Categories
NASIONAL

TPPA : Mustapa ‘berdosa’ jika Malaysia gagal

SHAH ALAM, 11 NOV : Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal menjadi individu pertama dipersalahkan jika Malaysia gagal mendapat manfaat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, berkata ia berikutan Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertanggungjawab sebagai ketua perunding mewakili negara.

kadir_jasin“Jika kita gagal mendapat manfaat daripada TPPA, maka Mustapa berdosa (kepada rakyat) dan saya akan menjadi orang pertama mengkritik beliau.

“Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam perjanjian itu tidak dipedulikan memandangkan beliau lebih tertarik mendekatkan diri kepada ‘teman golf’, Barrack Obama,” katanya dalam posting di blog.

Kadir berkata, TPPA selari dengan Perdagangan rentas Atlantik dan Pelaburan Perkongsian yang dirunding Amerika Syarikat (AS) akan menjadikan negara itu sebagai pusat global.

Katanya, perjanjian itu meletakkan negara pentadbiran Obama berkuasa bukan sahaja dalam perdagangan, malah termasuk kedaulatan wilayah dan pertahanan.

TPPA“Kita berharap Mustapa memberitahu kebenaran dan jaminan bahawa Malaysia mempunyai asas kukuh dalam TPPA memandangkan pemenang terbesar kini adalah AS.

“TPPA adalah jawapan AS terhadap kedudukannya yang semakin berkurangan sebagai kuasa besar ekonomi dunia di China dan memberi risiko kepada negara membangun.

“Lebih bahaya untuk kita menyebelahi AS dan sekutunya dalam perjanjian tanpa China sedangkan negara tembok besar itu adalah rakan dagangan terbesar di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mustapa berkata, rundingan TPPA bersetuju mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Katanya, butiran fleksibel TPPA diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara sensitif kepada negara.

AS, Jepun dan 10 negara lain di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia memeterai perjanjian bagi mengurangkan halangan perdagangan barangan dan perkhidmatan serta menetapkan peraturan komersial dua per lima daripada ekonomi global.

-nR-