Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Suami, isteri OKU lawan rasa gemuruh terima suntikan vaksin

LUMUT, 27 JUN: Sepasang suami isteri Orang Kurang Upaya dari Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor mengetepikan rasa gemuruh dan kegerunan “dicucuk” demi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.

Rohana Abdullah dan suaminya Omar Lingga, masing-masing berusia 48 tahun, merupakan antara kira-kira 1,000 individu di pulau peranginan itu yang layak menerima vaksin Covid-19 dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Rohana, dia dan suami datang ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor yang menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) menerusi satu program outreach, menaiki motosikal roda tiga dari rumah mereka, bagi mendapatkan vaksin berkenaan pada 11 pagi.

“Saya takut dicucuk, lagi pula dengar macam-macam cerita kononnya ada kesan sampingan yang teruk. Jadi saya rasa takut dan kalau boleh nak melewat-lewatkan giliran, tetapi saya sedar ini untuk kebaikan saya, tambahan pula saya menghidap penyakit saraf, kalau terkena jangkitan macam mana saya mahu mencari rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama di klinik berkenaan.

Dia yang berniaga barangan runcit, turut bersyukur kerana dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) yang datang ke rumah untuk mendaftarkannya dan suami bagi menerima vaksin itu.

“Hari ini juga mudah, kami dibantu oleh Rela selepas tiba dan tidak menunggu lama untuk disuntik,” katanya yang menerima dos pertama hari ini.

Warga emas Shamsudin Mat Ali, 65, pula berasa lega dan bersyukur kerana selepas tiga minggu mendaftar menerusi MySejahtera, dia dipanggil untuk divaksinasi hari ini.

“Saya mahu negara pulih seperti sediakala. Saya rindu untuk keluar ke rumah tanpa memakai pelitup muka. Orang Pulau Pangkor jangan takut ambil vaksin kerana ia untuk kebaikan semua,” katanya yang menetap di Kampung Teluk Kecil di sini.

Seorang lagi penduduk, K. Muruga, 50, berkata dia hadir di klinik itu untuk mendaftarkan diri sendiri dan juga juga ibunya, Santhiyes, 77.

“Adanya program ini memudahkan penerima vaksin kerana tidak perlu keluar dari pulau,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 1 Manjung, Mohd Zamzuri Suid, 52, berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu melancarkan program vaksinasi di Pulau Pangkor.

“Kami mengumpul data penduduk selain turut menjadi sukarelawan di PPV. Selain kami, ada juga sukarelawan daripada Persatuan Rekreasi Pangkor yang telah mula bertugas sejak program dilaksanakan di Pangkor pada 4 Jun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Motor rosak, warga emas jalan kaki tiga jam untuk suntikan vaksin

KOTA BHARU, 11 JUN: Akibat motosikal rosak dan tidak mahu menangguhkan suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas sanggup berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Pasir Hor, di sini untuk mendapatkan suntikan itu di Kompleks Balai Islam, Lundang, minggu lepas.

Siti Meriam Sulong, 76, seorang ibu tunggal berkata, beliau tetap bersemangat walaupun terpaksa berjalan kaki hampir tiga jam untuk ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut pada Selasa lalu (1 Jun), selepas motosikal milik anaknya Suhaimi Husin, 42, rosak.

Katanya, pada awalnya beliau sepatutnya menerima suntikan dos pertama bulan lepas, namun terpaksa menolak janji temu itu disebabkan masalah pengangkutan.

“Pada hari janji temu motosikal anak saya sekali lagi rosak, namun saya tetap menggagahkan diri untuk ke lokasi PPV dengan berjalan kaki, kerana tidak mahu menangguhkannya buat kali kedua.

“Saya keluar rumah pada jam 10 pagi untuk mendapatkan suntikan vaksin, memandangkan janji temu saya sekitar 1.30 petang dan saya tiba di Kompleks Balai Islam Lundang, pada jam 1 petang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Hor, di sini hari ini.

Ibu kepada empat orang anak yang berusia antara 42 hingga 50 itu berkata, sebaik tiba di Kompleks Balai Islam Lundang itu, beliau meminta kebenaran jururawat bertugas untuk berehat terlebih dahulu.

“Sebaik tiba, petugas memaklumkan sudah tiba giliran sebelum saya meminta izin untuk berehat seketika, untuk menghilangkan rasa penat dan keletihan kerana berjalan jauh.

“Malah petugas yang bertugas di PPV berkenaan juga telah membantu menempah ‘grab car’ dan juga membayarnya untuk menghantar saya pulang ke rumah, selepas menerima suntikan itu,” katanya.

Siti Meriam berkata, beliau tidak mahu menyusahkan dua anaknya yang tinggal bersama kerana mereka mempunyai masalah kesihatan, selain dua orang lagi menetap di luar Kelantan.

Bercerita lanjut, Siti Meriam berkata cucunya Roshanani Bakri, 29, yang menetap di Kuala Lumpur telah membantunya mendaftar sebagai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera.

“Sehari sebelum janji temu itu, cucu saya menelefon memberitahu mengenai janji temu tersebut selain turut menyuruh saya ke PPV berkenaan untuk menerima suntikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sudah berjaya menerima suntikan vaksin dos pertama ini, memandangkan golongan seperti saya wajar disuntik bagi mengelak wabak Covid-19 yang mudah dijangkiti dalam kalangan warga emas,” katanya yang akan menerima dos kedua pada 22 Jun nanti.

– BERNAMA