Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan tegas jika jual vape kepada pelajar

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kementerian Kesihatan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin dan penggunaannya dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah dalam usaha membanteras gejala vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara itu tertumpu kepada kedai-kedai menjual rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah yang menjadi akses kepada pelajar.

“Rokok elektronik yang menggunakan cecair bernikotin adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai langkah mengawal penjualan vape atau rokok elektronik yang kini menjadi trend serta tarikan terutama remaja dan pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementeriannya juga giat menjalankan penguatkuasaan pendidikan berkaitan larangan merokok di premis makanan dengan 146,607 premis makanan telah diperiksa setakat ini.

Katanya pihaknya turut mengeluarkan notis amaran kepada 27,759 premis kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok, manakala 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, KPM rangka strategi atasi pelajar guna vape

SHAH ALAM, 14 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sesi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merangka strategi untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya juga menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara dengan menumpukan kedai-kedai penjualan vape berhampiran sekolah.

“Antara langkah yang telah dijalankan KKM ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

“Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh Malaysia pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

“Penguatkuasaan ini adalah menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan kedai peralatan rokok elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, masalah rokok elektronik bermula seawal tahun 2013 dan telah memuncak penggunaannya di Malaysia pada tahun 2016 malah menjadi epidemik global yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak.

Pada 2018, sejumlah 32 peratus daripada 20,032 perokok berdaftar berjaya berhenti merokok menerusi Program Berhenti Merokok (mQuit).

Mengenai penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan, Dr Dzulkefly menjelaskan, sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa manakala 31,422 lagi diberi notis amaran.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula diterima sejak Januari 2019 sehingga 3 November 2019.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020,” katanya.