyelesaian alternatif yang lain kerana keputusan itu menjejaskan kehidupan pekerjanya.

“Saya harap pihak pengurusan Utusan akan menimbang semula (mentutup operasi), mungkin ada pihak lain yang boleh mengambil alih syarikat itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian bantu majikan sarung tangan getah patuhi audit

PUTRAJAYA, 4 OKT: Kementerian Sumber Manusia akan memberi bantuan kepada majikan-majikan industri sarung tangan getah dalam menjalankan audit pematuhan sosial yang komprehensif sejajar dengan piawaian antarabangsa sebelum ia dikuatkuasakan pada 2021, kata Menterinya, M Kula Segaran.

Beliau berkata, berikutan larangan oleh pihak Amerika Syarikat (AS) yang menyekat import sarung tangan getah daripada WRP Asia Pacific Sdn Bhd kerana disyaki menggunakan buruh paksa, usaha untuk mematuhi undang-undang antarabangsa perlu dimulakan segera.

“Saya telah berunding dengan pihak industri tahun lepas dan memberi amaran tentang kesan buruk (penggunaan) buruh paksa,” katanya pada sesi dialog awam (town hall) dengan pemain industri sarung tangan getah di sini, hari ini.

Pada 1 Oktober, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan ia telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara setelah disyaki menggunakan buruh paksa.

Sekatan itu turut melibatkan import sarung tangan getah oleh WRP Asia Pacific kerana dipercayai syarikat itu terlibat dalam buruh paksa.

Tahun lepas, pembuat sarung tangan Malaysia, Top Glove Corp Bhd dituduh oleh berita United Kingdom mengenai penggunaan buruh paksa.

“Walaupun kerajaan telah meluluskan laporan audit pematuhan sosial bebas oleh setiap pemain industri dan ia merupakan syarat sebelum memohon pekerja asing yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2021, saya fikir ia pasti (bahawa keperluan itu) dilakukan sendiri hari ini,” katanya.

Kula Segaran berkata, industri terbabit tidak seharusnya menunggu sehingga 2021 kerana ia merupakan isu yang mendesak pada masa ini.

“Jadi, nasihat saya kepada industri jangan menunggu sehingga 2021, sekiranya anda mahu perniagaan ini, anda perlu mematuhi peraturan sekarang dan sebab itu kerajaan bersedia membantu anda,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman BERNAMA: Kementerian Sumber Manusia belum terima laporan

IPOH, 10 OGOS: Kementerian Sumber Manusia belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat ini.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung isu bayaran balik pinjaman kakitangan agensi berita itu yang tidak dilaksanakan walaupun pemotongan gaji sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika menerima laporan berhubung isu itu daripada mana-mana pihak.

“Jika ada aduan dibuat kepada kami, kami akan ambil tindakan, memandangkan BERNAMA adalah sebuah agensi kerajaan, isu itu akan diselesaikan oleh kerajaan.

“Adalah lebih baik perkara ini dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kira-kira 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pasar Awam Kampung Tawas, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut laporan portal semalam, agensi berita nasional itu didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji sudah dilakukan

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan berjaya wujud 243,000 peluang kerja baharu

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Sebanyak 243,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan berdasarkan data suku tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak Mei 2018 hingga Mac lalu, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada jumlah guna tenaga pada suku pertama 2019 berjumlah 15,010,200 orang, berbanding 14,767,200 pada 2018.

“Data terkini berhubung gaji belum dikeluarkan DOSM. Bagaimanapun, data sedia ada bagi suku kedua 2019 untuk gaji pada 2017 menunjukkan gaji purata mengikut kemahiran adalah RM4,574 (sebulan) bagi tenaga kerja mahir, RM1,947 untuk tenaga kerja separa mahir dan RM1,531 bagi tenaga kerja berkemahiran rendah.

“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, jumlah guna tenaga pada 2020 dijangka mencecah 15,347,500 orang, peningkatan sebanyak 580,300 sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu jumlah pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan, berjaya dicipta untuk tempoh setahun lalu dan langkah akan diambil bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Kula Segaran berkata, data itu menunjukkan kerajaan mampu mewujudkan peluang pekerjaan dalam anggaran 200,000 setahun dan dijangka dapat menghasilkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik yang menyumbang kepada penghasilan ‘high value jobs’ dan ‘knowledge worker (k-worker)’, yang mana negara perlu bersifat selektif dalam menarik pelaburan, iaitu menolak pelaburan berintensif buruh serta bergaji rendah.

