Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia dijangka tempuhi perlawanan sukar bertemu Mongolia

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara dijangka menghadapi satu perlawanan yang mencabar berhadapan tuan rumah Mongolia dalam perlawanan kedua Kumpulan J Kelayakan Piala Asia 2022 B-23 di Ulaanbaatar, esok.

Ketua Jurulatihnya Brad Maloney berkata Mongolia sudah pasti akan memburu kemenangan selepas sekadar mengumpul satu mata selepas perlawanan menentang Thailand dalam perlawanan pembukaan Isnin lepas.

Biarpun begitu, Maloney berkata pihaknya hanya perlu menumpukan kepada taktik pasukan dan disiplin pemain mesti dalam keadaan lebih baik untuk mengurangkan risiko melakukan kesilapan mudah sepanjang 90 minit permainan.

“Setiap perlawanan nampaknya berlangsung agak agresif di sini, keadaan padang sintetik juga menyumbang sedikit kepada cabaran itu … Mongolia sebuah pasukan yang kuat, juga amat agresif dan teratur. Selepas menyaksikan mereka beraksi menentang Thailand saya dapat melihat mereka bermain dengan penuh bertenaga dan keinginan yang tinggi.

“Kami hanya mahu mengemaskan posisi pemain dan melepaskan bola dengan segera, cuba mengelakkan mereka terlalu menghampiri kawasan yang akan mengakibatkan pertempuran sengit dan jika kami boleh melakukannya dan bermain gaya kami sendiri, saya pasti kami akan okey,” katanya dalam satu rakaman suara yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan pihak media hari ini.

Selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Laos dalam perlawanan sulungnya Isnin lepas, Malaysia berada di kedudukan teratas Kumpulan J dengan tiga mata sementara Thailand dan Mongolia masing-masing mengumpul satu mata di tempat kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, Maloney yang berpuas hati dengan kemenangan pertama itu berkata pasukan kebangsaan masih lagi belum dalam keadaan selamat kerana peluang untuk menjuarai peringkat kumpulan bagi mempastikan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2020 B-23 masih terbuka kepada semua pasukan.

“Gembira dengan kemenangan pertama itu dan keputusan lain adalah di luar kawalan kami tetapi realitinya pertandingan ini masih terbuka luas, kami hanya perlu tumpukan kepada apa yang kami boleh lakukan dengan baik dan merancang ke hadapan untuk mendapatkan keputusan diinginkan dalam dua perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara, Maloney berkata aksi terbaik penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin akan dapat disaksikan selepas pemain KV Kortrijk dikawal rapi semasa perlawanan menentang Laos.

Beliau percaya dengan keupayaan dan pengalaman, pemain dari Kota Bahru berusia 19 tahun itu akan terus memainkan peranannya dengan baik dan membantu kejayaan pasukan.

“Luqman seorang pemain berkualiti dan anda tahu dia akan mencari jalannya sendiri dan sudah tentu penyerang hebat di seluruh dunia, mereka mendapat perhatian daripada lawan dan ini tiada perbezaannya. Saya pasti dia akan beraksi dengan baik,” katanya.

Malaysia akan berdepan Mongolia di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia di Ulaanbaatar 11 pagi esok sebelum menentang Thailand pada waktu sama, Ahad ini dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Luqman Hakim, Wan Kuzri bakal berlatih bersama

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 2 skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang berlangsung selama empat minggu bermula Isnin depan.

Kem latihan pusat Fasa 2 yang bermula 3 hingga 30 Ogos depan itu dalah sebagai persediaan bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober.

Pemain kelahiran Kota Bharu yang dilamar kelab profesional Belgium, KV Kortrijk, akan bergandingan dengan pemain berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal, buat pertama kali.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, ketua jurulatih B-19 negara Brad Maloney menyenaraikan kedua-dua pemain berkenaan, bersama 33 lagi pemain untuk menjalani kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Daripada keseluruhan 35 pemain disenaraikan pada Fasa Dua ini, Maloney mengekalkan 26 pemain daripada kem latihan pusat Fasa Pertama yang berakhir Ahad lepas, untuk terus dinilai.

“Maloney masih dalam proses penilaian pemain sebelum meneruskan kem latihan Fasa 3 pada September 2020 bagi memilih senarai akhir 23 pemain yang akan ke Uzbekistan,” menurut kenyataan itu.

Luqman Hakim bersama beberapa tonggak utama seperti Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal Mahadi diketepikan sebelum ini, dan akan menyertai kem latihan pusat yang berikutnya.

Selain Luqman Hakim, dua lagi pemain baharu yang tersenarai adalah penjaga gol Ahmad Irfan Ibrahim (Terengganu FC); pemain tengah Ziad Al Basheer (Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD B17)) selain Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri (AMD B-17).

