Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Vaksin mampu kurangkan risiko OKU dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Seorang perunding kanan pediatrik percaya bahawa vaksin Pfizer-BioNTech mampu mengurangkan risiko golongan kurang upaya (OKU) dijangkiti virus Covid-19.

Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Perak Datuk Dr Amar Singh HSS berkata ketika ini, belum ada halangan bagi golongan itu mendapatkan vaksin Covid-19 melainkan keimunan mereka terjejas.

“Saya percaya vaksin itu akan menjadi bahagian penting dalam keseluruhan proses membasmi atau mengawal Covid-19 dan kita perlu ingat bahawa golongan kurang upaya lebih cenderung berdepan masalah kesihatan serta mempunyai risiko lebih tinggi untuk jatuh sakit apabila dijangkiti,” katanya dalam program perbincangan maya ‘Think Differently with Ras Adiba’ yang dihoskan Pengerusi Bernama Datuk Ras Adiba Radzi di Bernama TV di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin itu terhadap golongan kurang upaya yang mengalami sindrom down, palsi serebrum dan distrofi otot memandangkan sistem keimunan mereka tidak kuat berbanding individu lain.

“Saya percaya masalah utamanya ialah alergi. (Misalnya) jika anda mempunyai alergi yang ketara dan melihat kepada berjuta-juta (orang) yang telah diimunisasi, (hanya) beberapa orang yang mengalami reaksi teruk terhadap vaksin itu,” kata penerima Anugerah Pakar Pediatrik Cemerlang Asia 2012 dan Anugerah Advokasi SENIA 2016.

Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada Ahad lepas.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk petugas barisan hadapan yang membabitkan 500,000 orang.

Fasa 2, dari April hingga Ogos, akan membabitkan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan kurang upaya merangkumi kira-kira 9.4 juta orang manakala Fasa 3, yang bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, akan meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas, yang menyasarkan lebih 13.7 juta orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal

PUTRAJAYA, 6 FEB: Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal sebelum bermulanya Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama pada 26 Feb ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semalam.

Beliau berkata vaksin itu perlu diterima lebih awal, bagi membolehkan suntikan awal diberikan kepada 7,000 individu yang akan bertugas memberikan vaksin.

“Kita perlu dahulukan mereka yang akan bertugas memberi vaksin dan 7,000 vaksinator telah dipilih untuk disuntik awal, Oleh itu, (vaksin) ini djangka diterima awal seminggu dari tarikh 26 Feb,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada 11 Jan lepas, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan (KKM), dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.

Dr Adham berkata vaksin itu akan diterima secara berfasa iaitu 148,000 dos pada fasa pertama.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata KKM telah mengenal pasti 55 lokasi penyimpanan vaksin di seluruh negara yang dilengkapi Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF), memandangkan vaksin itu perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

“Vaksin ini perlu dalam suhu -70 darjah Celsius secara berterusan, sehingga ia dikeluarkan untuk disuntik kepada mereka yang terlibat dalam fasa Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama,” katanya.

Beliau berkata KKM juga bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd, untuk memastikan tiada ganguan bekalan elektrik berlaku di lokasi penyimpanan vaksin.

Mengenai 600 pusat pemberian vaksin yang akan dibuka di seluruh negara, Dr Adham berkata tujuh petugas terdiri daripada pegawai perubatan serta jururawat, akan ditempatkan di setiap fasiliti suntikan vaksin.

“Kita jangka dapat memberi 210 suntikan vaksin di satu-satu lokasi sehari dan sekiranya ia berjalan lancar… 120,000 suntikan dapat dijalankan setiap hari di semua 600 pusat pemberian vaksin,” katanya.

Beliau berkata KKM akan memastikan pusat pemberian vaksin yang akan dibuka itu, terletak di lokasi strategik dan mempunyai peralatan yang mampu menyimpan vaksin dengan baik.

“Pusat pemberian vaksin ini perlu teratur dan kemas, dan proses pemberian vaksin akan dilaksanakan dalam jumlah tertentu, kerana kita tidak mahu orang beratur panjang.

“Selain itu, perlu ada sesi rehat untuk mereka yang ambil vaksin dalam 30 minit, kerana kita tidak mahu ada kesan mudarat selepas suntikan,” katanya.

Rabu lepas, Dr Adham berkata KKM sudah bersedia untuk melaksanakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama, sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Feb ini.

Menurutnya, sesi latihan awal penghantaran vaksin tersebut ke Klinik Kesihatan Belaga di Sarawak pada 29 Jan dan Hospital Bintulu pada 30 Jan, berjaya dilaksanakan tanpa sebarang isu.

Beliau berkata, latihan awal penghantaran itu adalah untuk memastikan bekalan vaksin dari kilang syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, di Puurs, Belgium yang menggunakan bekas ultra sejuk, sampai di Malaysia tanpa sebarang masalah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia dijangka terima vaksin Pfizer pada 26 Februari

KUALA TERENGGANU, 1 FEB: Malaysia dijangka menerima bekalan fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata vaksin itu kemudian akan diagihkan secara berperingkat ke negeri-negeri dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Dr Noor Hisham berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Malaysia sebelum ini dilaporkan membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech selain memberi komitmen untuk membeli tambahan 12.2 juta dos lagi vaksin sama.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini seramai 141 sukarelawan telah menerima suntikan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19, iaitu SARS-COV-2, yang ditaja Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Mereka yang menerima suntikan itu merupakan antara 3,000 sukarelawan berusia 18 tahun ke atas yang telah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

“Jumlah sukarelawan pun kita mahu 3,000 sahaja tetapi jumlah yang mohon lebih ramai daripada angka itu, jadi kita akan buat pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berharap isu pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk oleh fasiliti swasta dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Pihaknya juga berharap fasiliti swasta berdaftar seperti klinik dan hospital dapat melaporkan kes-kes positif kepada CPRC di negeri masing-masing sebelum 12 tengah hari setiap hari.

“Kita lihat makmal-makmal swasta apabila mereka dapat keputusan mereka kena masukkan keputusan itu dalam sistem informasi maklumat kesihatan awam, jadi kalau ada kelewatan masuk data itu maka kita akan terima data itu lewat,” katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata peningkatan jumlah kes harian yang mendadak hingga melepasi angka 5,000 selama tiga hari berturut-turut disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke CPRC Kebangsaan termasuk kes-kes yang dikesan positif pada 2020.

Peningkatan kes yang mendadak itu disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri, katanya.

– BERNAMA