“Selain itu, menambah nilai kerja melalui inovasi dan kreativiti dengan memperbanyakkan elemen automasi berteknologi tinggi bagi meningkatkan lagi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk pencari kerja berkemahiran serta mengambil langkah sesuai dengan kerjasama industri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing yang bergaji rendah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia negara ASEAN pertama tawar rawatan Cyberdyne Hybrid Limb

MELAKA, 13 MEI: Malaysia adalah negara pertama di Asean dan keempat di dunia menawarkan rawatan perubatan Cyberdyne Hybrid Limb (HAL), yang merupakan teknologi perubatan inovatif bagi merawat pesakit yang lumpuh atau lemah anggota badan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, rawatan itu kini boleh didapati di Pusat Pemulihan Neuro-Robotics dan Cybernics di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC) di Ayer Keroh di sini yang dilengkapi dengan 24 unit robot HAL yang dibangunkan Cyberdyne Inc dari Jepun.

Katanya, pusat itu memberikan rawatan kepada mereka yang diinsurankan Perkeso yang mengalami kekurangan daya fizikal ataupun kehilangan upaya akibat kecederaan atau gangguan akibat sistem saraf pusat seperti kecederaan saraf tunjang, strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berganda dan penyakit kemerosotan saraf, bagi mengembalikan semula keupayaan mereka.

“Saya dimaklumkan, rawatan Cybernic yang baru dibangunkan merupakan satu rawatan terkini menggunakan robot, yang akan membangkitkan fungsi otak-fizikal otak pesakit sendiri melalui interaksi isyarat antara manusia dan robot.

“Ini mempercepat proses pembelajaran otak dan otot untuk menggerakkan semula kaki yang lumpuh dan membawa perubahan dalam fungsi pergerakan pesakit. Teknologi baharu ini pasti akan meningkatkan kadar pemulihan pekerja yang dirawat dan dipulihkan di TRRC,” katanya ketika merasmikan pusat rehabilitasi terbabit, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun ke Malaysia, Hiroyuki Orikasa; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc, Jepun, Prof Dr Yoshiyuki Sankai.

Kula Segaran berkata sehingga kini, 100 peaskit yang diinsurankan di bawah Perkeso telah menjalani rawatan Cyberdyne HAL di TRRC yang bermula November tahun lepas, di mana kebanyakan pesakit ini mengalami kecederaan saraf tunjang atau strok.

Sehingga bulan lepas katanya, TRRC telah menerima 3,875 pesakit yang diinsurankan Perkeso dan untuk empat bulan pertama 539 kes telah dirujuk ke TRRC yang mana 463 dibenarkan pulang dengan 268 diberikan rehabilitasi yang mana 195 daripada mereka, telah kembali bekerja.

Sementara itu ketika bercakap di sidang media selepas itu, Kula Segaran berkata, pada masa ini terdapat 100 orang yang diinsurankan, kini dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan dan TRRC akan melakukan yang terbaik bagi memberikan rawatan kepada mereka secepat mungkin.

“Salah satu cadangan yang sedang dibincangkan ialah memanjangkan masa operasi lebih daripada 5.30pm dan kemungkinan membuka pusat itu pada hari minggu. Kita akan melihat cadangan itu dan apabila pusat itu dapat memenuhi permintaan orang yang diinsuranskan, kita mungkin membukanya kepada orang awam bagi menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkat,a kos permulaan untuk pusat dan teknologi ialah USD 200,000, manakala rawatan Cyberdyne HAL diberikan secara percuma kepada mereka yang diinsurankan Perkeso.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan wujud pasukan khas kaji dasar kerja waktu malam

IPOH, 4 MEI: Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan pasukan bertindak khas untuk mengkaji cadangan bekerja pada waktu malam bagi sektor pekerjaan tertentu dilaksanakan.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, cadangan yang diutarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini memerlukan kajian terperinci selain mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Setelah kajian selesai, kita akan bawa perkara ini ke Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku berbahasa Tamil bertajuk ‘Kandi Seemai’ (Candy City) karya Maathalai Somu, di Institut Latihan Perindustruian Ipoh, di sini hari ini.

