Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

WeMalaysia ajak protes terbuka terhadap Korea Utara

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 MAC: WeMalaysia menggesa rakyat termasuk pelajar di luar negara bersatu melakukan protes terbuka terhadap Korea Utara menerusi kempen di media sosial.

Koordinator Sekretariat WeMalaysia Kuala Lumpur, Mohd Asrol Md Jailani berkata, ia sebagai tanda solidariti bersama 11 rakyat Malaysia yang kini ditahan sebagai tebusan di negara komunis berkenaan.

Katanya, tindakan Korea Utara yang tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan mencabul rukun diplomasi antarabangsa itu harus ditentang.

MALKOR“Tindakannya mengheret 11 rakyat Malaysia sebagai ‘tebusan’ selepas menuduh kerajaan Malaysia berkonspirasi dengan kuasa asing dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam amat melampau dan jijik.

“Tindakan kebudak-budakan itu jelas dibuat bagi membuli dan menekan kepimpinan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 7 Mac lalu, Pyongyang dipercayai sengaja menahan rakyat Malaysia yang berada di negara itu sebagai balasan tindakan kerajaan yang mengumumkan duta terdahulunya di sini, Kang Chol sebagai ‘persona non grata’.

Mohd Asrol berkata, WeMalaysia menyokong penuh tindakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

“Kami juga ingin mengingatkan rejim pimpinan Kim Jong Un bahawa Malaysia adalah negara merdeka dan berdaulat. 30 juta rakyat Malaysia juga sanggup bermandi darah demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta,” katanya.

WeMalaysia adalah sebuah gerakan terbuka yang dianggotai pelajar Malaysia di luar negara dan mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).

-NFN-