Categories
NASIONAL

Lebih satu sindiket terlibat dalam kem Wang Kelian

PUTRAJAYA, 13 JUN: Kem penempatan sementara imigran di Wang Kelian, Perlis yang ditemui pada 2015, dipercayai diwujudkan oleh lebih daripada satu sindiket pemerdagangan manusia.

ASP Mohd Yusof Ariffin dari 69 Komando berkata, beliau membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan pengamatan dan pemerhatiannya ke atas susun atur 16 ‘base’ atau lokasi di kem berkenaan ketika menyertai operasi di kawasan itu pada Mei 2015.

“Terdapat talam makanan yang dijumpai di satu base, sementara di satu base lagi talam makanan tidak ditemui. Barangan yang dijumpai di base-base berlainan adalah berbeza. Ada base yang dikelilingi dawai kawat manakala ada yang tidak dipagar. Kubur tidak ditemui di semua base,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, yang merupakan saksi ke-45 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian itu berkata barangan lain yang ditemui di 16 base yang diperiksa ialah beras yang dibeli dari Thailand, nasi yang ditinggalkan lebih empat atau lima hari, anak patung beruang dan pakaian.

Turut ditemui di sebuah base ialah sebuah khemah yang dijadikan surau dan nama surau berkenaan ditulis sebagai ‘Musafirin’.

Menjawab soalan Pengerusi RCI, Tun Ariffin Zakaria mengenai bagaimana kem penempatan yang sedemikian besar tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa lebih awal, Mohd Yusof berkata seorang yang normal tidak akan masuk ke hutan tebal berkenaan tanpa sebab.

“Lagipun di sebelah Malaysia, bahagian depan hutan itu ialah Taman Negeri Perlis yang memerlukan permit untuk masuk. Dari gigi hutan sehingga ke kawasan kem di tengah hutan jaraknya lebih kurang 35 kilometer dengan jalan zig-zag. Untuk sampai ke kawasan berkenaan memerlukan kemahiran hutan yang sangat tinggi kerana ada banyak halangan semula jadi ditambah dengan kontur tanah yang sangat curam,” katanya.

Ketika diminta memberikan cadangan bagi meningkatkan kawalan di kawasan tersebut, Mohd Yusof berkata trek balak yang ditinggalkan sebelum ini boleh dibersihkan bagi membolehkan pasukan penguatkuasa menjalankan rondaan menggunakan motosikal Scrambler tiga kali sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk A.Aziz A.Rahim dalam keterangannya berkata, tidak ada bukti yang menyokong dakwaan berlaku percubaan bersama menutup siasatan oleh mana-mana pegawai Polis DiRaja Malaysia mahupun agensi penguatkuasaan lain dalam kes penemuan kem penempatan itu.

“Laporan media juga tidak menunding jari kepada mana-mana pegawai yang dikatakan cuba menutup kes itu. Tindakan perlu diambil ke atas pegawai yang dikenal pasti bertanggungjawab menutup kes berkenaan. Tidak boleh hukum satu pasukan polis,” katanya.

RCI akan bersambung Isnin depan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

RCI Wang Kelian: Empat saksi beri keterangan hari ini

PUTRAJAYA, 25 APR: Hari keenam pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini bermula dengan saksi ke-17 memberi keterangan.

Inspektor Mohamad Afiq Sarmid dari pasukan komando VAT 69 berpangkalan di Ulu Kinta, Perak menjadi saksi pertama daripada empat orang saksi yang dijangka tampil memberi keterangan pada prosiding hari ini.

RCI yang berlangsung di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri di sini dijalankan di hadapan tujuh panel diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jan lepas, RCI itu antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara serta kubur di Wang Kelian.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tun Arifin, Norian ketuai RCI Wang Kelian

PUTRAJAYA, 5 MAC: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dilantik Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian Perlis, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya berkata, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai pula dilantik timbalan pengerusi suruhajaya itu yang turut dianggotai lima individu lain.

Kenyataan itu juga memaklumkan, KDN sudah mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu bagi melantik anggota RCI.

Lima lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Turut dilantik ialah bekas Duta Malaysia di Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

“Suruhanjaya itu ditubuhkan selaras dengan keputusan kerajaan pada 26 Oktober 2018 agar siasatan kejadian kes pemerdagangan orang dilaksanakan dalam skop lebih meluas,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan RCI di sini.

Kenyataan itu menyebut antara skop pelaksanaan RCI adalah menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan pihak berkuasa dan menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi atau individu yang difikirkan perlu.

Siasatan RCI akan mengambil masa selama enam bulan dan laporan siasatan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, jelas kenyataan itu.

– BERNAMA