Categories
AGENDA NASIONAL

Kurang mahir IT punca veteran ATM susah dapat manfaat

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Tidak tahu fungsi mendaftar, kurang mahir dalam penggunaan teknologi digital, selain tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan menjadi antara sebab golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata kekangan itu menyukarkan pihaknya untuk menyampaikan segala bentuk bantuan serta manfaat disalurkan kerajaan menerusi JHEV kepada veteran tentera.

Beliau berkata menerusi rekod sehingga 30 Julai lepas, keseluruhan jumlah veteran ATM dan tanggungan ialah seramai 306,900 orang.

“Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu seramai 102,559 orang adalah veteran berpencen, 180,395 orang veteran tidak berpencen manakala 23,946 orang adalah penerima pencen terbitan (balu veteran ATM),” katanya kepada Bernama.

Dzulkarnain berkata daripada jumlah veteran tidak berpencen, hanya 95,933 orang sahaja telah mendaftar selain mempunyai rekod lengkap sementara baki 84,462 masih tidak mendaftar.

Katanya, JHEV berharap veteran ATM tidak berpencen yang masih belum berdaftar segera berbuat demikian bagi memudahkan jabatan itu menyalurkan bantuan atau kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.

“Ada dalam kalangan mereka yang telah berusia dan tidak mahir dengan teknologi digital sekali gus menyukarkan mereka untuk mendaftar secara dalam talian. Terdapat juga keadaan yang mana mereka ini mempunyai pekerjaan sendiri selepas bersara dan tidak mahu ada sebarang ikatan lagi dengan pihak kerajaan,” katanya.

Menurut Dzulkarnain, satu jawatankuasa khas turut dibentuk yang berperanan menyemak dokumen salinan asal veteran ATM tidak berpencen untuk didaftarkan semula ke dalam sistem pendaftaran sedia ada.

Katanya, gerak kerja jawatankuasa itu yang memasuki tempoh dua bulan sejak bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan kerajaan, memudahkan lagi usaha JHEV dalam mengesan dan mendaftarkan golongan terbabit.

Beliau berkata proses menjejaki veteran ATM tidak berpencen itu juga dibantu 132 persatuan induk dan 350 cawangan persatuan membabitkan veteran tentera.

“Melalui penyertaan mereka bersama persatuan-persatuan terbabit, usaha menjejak dan mengesan dapat dilaksana secara berterusan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

234 Veteran ATM Selangor lawan komunis terima pingat PJM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Seramai 234 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Selangor dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas khidmat bakti golongan itu dalam bidang ketenteraan.

Penganugerahan pingat disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Afandi Raja Mohamed Noor, pada Majlis Penganugerahan Pingat PJM, di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, petang ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk’ Mohd Khir Abdullah.

Sebelumnya, penerima pingat terdiri daripada Persatuan Veteran ATM Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Persatuan Veteran India ATM India Selangor dan Wilayah Persekutuan.

PJM dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang berkhidmat atau bertugas secara langsung di mana-mana pasukan atau formasi ATM, bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).

Penganugerahan juga disampaikan kepada anggota terbabit yang menentang Parti Komunis Utara (PKKU) Kalimantan Utara bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

Pingat PJM turut dianugerahkan kepada anggota yang cedera, terbunuh atau menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) disebabkan tugas menentang Komunis Malaya, bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 dan parti Komunis Kalimantan, pada 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

 

Categories
NASIONAL

‘Hadiah’ veteran ATM terlalu kecil – AMK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OGOS: Bantuan elaun sara hidup kepada pesara tentera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini bukanlah penyelesaian terbaik terhadap kemelut membabitkan golongan itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, insentif itu dianggap masih terlalu minimum berbanding masalah sebenar dihadapi veteran itu.

“Bantuan Bakti Negara (BBN) merupakan bantuan tahunan kepada veteran tentera tidak berpencen, manakala Bagi mereka yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia berjumlah RM1,200 setahun.

“Ini bermakna mereka hanya menerima RM100 sebulan sedangkan bantuan sara hidup nelayan pun RM200 sebulan.

“RM1,200 ibarat sama nilai sekali Rosmah Mansor potong rambut,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, kiraan pencen veteran masih dibuat berdasarkan gaji pokok ketika mereka bekerja puluhan tahun lalu dengan hanya sedikit pelarasan.

nik-nazmiKatanya, alasan kemampuan kerajaan yang terhad untuk menaikkan kadar bagi semua pesara kerajaan juga disifatkan tidak wajar.

“Veteran tentera umumnya bersara lebih awal dan mempunyai prospek pekerjaan terhad selepas meninggalkan perkhidmatan.

“Itu sebab ramai yang hadir ke majlis bersama Najib meninggalkannya lebih awal,” katanya.

Terdahulu, dalam Perhimpunan Veteran ATM, Najib mengumumkan sumbangan RM5 juta kepada Tabung Pahlawan.

Najib turut mengumumkan lima insentif yang akan diperoleh veteran ATM tidak berpencen sempena Hari Pahlawan, semalam.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Persekutuan perlu tampil bantu kebajikan veteran ATM

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kerajaan Persekutuan perlu memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya yang tidak berpencen.

azmin-parlimenDato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jasa dan pengorbanan mereka kepada negara perlu dihargai memandangkan 260,000 dari370,000 veteran ATM tidak berpencen.

“Untuk melindungi mereka, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat tampil segera menyediakan program latihan dan menjaga kebajikan mereka kerana tidak mempunyai faedah pencen.

“Mereka sudah berkhidmat dan berkorban mempertahankan kedaulatan juga keselamatan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Pahlawan ATM dan Program Kemasyarakatan dan Kebajikan Veteran ATM.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan khusus terus disalur kepada veteran ATM

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 14 JAN: Kerajaan Negeri komited membantu veteran Angkatan Tentera Makaysia (ATM) dengan menyediakan bantuan khusus kepada golongan itu.

Terbaru, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin meluangkan masa ke kediaman dua bekas ATM selain menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menghargai sumbangan dan pengorbanan bekas ATM kepada negara.

MB Ziarah Veteran (3)“Kami menghargai pengorbanan bekas ATM yang berjuang selama ini untuk negara.

“Usaha kita bagi memastikan mereka tidak diketepikan daripada pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui di kediaman Nuri Angkasa, di sini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM.

Sebahagian peruntukan itu disalurkan dalam Tabung Pahlawan ATM, manakala sebahagian lagi disalurkan ketika program turun padang.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa daripada 378,274 bekas tentera di seluruh negara, seramai 263,494 merupakan veteran angkatan tentera tidak berpencen.

“Untuk maksud melindungi dan memelihara kebajikan lebih 28,000 veteran angkatan tentera yang bermastautin di Selangor, maka kita pertimbangkan beberapa inisiatif,” katanya.

-NFN-