Categories
NASIONAL

PRK Sandakan sangkal dakwaan sokongan PAKATAN merosot – Azizah

SERDANG, 12 MEI: Kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membuktikan dakwaan pihak tertentu bahawa sokongan rakyat kepada PAKATAN semakin merosot adalah tidak benar, kata Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan PAKATAN di PRK Sandakan adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan yang baik daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini menunjukkan memang merosotlah apa-apa hujah yang yang mengatakan sokongan rakyat kepada PAKATAN makin menurun,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Jururawat Antarabangsa di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Keputusan PRK Parlimen Sandakan semalam menyaksikan DAP mempertahankan kerusi itu selepas calonnya Vivian Wong Shir Yee, 30, menewaskan empat pencabarnya dengan majoriti 11,521 undi selepas mendapat 16,012 undi.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kemenangan Vivian tunjukkan rakyat masih sokong PH – Anwar

SANDAKAN, 12 MEI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Vivian Wong daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan jelas menunjukkan rakyat masih memberi sokongan dan dukungan padu kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, Anwar berkata kepimpinan PH tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan Vivian, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan taraf ekonomi rakyat terus terbela di setiap peringkat.

“Selain itu, pimpinan PH juga dinasihatkan agar menggerakkan segala usaha membantu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merealisasikan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat ‘Kemakmuran Bersama’ yang diumumkan sewaktu Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Anwar, anggota Parlimen Port Dickson, turut mengucapkan tahniah kepada Vivian kerana diberi mandat oleh rakyat di Sandakan untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik seperti mana yang dilakukan mendiang bapanya (Datuk Stephen Wong Tien Fatt),” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan contoh terbaik – SPR

SANDAKAN, 11 MEI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sebagai contoh terbaik PRK yang diadakan sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai pengerusi badan berkecuali itu.

Beliau berkata, perkara itu dilihat berdasarkan kelancaran proses PRK itu berlangsung, selain aspek ketenteraman awam dan disiplin tinggi yang ditunjukkan para penyokong parti politik, calon bertanding serta pengundi.

“Mereka amat berdisiplin, menghormati undang-undang dan peraturan Pilihan Raya, saya rasa ini contoh pilihan raya yang amat baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan bagi PRK Sandakan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini, malam ini.

Mengulas mengenai penyusutan peratus pengundi keluar mengundi, Azhar berkata itu adalah perkara biasa.

“Peratusan yang keluar mengundi hari ini, 54.4 peratus bersamaan 21,595 pengundi, selalunya memang (pengundi) akan berkurangan daripada Pilihan Raya Umum,” katanya yang menjangka faktor pengurangan berkemungkinan disebabkan ramai pengundi bekerja di luar kawasan sekali gus tidak dapat balik.

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan calon DAP Vivian Wong Shir Yee menang dengan majoriti 11,521 undi.

SANDAKAN, 11 Mei — Calon DAP Vivian Wong Shir Yee (tengah) mengangkat tangan tanda gembira selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan beliau dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Vivan memperoleh 16,012 undi berbanding pencabar terdekat iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah yang meraih 4,491 undi.

Kemenangan Vivian itu turut melebihi majoriti bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, penyandang kerusi parlimen itu, yang mendapat majoriti 10,098 pada PRU ke-14.

Pada 28 Mac lalu, Stephen meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Vivian dedikasi kemenangan kepada mendiang bapa

SANDAKAN, 11 MEI: Anggota Parlimen Sandakan baharu, Vivian Wong Shir Yee mendedikasikan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan kepada mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Untuk itu, beliau akan menziarahi kubur bapanya esok bagi menghargai pengorbanan bapanya mendidiknya menjadi seorang insan berjiwa rakyat.

“Saya berterima kasih kepada bapa saya yang telah mempersiapkan diri saya menjadi ahli politik dan menjadikan saya sebagai wanita muda yang berhati waja.

“Kemenangan saya bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk mendiang bapa saya dan keluarga saya, dan yang paling penting, rakyat Sandakan,” katanya selepas diisytiharkan pemenang PRK Sandakan di sini malam ini.

SANDAKAN, 11 Mei — MENANG… Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan Calon DAP Vivian Wong ShIr Yee dengan undi 16,012 dan majoriti 11, 521 di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua malam ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Vivian berkata, beliau terharu dengan kesungguhan dan dedikasi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkempen untuknya tanpa mengenal cuaca panas mahupun hujan lebat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan Vivian merupakan hadiah ulangtahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah.

Katanya, kemenangannya akan menyuntik semangat kepada kerajaan untuk bekerja lebih keras lagi demi rakyat dan negara.

