Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Suntikan vaksin polio diteruskan dalam tempoh PKPB

PUTRAJAYA, 19 NOV: Pemberian suntikan vaksin polio sebanyak empat dos di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan di kemudahan Kementerian Kesihatan (KKM) diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian vaksin itu dilakukan dengan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan mengambil kira kepentingan imunisasi bagi bayi serta kanak-kanak untuk mencegah penyakit.

“Walaupun dalam PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), klinik-klinik kesihatan masih dibuka untuk kempen imunisasi.

“Orang ramai diminta terus membawa anak ke klinik kesihatan untuk mendapatkan imunisasi (dalam tempoh PKPB sekarang),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata sehingga Jun 2020, liputan imunisasi bagi suntikan vaksin polio yang diberikan secara vaksin kombinasi lima serangkai bagi kanak-kanak di seluruh negara ialah 95.6 peratus berbanding 98.4 peratus bagi tempoh yang sama pada 2019.

“Terdapat gangguan dalam pengambilan imunisasi susulan PKP dan kerisauan ibu bapa dengan pendedahan kepada jangkitan Covid-19 semasa membawa anak keluar,” katanya.

Ditanya mengenai kempen imunisasi polio di Sabah, beliau berkata sejak Filipina melaporkan terdapat kes polio pada September 2019 negara itu, tindakan bagi mengesan kes polio di negara ini dipertingkatkan.

Bagi kes polio di Sabah sehingga kini empat kes telah disahkan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata kempen imunisasi polio di Sabah dimulakan sejak 27 November tahun lepas dan sehingga 16 Nov, seramai 820,135 kanak-kanak bawah 13 tahun di negeri itu tanpa mengira warganegara diberikan dua dos vaksin polio bivalent.

Menurutnya, sebanyak 737,936 kanak-kanak berumur bawah 13 tahun telah menerima dua dos vaksin oral polio monovalent di seluruh Sabah.

“Saya sendiri turun padang untuk melihat vaksin diberikan kepada kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara untuk elak jangkitan polio dalam kalangan kanak-kanak di Sabah. Impak positif (daripada kempen ini) ialah kes terakhir dikesan pada 10 Mac 2020,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM terima 2.5 juta vaksin polio tambahan daripada WHO

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 2.5 juta dos vaksin polio oral monovalen jenis 2 (mOPV2) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai vaksin tambahan untuk kawalan wabak polio di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan vaksin yang dikendalikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu untuk diberikan kepada lebih 1 juta kanak-kanak di bawah umur 13 tahun di Sabah.

“Vaksin mOPV2 yang dibekalkan oleh UNICEF adalah vaksin tambahan yang perlu diberikan di samping vaksin bOPV (vaksin polio oral bivalen) yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan perlindungan virus polio adalah lengkap.

“Kedua-dua jenis vaksin ini (iaitu mOPV dan bOPV) akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta menghalang penularan virus polio kepada kanak-kanak lain.

“Semua kanak-kanak yang berumur bawah 13 tahun akan diberikan kedua-dua jenis vaksin OPV ini tanpa mengira status imunisasi,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi KKM.

Dr Noor Hisham berkata vaksin OPV berkenaan adalah selamat dan perlu diberikan beberapa kali bagi kesan yang optimum, justeru ibu bapa penjaga dan pihak taska, tadika serta sekolah digesa memastikan kanak-kanak menerima imunisasi tersebut.

Terkini, Malaysia masih kekal mencatatkan tiga kes disahkan polio melibatkan kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran, lapan tahun dari Sandakan dan 11 tahun dari Kinabatangan di Sabah.

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sihat tiada bergejala dari daerah Semporna telah dikesan positif virus polio melalui persampelan yang disasarkan ke atas kanak-kanak sihat, manakala lima sampel persekitaran air kumbahan dikesan positif virus polio iaitu dari Daerah Kota Kinabalu dan Semporna.

Sebagai langkah kawalan, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan tambahan untuk menjalankan kempen imunisasi bOPV kepada kanak-kanak di seluruh negeri Sabah sejak 27 Dis 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayi dijangkiti polio: Golongan tolak vaksin kena insaf

MELAKA, 22 DIS: Golongan menolak vaksin terutama ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin imunisasi, seharusnya insaf dengan kes polio baru-baru ini yang hanya boleh dicegah dengan vaksin sebagai pelindung kepada nyawa terutama kanak-kanak.

Perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, ini kerana polio merupakan penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti meninggal dunia.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, polio merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

“Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ini ditemui hingga ke hari ini tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan.

“Polio ini suatu penyakit yang amat serius, maka pastikan anda dapat imunisasi yang lengkap dan bagi mereka menolak vaksin saya harap ini jadi suatu keinsafan buat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 6 Disember lepas, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), merupakan kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.

Menurut Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, bayi perlu menerima vaksin polio tidak aktif (IPV) pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan. Bayi itu juga perlu diberi dos tambahan apabila mencapai usia 18 bulan.

Dr Musa berkata, tahap imunisasi bagi sesebuah komuniti mencegah penyakit dengan berkesan adalah 95 peratus dan menurutnya Kementerian Kesihatan serta semua pihak terlibat telah melaksana langkah imunisasi membanggakan apabila negara ini melebihi 96 peratus tahap imunisasi nasional.

Bagaimanapun, beliau berkata, apa yang membimbangkan adalah kegagalan sesetengah komuniti setempat di negara ini terutama di kawasan pendalaman memperoleh vaksin antaranya akibat kurang pengetahuan seterusnya gagal mencapai tahap imunisasi berkesan 95 peratus itu.

“Syabas Kementerian Kesihatan kerana telah melaksana pemantauan dan mengambil respons awal apabila dua setengah bulan lepas berlaku penularan polio di Filipina. Saya percaya kementerian akan mengambil langkah meningkatkan liputan imunisasi dalam kalangan komuniti tahap imunisasi rendah ini,” katanya.

Media sebelum ini turut melaporkan siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio itu mendapati 23 daripada 199 orang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio, menunjukkan hanya 88.4 peratus menerima vaksin polio dalam kumpulan itu.

– BERNAMA