Categories
AGENDA SUKANKINI

Wan Kuzri mungkin tidak dapat sertai fasa kedua latihan

PETALING JAYA, 23 JULAI: Pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal mungkin tidak akan dapat menyertai fasa kedua latihan pusat pasukan Kebangsaan Bawah 18 (B-18) disebabkan perancangan yang telah ditetapkan lebih awal.

Ketua jurulatih U-18 kebangsaan Brad Maloney berkata, beliau mahukan Wan Kuzri untuk terus bersama pasukan, namun terdapat beberapa faktor untuk dipertimbangkan termasuk perancangan awal untuk pemain Akademi Bola Sepak St Louis itu untuk pulang ke Amerika Syarikat.

“Saya perlu berbincang perkara itu bersama beliau (Wan Kuzri) disebabkan kepada perancangan awal untuk kemungkinan beliau pulang semula ke kelabnya, tetapi kami mempunyai banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sekarang, kemungkinan kuarantin, pandemik itu (Covid-19). Ada lebih banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sekarang ini.

“Saya mahu beliau untuk ada (dalam kem latihan) tetapi jelas sekali kelabnya mempunyai hak untuk memanggil beliau semula, jika mereka mahu. Kita akan bekerjasama dengan beliau, keluarganya dan kelab untuk mencari penyelesaian terbaik. Tentunya saya mahukan beliau menjadi sebahagian daripada pemain yang dipanggil untuk latihan, jika boleh,” katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Selepas penantian beberapa bulan, Wan Kuzri adik kepada pemain Sporting Kansas City Wan Kuzain akhirnya menyertai latihan pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia 2020 (AFC), pada Oktober.

Kejohanan AFC Bawah-19, yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan 14-31 Oktober merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Remaja Bawah-20, di Indonesia tahun hadapan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen, disasarkan untuk menjadi pasukan pertama negara untuk layak ke Piala Dunia Bawah-20 secara merit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada jaminan Wan Kuzri tersenarai dalam skuad B-18 kebangsaan

PETALING JAYA, 21 JULAI: Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal boleh menjadi aset kepada pasukan tetapi masih belum menjamin tempat dalam senarai akhir 23 pemain pada Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober, kata ketua jurulatih skuad B-18 kebangsaan Brad Maloney.

Pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis berusia 18 tahun itu menjadi bualan hangat apabila beliau akhirnya menyertai 34 pemain lain dalam latihan skuad B-18 Khamis lepas selepas penantian beberapa bulan.

Namun, situasi itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menggambarkan beliau dinilai terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Maloney berpuas hati dengan perkembangan Wan Kuzri buat masa ini.

“Adalah normal untuk seseorang menjadi sedikit berbeza…terutamanya yang datang dari luar negara. Tetapi seperti saya cakap, pemain (Wan Kuzri) perlu mendapatkan tempatnya berdasarkan merit.

“Daripada apa yang saya lihat setakat ini, beliau agak baik. Jadi, saya rasa beliau dapat menjadi aset kepada pasukan tetapi sudah tentu, tiada siapa yang dijamin mendapat tempat dalam skuad akhir,” kata Maloney kepada pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini.

Sementara itu, Maloney berharap dapat mengatur dua perlawanan persahabatan sebelum kem latihan berpusat berakhir pada Sabtu supaya beliau dapat melihat potensi sebenar Wan Kuzri.

Perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi ukuran kepada kemajuan skuad kerana mereka berusaha untuk menjadi pasukan Malaysia pertama yang layak ke Final Piala Dunia Bawah 20 berdasarkan merit.

Maloney yang menggugurkan empat pemain daripada skuad latihan semasa berkata, kem latihan berpusat seterusnya akan diadakan bermula 3 Ogos ini.

Kejohanan Bawah 19 AFC 2020 yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober adalah pusingan kelayakan untuk Piala Dunia Bawah 20 pada 2021 (di Indonesia).

Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kejohanan bawah 19 bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen.

– BERNAMA