Sementara itu, ibu Vivian iaitu Datin Florence Chong berkata kemenangan anaknya itu telah mengubati deritanya selepas kehilangan Stephen akibat serangan jantung.

“Kemenangan Vivian menunjukkan Sandakan masih begitu menghormati mendiang suami saya sehingga menyokong anak kami,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa kemenangan Vivian Wong menunjukkan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Putrajaya dan negeri Sabah dibawah pimpinan parti Warisan.

Beliau berkata ia menunjukkan rakyat mahukan Malaysia Baharu, Sabah Baharu dan Sandakan Baharu.

“Ia juga penolakan kempen “malu apa bossku” yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri dan rakyat mahukan kerajaan yang bersih,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata ,kemenangan itu akan membawa perubahan kepada Sandakan.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri berkata, beliau bersama Wong akan berusaha melaksanakan janji bagi memajukan Sandakan.

Dalam pada itu, Benita Wong Shing Yee, 38, kakak kepada Vivian Wong melahirkan penghargaan kepada pengundi Sandakan yang menaruh kepercayaan kepada adiknya.

Namun dalam kemenangan itu, beliau masih merindukan mendiang bapanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Terima kasih kepada penduduk Sandakan yang menyokong Vivian dan memberi peluang dia berkhidmat kepada Sandakan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

DAP Pertahan Parlimen Sandakan

SANDAKAN, 11 MEI: DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan selepas calonnya Vivian Wong Shir Yee, 30, menewaskan empat pencabarnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, hari ini.

Wong memperoleh majoriti 11,521 undi, selepas mendapat 16,012 undi.

Selain Wong, PRK itu ditandingi calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin yang mendapat 4,491 undi dan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, (788 undi) Chia Siew Yung, 46, (178 undi) dan Sulaiman Samat, 36, (126 undi).

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan keputusan berkenaan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan di sini pada jam 9 malam ini.

P186: SANDAKAN – KEPUTUSAN (40,131 pengundi berdaftar)  

1. Hamza Bin Abdullah@ Hamzah (BEBAS)                              788

2. Sulaiman Bin Abdul Samad (BEBAS)                                     126

3. Vivian Wong Shir Yee (DAP)                                               16,012

4. Chia Siew Yung (BEBAS)                                                         178

5. Tsen Thau Lin (PBS)                                                              4,491

 

Jumlah mengundi                                                                     21,595  

Peratus                                                                                          54.44 %

Undi ditolak                                                                                 234

Jumlah kertas undi tidak dikembalikan                                  18

Majoriti                                                                                    11,521

 

Penyandang: Stephen Wong Tien Fatt (DAP)

Undi diperolehi: – 19,094

Majoriti : 10,098

 

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Semua pusat undi ditutup

SANDAKAN, 11 MEI: Semua 19 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan ditutup tepat pukul 5 petang ini sejak ia dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat pukul 4 petang ialah 51 peratus.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 90 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Aktiviti Serbaguna Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan di sini untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan sebelum 10 malam ini.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Samat.

Wong dan Sulaiman mengundi di Sekolah Kebangsaan Muhibbah manakala Chia di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 1. Tsen dan Hamzah bukan pengundi di kawasan Parlimen ini.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengundi beragama Islam keluar petang

SANDAKAN, 11 MEI: Cuaca panas dan berpuasa antara faktor pengundi beragama keluar mengundi pada sebelah petang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Seorang pengundi muda, Sarina Jamal, 26, dari Flat Chi Hwa, Batu 1 1/2 di sini berkata dia sengaja untuk keluar mengundi pada sebelah petang ekoran cuaca yang panas terik.

“Saya tiba di sini tadi pukul 1 petang menaiki Grab Car, kalau tidak berpuasa saya naik bas dan berhenti di simpang luar dan berjalan kaki sahaja ke pusat mengundi (Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan) tetapi kerana dua faktor ini (panas dan puasa) saya keluar duit sedikit RM4.

“Selepas ini saya singgah ke Harbour Mall dan kemudian ke Bazar Ramadan di Bandar Sandakan,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi SMK Sandakan di sini, hari ini.

Bagi Sarina yang mengundi bersama adik perempuannya, dia gembira kerana dapat melaksanakan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia untuk memilih parti serta wakil rakyat yang prihatin kepada penduduk.

“Lagi pun ini pengalaman kali kedua saya keluar mengundi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah, seorang pengundi wanita, Mariam Mantibelu, 47, berkata dia keluar mengundi pada sebelah petang sememangnya sudah dirancang awal bersama suami.

