Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM minta ibu hamil dapatkan vaksin, dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua wanita dan ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak kerana pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi jika dijangkiti wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata berdasarkan rekod tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian Covid-19 melibatkan ibu hamil.

“Sejak Mac 2020 hingga Januari 2022 sejumlah 18,277 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil telah dilaporkan di Malaysia. Bilangan ini merupakan 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi jangkitan Covid-19 yang dilaporkan bagi tempoh sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tahun lepas bilangan kes membabitkan ibu hamil melonjak pada Julai hingga September dan mula menunjukkan trend penurunan pada Oktober hingga Januari 2022.

“Sejak pandemik ini mula melanda pada 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil telah direkodkan, dengan kesemua kematian dilaporkan berlaku pada 2021.

“Kemuncak bagi kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan Covid-19 ialah pada 2021 iaitu pada Julai (31 kes), Ogos (77 kes) dan September (44 kes), namun kes kematian semakin menurun pada Oktober (12 kes) dan November (3 kes),” katanya.

Beliau juga berkata analisis data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin manakala 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid.

“Salah satu faktor penyumbang utama kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19 ialah liputan vaksinasi yang tinggi iaitu 94.7 peratus dalam kalangan populasi dewasa.

“Berdasarkan pencapaian kempen ibunisasi, data sehingga akhir Oktober 2021 menunjukkan 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut 91 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau juga memaklumkan ibu hamil yang masih belum menerima dos penggalak boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat atau klinik swasta terpilih bagi mendapatkan janji temu awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 70 ibu hamil meninggal dunia, lonjakan luar biasa kes pada Mei dan Jun

SHAH ALAM, 11 OGOS: Walau jumlah wanita hamil dijangkiti Covid-19 mula meningkat sejak Oktober tahun lalu, kes kematian seramai 70 orang semuanya direkodkan tahun ini, dedah ketua pengarah kesihatan hari ini.

“Sehingga 9 Ogos 2021, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan pada tahun 2020,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Tambahnya, secara purata 200 ibu hamil dijangkiti virus sebulan sejak Oktober 2020 hingga Jun tahun ini tetapi terdapat lonjakan luar biasa hingga 850 kes pada Mei dan 899 kes lagi pada Jun tahun ini.

“Sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia. Dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Isu ibu hamil menjadi perhatian utama apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan berkenaan bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Makin ramai wanita hamil perlu rawatan rapi, naik sekali ganda sejak Julai

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dalam tempoh sebulan, jumlah wanita hamil yang perlu rawatan rapi akibat jangkitan Covid-19 meningkat hampir sekali ganda daripada tiga peratus pada 10 Julai kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos.

Peratusan ini merujuk jumlah kes ibu hamil yang memerlukan rawatan rapi dibandingkan semua kes jangkitan Covid-19 yang mendapat rawatan sedemikian.

Mereka ini yang berada dalam kategori tiga hingga lima meningkat daripada 29 orang pada awal Julai kepada 58 orang sehingga semalam, kata ketua pengarah kesihatan hari ini.

“Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang
menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20.

“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Semua pesakit Covid-19 dibahagikan kepada lima kategori, termasuk dua yang tidak serius. Pesakit yang mengalami radang paru-paru diletakkan dalam kategori tiga, perlukan bantuan oksigen (kategori empat) dan kritikal (kategori lima).

Isu ibu hamil menjadi perhatian utama apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan berkenaan bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Yakin saranan KKM, wanita mengandung teruja terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sarat mengandung bukan halangan bagi seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA semalam.

Malah, Hairul Shameen Ismail, 27, yang sedang hamil tujuh bulan teruja menerima suntikan pelalian kerana yakin saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah untuk kebaikan diri dan bayi dalam kandungan.

Hairul Shameen Ismail, 27

“Alhamdulillah, selepas mendapat tahu KKM sahkan semua jenis vaksin sesuai disuntik untuk ibu hamil, tanpa berfikir panjang saya terus mendaftar di aplikasi MySejahtera.

“Selepas dapat mesej tarikh janji temu, saya terus maklumkan suami untuk dibawa ke sini. Ia juga untuk kebaikan saya dan bayi dalam kandungan,” katanya ketika ditemui.

Manakala, Muhammad Hakimi Nazrul Hisyam, 18, berkata walaupun tarikh janji temu adalah pada Hari Raya Aidiladha ia tidak menghalangnya untuk hadir menerima suntikan demi mencapai imuniti kelompok.

“Saya menyarankan mana-mana individu yang takut untuk disuntik atau anti vaksin daftarlah segera supaya kita dapat segera memutuskan rantaian Covid-19,” katanya yang menerima vaksin jenis Sinovac.

Muhammad Hakimi Nazrul Hisyam,18

Sementara itu, Nor Fairuz Syahida Sukono, 37, pula memuji proses daftar sehingga menerima suntikan vaksin mudah, pantas selain tempat yang amat selesa.

“Terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang banyak membantu memudahkan pengunjung meskipun mereka terpaksa bekerja di hari raya,” katanya.