Kula Segaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat mengulas mengenai cadangan Dr Mahathir yang mahu melaksanakan dasar berkenaan.

Khamis lalu, Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tautan Muhibah anjuran Biro Ekonomi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Segambut di Laman Zarlith di Kuala Lumpur berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jadikan TVET pilihan utama lanjut pengajian

SEREMBAN, 24 MAC: Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020.

“Program latihan kemahiran adalah mustahak, pembangunan sesebuah negara berpotensi tergugat kalau tiada tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang kemahiran ini dan sekiranya ia mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Harap anak muda boleh jadikan bidang TVET sebagai pilihan utama, ibu bapa jangan hanya tertumpu untuk hantar anak ke universiti semata-mata sedangkan bidang TVET tidak kurang pentingnya,” katanya selepas Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata, penglibatan kaum Cina dalam bidang TVET ketika ini hanya mencatatkan satu peratus manakala kaum India pula lima peratus.

“Sebab itu kita mahu galakkan lebih ramai pelajar tidak kira kaum menceburi bidang TVET. Bahkan saya ada juga pergi Cameron Highlands sebelum ini untuk menarik Orang Asli menyertai bidang TVET, meskipun terdapat kekangan komunikasi, namun mereka diberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka sama-sama mengikut kursus-kursus berkaitan,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET, kursus jangka pendek yang hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan turut ditawarkan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) antaranya kursus membaiki telefon bimbit.

“Setakat ini permohonan kemasukan ke ILP agak menggalakkan tetapi kita masih perlu galakkan pelajar masuk ke bidang ini, jadi kena jalankan kurus-kursus pendek yang hanya ambil masa tiga hingga enam bulan berbanding dahulu yang melibatkan tempoh pengajian lebih lama iaitu antara setahun ke dua tahun.

“Mereka yang terlibat dalam bidang TVET khususnya pelajar-pelajar ILP boleh dikatakan 94 peratus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bahkan ketika mereka masih belajar lagi kerja sudah menanti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan sahaja dihadiri ketua-ketua jabatan namun beliau sendiri turut serta.

“Saya harap program ini dapat diperluaskan dan sekarang di Sabah pun telah diadakan program ini yang selain untuk mendekati masyarakat ia juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelaksanaan gaji minimum ikut sektor bukan sekarang

IPOH, 3 MAC: Pelaksanaan gaji minimum mengikut sektor hanya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Beliau berkata, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kajian semula mengenai gaji minimum harus dilakukan setiap dua tahun.

“Banyak orang tidak faham tentang hal gaji, ia ditentukan satu jawatankuasa (Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara), menteri tidak ada kuasa.

“Sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,100 semua aspek perbincangan sudah diadakan tetapi mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 ia akan dikaji semula dan pelaksanaannya bukan sekarang,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ‘Meet & Session’ di program Satria 4.0 & TVET Seminar 2019 di Institut Perindustrian Ipoh (ILP) Meru, di sini.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan.

Dalam laporan itu, Kula Segaran dipetik sebagai mengambil contoh kadar gaji minimum di Sabah secara umumnya sebelum ini dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920 yang dilihat menimbulkan rungutan majikan di negeri itu.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, buat masa ini menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana majikan enggan atau membayar gaji kurang daripada RM1,100.

Pada program dihadiri lebih 300 pelajar itu, Kula Segaran menerangkan bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peluang pekerjaan cerah pada masa hadapan termasuk dalam bidang perfileman.

“Sebelum ini saya sudah berjumpa dengan pelakon terkenal filem Tamil dari India, Kamal Hassan yang menyatakan kepada saya bahawa India kurang mempunyai pekerja mahir teknikal dalam bidang perfileman.

“Dia menyatakan bahawa mungkin kita boleh mengadakan institusi teknikal untuk mengajar, supaya mereka (penggiat filem India) boleh membuat lebih banyak pengambaran filem di Malaysia,” katanya.