Categories
AGENDA NASIONAL

Apa sahaja vaksin penggalak lebih baik dari tiada, kata menteri

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan penggunaan vaksinasi dos pengalak Pfier-BioNTech atau AstraZaneca untuk Covid-19, namun mana-mana vaksin penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya, kata Menterinya Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam ciapan di akaun Twitternya beliau berkata walaupun KKM menyarankan dos penggalak Pfizer atau AstraZeneca untuk memberi tambahan perlindungan yang terbaik, ada masyarakat yang masih meminta pilihan.

“Tetapi mengambilnya adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya,” katanya sambil berkongsikan kenyataan dikeluarkan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd hari ini, yang menyatakan vaksin Sinovac akan ada di semua pusat vaksinasi Offsite (PPV Offsite) di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK) secara percuma bermula Isnin.

Mengikut kenyataan ProtechHealth itu, mereka yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dan mahu mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh melihat kepada senarai PPV Offsite di laman sesawang ProtectHealth: www.protocthealth.com.my.

“Bagaimanapun KKM masih menyarankan dos penggalak Pfizer kepada penerima Sinovac, kerana ia menawarkan perlindungan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan ProtectHealth itu.

Sebelum ini, Khairy berkata penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh memilih jenis vaksin yang sama untuk dos penggalak mereka. Keputusan itu disebabkan keengganan penerima vaksin Sinovac untuk mengambil dos penggalak dari jenis yang berbeza, seperti Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Khairy juga dilaporkan sebagai berkata terdapat 3.5 juta penerima dos primer Sinovac yang masih belum menerima dos penggalak mereka, dan KKM akan mengeluarkan janji temu untuk mereka.

Sementara itu dalam satu ciapan berasingan pagi ini, Khairy merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana peratusan tinggi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

“Tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana laju memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Terima kasih kerana memastikan anak-anak anda selamat dari Covid-19,” katanya.

Infografik bersama ciapan tersebut menunjukkan 7.7 peratus kanak-kanak di Sarawak dan 6.0 peratus kanak-kanak di Melaka, sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat Jumaat 11 Februari.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 5.8 peratus, Negeri Sembilan (3.3), Perlis (2.2), Labuan (1.8), Sabah (1.5), Kedah (1.2). Perak (0.6), Terengganu (0.5) dan Pulau Pinang (0.4).

Dua negeri dengan peratusan terendah vaksinasi untuk kanak-kanak ialah Johor dan Pahang, yang masing-masing mencatatkan kadar liputan vaksinasi PICKids 0.1 peratus sementara di Kelantan peratusannya adalah 0.

Berdasakan infografik yang sama, kategori umur kanak-kanak yang paling banyak mendapatkan vaksinasi Covid-19 ialah 10 dan 11 tahun.

Kadar vaksinasi PICKids dilihat mula menunjukkan trend peningkatan sejak 9 Februari sehingga semalam, dengan 97,975 kanak-kanak sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

-BERNAMA