Pada pusingan akhir di Uzbekistan, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada 16 Oktober, diikuti aksi kedua menentang bekas juara Qatar (19 Oktober) dan aksi terakhir berdepan Yaman pada 22 Oktober.

Empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir secara automatik layak ke Piala Dunia B-20, 2021 dan skuad B-19 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit ke pentas Piala Dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada jaminan Wan Kuzri tersenarai dalam skuad B-18 kebangsaan

PETALING JAYA, 21 JULAI: Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal boleh menjadi aset kepada pasukan tetapi masih belum menjamin tempat dalam senarai akhir 23 pemain pada Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober, kata ketua jurulatih skuad B-18 kebangsaan Brad Maloney.

Pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis berusia 18 tahun itu menjadi bualan hangat apabila beliau akhirnya menyertai 34 pemain lain dalam latihan skuad B-18 Khamis lepas selepas penantian beberapa bulan.

Namun, situasi itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menggambarkan beliau dinilai terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Maloney berpuas hati dengan perkembangan Wan Kuzri buat masa ini.

“Adalah normal untuk seseorang menjadi sedikit berbeza…terutamanya yang datang dari luar negara. Tetapi seperti saya cakap, pemain (Wan Kuzri) perlu mendapatkan tempatnya berdasarkan merit.

“Daripada apa yang saya lihat setakat ini, beliau agak baik. Jadi, saya rasa beliau dapat menjadi aset kepada pasukan tetapi sudah tentu, tiada siapa yang dijamin mendapat tempat dalam skuad akhir,” kata Maloney kepada pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini.

Sementara itu, Maloney berharap dapat mengatur dua perlawanan persahabatan sebelum kem latihan berpusat berakhir pada Sabtu supaya beliau dapat melihat potensi sebenar Wan Kuzri.

Perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi ukuran kepada kemajuan skuad kerana mereka berusaha untuk menjadi pasukan Malaysia pertama yang layak ke Final Piala Dunia Bawah 20 berdasarkan merit.

Maloney yang menggugurkan empat pemain daripada skuad latihan semasa berkata, kem latihan berpusat seterusnya akan diadakan bermula 3 Ogos ini.

Kejohanan Bawah 19 AFC 2020 yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober adalah pusingan kelayakan untuk Piala Dunia Bawah 20 pada 2021 (di Indonesia).

Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kejohanan bawah 19 bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kehadiran Wan Kuzri mampu bantu perkuat skuad B-18 negara

PETALING JAYA, 9 JULAI: Kehadiran pemain Akademi Bola Sepak St Louis, Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal akan membantu memperkukuhkan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara menjelang pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad B-19, Brad Maloney, bagaimanapun, berkata adalah terlalu awal untuk menilai kualiti dan sumbangan pemain tengah berusia 18 tahun itu yang masih menjalani kuarantin Covid-19 selepas pulang dari Amerika Syarikat, minggu lalu.

“Saya tidak pasti bila dia akan mengikuti latihan tetapi kami ingin melihatnya secepat mungkin.

“Dari apa yang saya lihat, dia adalah pemain berkualiti sejak berlatih dengan pasukan senior di Amerika Syarikat…jadi saya rasa dia boleh menjadi aset berharga bagi skuad negara,” katanya kepada pemberita semasa kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini.

Wan Ahmad Kuzri, yang bermain untuk kelab St Louis FC dalam Divisyen Dua Kejuaraan USL di Amerika Syarikat, merupakan adik kepada Wan Kuzain yang beraksi untuk Sporting Kansas City dalam Liga Major di negara itu.

Sementara itu, Maloney, berkata beliau memberi tumpuan untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal 34 pemain dalam kem latihan yang bermula sejak Isnin lalu.

Jurulatih warga Australia itu berkata beliau akan terus memantau kemajuan semua pemain sebelum kumpulan kedua pemain menyertai kem latihan tidak lama lagi.

“Kami sedang dalam proses memastikan pemain dalam tahap kecergasan berbeza dan sudah tentu kami sedang berusaha meningkatkan kemampuan pada masa ini.

“Saya faham mereka tidak menjalani latihan intensiti tinggi untuk waktu yang lama. Oleh itu kami berusaha secara perlahan-lahan untuk mencapai tahap yang diinginkan,” katanya.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 dari 14 hingga 31 Oktober ini, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, selain negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman.

Kejuaraan tersebut merupakan medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B-18 kebangsaan menyasarkan muncul pasukan negara pertama layak secara merit beraksi di Piala Dunia.

– BERNAMA