Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lulus vaksin Sinovac untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penggunaan vaksin ‘CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated’ keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, diluluskan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kelulusan bersyarat itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang bersidang hari ini.

Beliau berkata ia adalah vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dan sebelum ini kelulusan sama diberikan kepada vaksin Comirnaty pada 6 Januari lepas.

“CoronaVac sebelum ini sudah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata mesyuarat itu turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk Paxlovid (PF-07321332 150mg Film-Coated Tablets and Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) untuk rawatan Covid-19 kepada golongan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala teruk.

Bagaimanapun, beliau berkata produk Paxlovid keluaran Pfizer Manufacturing Deutschland GmbH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland itu tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin dan antivirus tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau berkata KKM terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di negara ini dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

-BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia guna vaksin Covid-19 jenis Sinovac Khamis ini

PUTRAJAYA, 15 MAC: Malaysia akan menggunakan vaksin Covid-19 jenis Sinovac bermula Khamis ini, dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, menjadi penerima pertama suntikan vaksin keluaran China itu.

Mengumumkan perkara itu dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini, Khairy berkata beliau akan menerima suntikan pertama vaksin Sinovac itu di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

“Kita akan mula vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac di Hospital Rembau dan sayalah orang pertama akan guna vaksin itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi tiga vaksin Covid-19 untuk kegunaan semasa bencana iaitu, ‘Covid-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’; ‘CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac’; dan ‘COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection’.

Mengenai perolehan vaksin satu dos daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan untuk tidak meneruskan perolehan vaksin itu.

“Mengenai J&J, kami memutuskan untuk tidak meneruskannya pada masa ini kerana jadual penghantarannya yang tidak memuaskan hari kerajaan Malaysia. Mereka perlu kembali dengan jumlah yang lebih banyak dan jadual penghantaran yang lebih pantas,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang turut sama dalam sidang media itu berkata, suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech akan diberikan mulai Rabu ini.

Malaysia memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech.

– BERNAMA