“Sebabnya berpuasa dan saya fikir kalau saya lewat keluar mengundi sedikit saya boleh ke Bazar Ramadan selepas mengundi, jadi tidak perlu ulang alik dari rumah,” katanya yang tinggal di Jalan Cecily Utara di sini.

–BERNAMA

Categories
NASIONAL

32% keluar mengundi setakat 12 tengah hari

SANDAKAN, 11 MEI: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan setakat 12 tengah hari tadi adalah 32 peratus setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah antara yang meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi seperti Sekolah Menengah Yu Yuan dan Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 dan 2.

Calon-calon yang mengundi pagi tadi ialah calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Bebas Chia Siew Yung dan calon Bebas Sulaiman Abdul Samat.

Proses pengundian berjalan sehingga 5 petang ini melibatkan 39,684 pemilih berdaftar, yang SPR menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi.

Sepanjang pagi tadi cuaca baik, namun Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir di beberapa tempat di Sandakan pada sebelah petang nanti.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Vivian Wong mengundi di SK Muhibbah

SANDAKAN, 11 Mei (Bernama) — Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, 30, tiba pada 8.09 pagi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah di sini, pagi ini.

Anak kepada penyandang kerusi Parlimen Sandakan, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt itu memakai baju kemeja berwarna putih kelihatan ceria melangkah masuk ke pusat mengundi.

Para media yang menanti ketibaannya tidak melepaskan peluang untuk merakam detik beliau mencelup jari warna biru sebagai tanda telah menunaikan tanggungjawab.

Pagi ini seawal 7.30 pagi, pengundi saluran satu dan dua di SK Muhibbah terlebih dahulu memulakan proses pengundian.

Keadaan cuaca pula cerah walaupun malam tadi cuaca hujan dan pada pagi proses pengundian berjalan lancar.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Sandakan bermula, SPR sasar 70% keluar mengundi

SANDAKAN, 11 MEI: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi mebabitkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu melibatkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan seramai 798 petugas di semua pusat pengundian dan menyasarkan 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu akan keluar mengundi.

Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di satu dua tempat pada sebelah petang di Sandakan hari ini.

Pada 7 Mei, 75 peratus daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: SPR lantik hampir 800 petugas lancarkan pengundian

SANDAKAN, 10 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik hampir 800 petugas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bagi melancarkan proses pengundian, Sabtu ini.

Timbalan Pengarah SPR, Dr Azmi Sharom berkata, penambahan pegawai di saluran satu dan dua juga dibuat kerana ia khusus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mengundi.

“Ini merupakan penambahbaikan yang diperkenalkan dalam PRK ini bagi membantu pengundi yang berkerusi roda atau bertongkat, ada orang yang boleh membantu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azmi juga menyeru kepada pengundi di Parlimen Sandakan supaya turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut mengingatkan waktu mengundi ialah pada pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 19 pusat melibatkan 90 saluran.

“SPR juga menjangkakan keputusan PRK SANDAKAN akan diketahui sebelum 10 malam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, walaupun terdapat aduan dan masalah namun kempen PRK Sandakan berjalan dengan baik dan patut dicontohi.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Pilih calon yang bekerjasama dengan kerajaan

SANDAKAN, 9 MEI: Pengundi di Sandakan diharap mengundi calon yang mempunyai kerjasama dengan kerajaan hari ini bagi memudahkan suara rakyat didengar, khususnya berkaitan harapan agar ekonomi di kawasan ini dirancakkan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob hari ini.

Merujuk kepada calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, beliau berharap rakyat memahami keikhlasan kerajaan untuk mengubah Sabah ke arah lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan negeri yang baharu menginginkan rakyat yang berilmu dan mempunyai kemahiran sesuai dengan permintaan pasaran kerja.

“Oleh itu, pelbagai perancangan kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat, antara yang utama ialah masalah pengangguran dalam kalangan belia,” katanya ketika merasmikan Karnival Pameran dan Kerjaya Sandakan 2019 di sini hari ini.

Menurut Yusof, dianggarkan 70,000 graduan di Sabah yang tidak bekerja dan usaha sedang dilakukan untuk melatih semula graduan tersebut agar memiliki kemahiran untuk mengisi kekosongan pekerjaan di pasaran.

Selain itu, beliau berkata kerajaan memberi peluang pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terbaik dunia atas tajaan biasiswa negeri atau Yayasan Sabah.

Katanya, kerajaan berharap graduan cemerlang dapat kembali ke Sabah untuk memimpin negeri ke arah yang lebih cemerlang lagi.

“Kita mahu mereka menjadi perancang dan peneraju pembangunan Sabah dengan idea kreatif dan berfikiran jauh dalam memajukan ekonomi negeri,” katanya.

— BERNAMA