Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Usahawan India digalak mohon pinjaman komuniti kembang niaga

KLANG, 10 FEB: Usahawan India digalak memohon pinjaman pusingan modal khas untuk komuniti itu bagi mengembangkan perniagaan menerusi program Viyabaram@Sitham.

EXCO Pembangunan Usahawan berkata sejak diperkenalkan pada 2021 seramai 50 usahawan telah memohon pinjaman berkenaan.

Jelas beliau, peniaga nasi beriani, S Ramesh pula menjadi usahawan pertama yang menerima manfaat ini.

“Dia layak menerima geran peralatan Sitham bernilai lebih RM9,000 dan ditawarkan juga pinjaman kendera saji oleh KoHijrah bernilai RM50,000,” kata Rodziah Ismail.

EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar Dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail menampal pelekat geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) di Taman Desa Utama, Klang pada 9 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran peralatan dan meninjau peniagaan S Ramesh di Bukit Tinggi di sini, semalam.

Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memperuntuk RM10 juta sebagai bantuan pinjaman pusingan modal khas untuk komuniti India menerusi program Viyabaram@Sitham.

Inisiatif itu dilaksana bagi menggalakkan mereka meneruskan perniagaan dan tidak terhenti separuh jalan.

Mereka yang berminat dengan program seperti ini boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah Selangor peruntuk RM10 juta bantu komuniti India terus berniaga

SHAH ALAM, 12 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memperuntuk RM10 juta sebagai bantuan pinjaman pusingan modal khas untuk komuniti India menerusi program Viyabaram@Sitham.

EXCO pembangunan usahawan berkata seramai 2,000 peserta Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) sedia ada termasuk yang baharu mendaftar berpeluang menerima manfaat berkenaan.

“Inisiatif baharu ini bagi menggalakkan mereka meneruskan perniagaan dan tidak terhenti separuh jalan. Kita faham ada segelintir daripadanya yang menerima geran atau peralatan tetapi mungkin ada kesulitan ekoran tiada modal.

“Justeru, Kerajaan Negeri menerusi Hijrah Selangor melaksanakan program Viyabaram@Sitham sebagai bantuan pinjaman modal pusingan kepada golongan terbabit,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi Google Meet dalam Program Pelancaran Permohonan Program Sitham 2021.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Orang ramai yang berminat untuk memohon boleh melayari laman sesawang Hijrah Selangor atau hubungi talian 016-951 2458.