Categories
AGENSI SELANGOR

Usah bimbang, vaksin Pfizer beri kesan sampingan ringan kepada remaja

BANGI, 30 SEPT: Vaksin Pfizer-BioNTech hanya memberi kesan sampingan ringan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang menerima pelalian melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra Dr Saiful Bahri Md Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan vaksin tersebut mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kalau ikutkan tiada ubat yang tidak memberi kesan. Kesan sampingan vaksin Pfizer-BioNTech sangat rendah iaitu sekitar 0.01 peratus, jadi ibu bapa jangan risau kerana ia dijamin selamat.

Dr Saiful Bahri Md Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sekiranya individu itu mendapat kesan sampingan selepas divaksin, kita masih boleh kawal tetapi tidak akan membawa kepada kematian. Kalau ada (kematian), dari awal lagi vaksin tersebut tidak diluluskan,” katanya.

Beliau ditemui pada PICK Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini hari ini.

Dr Saiful berkata demikian bagi mengulas dakwaan lima remaja meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti dalam video tular di media sosial sejak kelmarin.

Sementara itu, beliau yang juga timbalan pengurus PPV terbabit berkata pihaknya akan memastikan remaja selesai divaksin menjalani pemantauan rapi antara 15 hingga 30 minit di ruang khas.

“Sukarelawan bertugas akan melihat reaksi mereka sepanjang tempoh berkenaan kerana kita dapati ada juga yang mengalami alahan tetapi nisbahnya sangat kecil, dalam 10,000 peserta akan ada dua orang (alahan),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima 1 juta dos vaksin Pfizer sumbangan AS esok

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Malaysia akan menerima satu juta dos vaksin Covid-19 Pfizer disumbangkan Amerika Syarikat (AS), esok (5 Julai), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sumbangan itu akan membantu meningkatkan lagi proses vaksinasi serta membawa perkembangan bermakna terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat saya, (Setiausaha Negara) Antony Blinken dan Kerajaan AS atas sumbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hishammuddin berkata Malaysia juga amat menghargai sokongan AS melalui kedutaannya di Kuala Lumpur sejak pandemik melanda tahun lalu, termasuk sumbangan dalam bentuk kelengkapan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bernilai US$250,000.

Beliau turut berharap hubungan erat serta mesra antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.

Dalam usaha memastikan akses global yang adil terhadap vaksin Covid-19, Hishammuddin berkata Malaysia sedia menjalin kerjasama menyeluruh dengan AS dalam penyelidikan, pengembangan dan pengedaran vaksin.

Katanya, menerusi suratnya kepada Blinken pada 4 Jun, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden pada 3 Jun mengenai sokongan untuk mengetepikan secara sementara perlindungan Harta Intelek (IP) vaksin Covid-19.

Di samping itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerusi ucapannya di Persidangan Antarabangsa Nikkei pada Mei 2021 mengumumkan sokongan Malaysia untuk mengetepikan IP vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, Pfizer meterai perjanjian keluar, bekal vaksin Covid-19 di Malaysia

PUTRAJAYA, 11 JAN: Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan, hari ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluarkan dan membekalkan vaksin Covid-19 Pfizer di negara ini.

Perjanjian itu merupakan lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 Nov lalu.

Perjanjian dimeterai secara telesidang oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei) Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer. Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer Anil Argilla.

Berucap pada majlis itu, Dr Adham berkata kerajaan Malaysia menghargai sokongan yang diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di negara ini lebih awal daripada jangkaan.

Argilla pula berkata Pfizer komited untuk memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.

“Ini merupakan satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Vaksin Pfizer lulus untuk kegunaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Pendaftaran secara bersyarat bagi vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer, “Comirnaty Concentrate for Dispersion”, telah diluluskan untuk kegunaan di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Twitter dan Facebook rasminya berkata pendaftaran vaksin itu diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-352 yang bersidang hari ini.

“Pun begitu syarikat masih perlu mengemukakan beberapa data penting dalam tempoh masa yang ditetapkan sebelum ianya dibenarkan untuk digunakan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi Twitter rasmi beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atas keputusan bagi pendaftaran bersyarat untuk vaksin Covid-19 keluaran Pfizer itu.

“Saya baru dimaklumkan oleh @DGHisham bahawa NPRA telah meluluskan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Pfizer. Kami masih menunggu untuk beberapa maklumat tambahan daripada Pfizer.

“Tahniah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di atas pendaftaran yang cepat,” katanya.

Sehingga ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.

-BERNAMA