Categories
NASIONAL

Parlimen: Vivian Wong angkat sumpah jawatan

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Anggota Parlimen Sandakan yang baharu, Vivian Wong Shir Yee mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.

Majlis berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff kemudian mengalu-alukan kehadiran Wong, 30, dan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei lalu.

“Saya yakin lantikan ini merupakan pengiktirafan rakyat kepada generasi muda untuk menyuarakan aspirasi dan harapan mereka,” katanya.

Wong memenangi PRK itu dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin serta tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Wong merupakan anak kepada penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Institut Jantung Negara (IJN) pada 22 Mei lalu.

Mohamad Ariff turut meminta semua anggota Dewan Rakyat bangun dan membaca Al-Fatihah bagi yang beragama Islam dan bertafakur selama satu minit bagi yang bukan Islam.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

MB: Tahniah DAP kekalkan legasi di Sandakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada calon DAP, Vivian Wong Shir Yee atas kemenangan besarnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, kejayaan itu sekali gus membuktikan Pakatan Harapan berjaya mengekalkan legasi perjuangan mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Kejayaan ini diteruskan demi kesejahteraan penduduk Sandakan.

“Tahniah diucapkan kepada saudari Vivian yang berjaya mempertahankan kerusi Sandakan,” katanya menerusi twitter.

 

Semalam, Vivian, 30, mempertahankan kerusi DAP dengan majoriti lebih besar, 11,521 undi menewaskan pencabar terdekat, Datuk Linda Tsen Thau Lin dari Parti Bersatu Sabah.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain malam tadi.

Terdahulu, PRK Sandakan diadakan berikutan penyandangnya, Stephen Wong yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Vivian adalah anak bongsu (anak ke-4) kepada mendiang.

 

Categories
NASIONAL

Vivian tepis tanggapan PBS terhadap keupayaannya

SANDAKAN, 5 MEI: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menepis tangapan parti pembangkang Parti Bersatu Sabah (PBS) kononnya usia beliau terlalu muda dan tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat.

Vivian, 30, berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana sejak dari awal lagi beliau sudah didedahkan dengan dunia politik oleh mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt).

Katanya, ketika bekerja di Kuala Lumpur, beliau juga terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti membantu golongan yang memerlukan di luar negara.

“Saya tidak fikir faktor usia muda menjadi penghalang untuk seseorang menjadi pemimpin dan berkhidmat kepada rakyat, Orang muda juga tahu berkhidmat kepada rakyat… yang penting hati yang ikhlas untuk berkhidmat,” katanya pada ceramah di pasar malam Kim Fung di sini Sabtu malam.

Justeru beliau berharap penduduk Sandakan akan memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka dan meneruskan usaha mendiang bapanya.

DAP berhadapan empat saingan dari calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas untuk mempertahankan Parlimen Sandakan pada PRK Parlimen itu.

DAP mempertaruhkan Vivian Wong Shir Yee, 30, yang dicabar oleh Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) serta tiga calon Bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 7 Mei dan mengundi pada 11 Mei ini. PRK Sandakan diadakan susulan kematian anggota parlimennya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Vivian Wong mahu tunai janji mendiang bapa

SANDAKAN, 29 APRIL: Calon DAP bagi Pilihan Paya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kepada rakyat, di Parlimen itu.

Wong, 30, berkata beliau berpegang kepada prinsip mendiang bapanya, iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan.

“Sebagai anak yang mengikut perjuangan politik dan bekerja di bawah bapa ketika mendiang sebagai wakil rakyat dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, saya mahu menyelesaikan janji kepada rakyat yang belum ditunaikan,” katanya pada ceramah umum di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, malam tadi.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, semangat dan keyakinan bapanya menjadi pendorong penting kepadanya dalam perjuangan politik terutama membantu golongan yang memerlukan perhatian.

Beliau juga sudah bersedia dan nekad meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sedar setiap hari rakyat perlukan kami dan sebab itu konsep sentiasa turun padang yang menjadi pendekatan penting mendiang bapa akan saya teruskan terutama jika menerima aduan daripada rakyat,” katanya.

Seperti mendiang bapanya, Wong yang mula bergiat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP mahu menumpukan kepada aspek pembangunan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Justeru, katanya, keputusan Kerajaan Persekutuan meneruskan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya.

Katanya, ia akan meningkatkan jumlah pesawat mendarat di lapangan terbang itu dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.

“Jika industri pelancongan di daerah ini meningkat, sudah tentu akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja khususnya golongan muda dan tidak perlu mencari kerja di tempat lain.

“Saya menyedari kekurangan peluang pekerjaan di daerah ini kerana selepas pengajian di Australia, saya juga bekerja di Kuala Lumpur disebabkan kurangnya peluang dan bidang yang sesuai di sini,” kata graduan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia.

PRK Sandakan menyaksikan Wong ditentang empat calon iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas, iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.

Hari pengundian awal diadakan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei ini.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

-BERNAMA