Categories
AGENDA GLOBAL

Keselamatan jadi keutamaan pembukaan semula kedutaan di Korea Utara

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua langkah keselamatan perlu diberikan keutamaan berhubung keputusan Malaysia membuka semula kedutaan di Pyongyang, Korea Utara tahun depan.

Beliau berkata, meskipun semua langkah yang diambil tidak boleh didedahkan, tetapi antara perkara yang turut dipertimbang adalah status tanpa visa untuk rakyat Korea Utara ke negara ini.

“Buat masa ini kita sedang memulihkan semula hubungan. Segala isu yang timbul kita akan tangani satu persatu. Ia tidak semestinya tanpa visa.

“Saya tidak mahu benar-benar melihat ke arah itu. Tapi sudah pasti lawatan perlu dibenarkan dan jika tidak, beberapa aspek berkaitan undang-undang dan peraturan imigresen perlu diperhalusi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Foto BERNAMA

Saifuddin berkata, beliau yakin semua isu berbangkit dapat ditangani oleh kedua-dua pihak.

Sebelum ketegangan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, adik tiri pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-un pada Februari 2017, rakyat Korea Utara boleh melawat Malaysia tanpa visa dan begitu juga sebaliknya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan, pembukaan semula kedutaan pada suku pertama 2020, secara tidak langsung membolehkan Malaysia memainkan peranan menggalakkan Korea Utara menyambung rundingan damai dengan jirannya, Korea Selatan.

“Selagi DPRK (Korea Utara) mempamerkan kesungguhan untuk berunding dan mara ke depan, ia memerlukan sedikit sebanyak galakan.

“Sebagai contoh, menarik balik sebahagian daripada sekatan. Tetapi ia tidak berlaku.

“Jadi dengan mengaktifkan semula kedutaan kita, ia memberi isyarat kepada DPRK bahawa kita menghargai bahawa anda kini bekerjasama dengan jiran anda dan kami mahu menjadi pihak yang secara tidak langsung terhadap perkembangan itu menerusi langkah memulihkan hubungan kita. Oleh yang demikian, kami mahu mengaktifkan semula kedutaan kami,” katanya.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang sejak bermulanya siasatan terhadap kematian Jong-nam.

Pada 4 Mac 2017, Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, sebagai ‘Persona Non-Grata’ selepas gagal memohon maaf berhubung dakwaannya Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan itu. Sebagai tindak balas, Korea Utara mengambil tindakan yang sama.

Berkuat kuasa 6 Mac 2017, Malaysia menarik balik keistimewaan tanpa visa untuk warga Korea Utara.

Pyongyang kemudian bertindak menghalang kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka meninggalkan Korea Utara. Malaysia juga mengambil langkah sama.

Ketegangan diplomatik sedikit reda selepas sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang dilarang meninggalkan Korea Utara selamat tiba di Malaysia pada 31 Mac 2017.

Malaysia juga membenarkan warga Korea Utara meninggalkan negara ini dan jasad Jong-nam juga dihantar ke Korea Utara atas permintaan keluarganya.

Sebelum kejadian itu, Malaysia kekal sebagai antara beberapa rakan dagangan Pyongyang selepas negara itu dipinggirkan oleh komuniti antarabangsa berikutan program peluru berpandunya nuklearnya.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 30 Jun 1973.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Korea Utara lancar dua lagi peluru berpandu

SEOUL, 16 OGOS: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu yang tidak dikenali ke arah Laut Timur pada Jumaat, yang keenam seumpamanya dalam tempoh tiga minggu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari daerah pantai timur Tongchon di Wilayah Kangwon pada awal pagi Jumaat, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

Tiada butiran lain diketahui termasuk jenis, jarak penerbangan dan ketinggian maksimum.

“Tentera kami kini memantau situasi itu jika terdapat pelancaran tambahan sambil mengekalkan kesiapsiagaan,” menurut JCS dalam satu kenyataan ringkas.

Pelancaran pada Jumaat berlaku enam hari selepas Korea Utara menembak dua peluru berpandu dipercayai daripada jenis balistik jarak dekat ke arah Laut Timur.

Ia adalah yang keenam sejak 25 Julai ketika ia melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat yang baharu dibangunkan dan diberi nama KN-23.

Sementara itu, pejabat Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) pada Jumaat, beberapa jam selepas insiden itu.

Jawatankuasa Tetap NSC memulakan mesyuarat pada 9 pagi yang dipengerusikan Chung Eui-yong, ketua pejabat keselamatan negara, menurut Cheong Wa Dae (Rumah Biru).

Secara berasingan, Jae-in turut diberikan taklimat berhubung situasi berkaitan, katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS sentiasa terbuka berunding dengan Korea Utara

WASHINGTON/SEOUL, 25 MEI: Amerika Syarikat (AS) sentiasa terbuka untuk berunding, meskipun Korea Utara menggesa satu “kaedah baharu” diwujudkan bagi memecahkan kebuntuan mengenai isu nuklear, lapor agensi berita Yonhap.

Kenyataan Jabatan Negara AS itu sebagai mengulas pendirian Pyongyang bahawa perbincangan tidak akan diteruskan kecuali Washington mengemukakan kaedah baharu.

Jabatan Negara AS berkata, pentadbiran presidennya, Donald Trump berpegang kepada perjanjian yang disepakati ketika rundingan di Singapura, mewujudkan keamanan berkekalan dan Semenanjung Korea yang bebas nuklear.

Perbincangan nuklear antara Washington dan Pyongyang menemui jalan buntu sejak sidang kemuncak kedua di Hanoi berakhir tanpa perjanjian.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kapal tentera AS kuatkan sekatan atas Korea Utara

SEOUL, 22 MAC: Sebuah kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), yang dalam misi menguatkuasakan sekatan ke atas Korea Utara akan ditempatkan ke Korea Selatan minggu depan.

Kapal USCGC Bertholf (WMSL-750), dijadual tiba di pelabuhan tentera-awam di Pulau Jeju pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap memetik sumber pertahanan negara di sini, Jumaat.

Kedua-dua pihak juga merancang menjalankan latihan bersama mengenai pemeriksaan kapal.

Kapal Bertholf seberat 4,500 tan itu meninggalkan Alameda, California bersama 170 anak kapal pada Januari untuk kegunaan di Pasifik Barat.

Selepas berada Sasebo, Nagasaki, Jepun pada awal Mac, kapal itu menjalankan pemantauan di peraiaran laut timur China, untuk mengesan aktiviti membabitkan kapal Korea Utara.

“Rondaan Bertholf bertujuan mengesan dan membanteras kegiatan Korea Utara untuk mengelak daripada sekatan AS,” kata pihak pengawasan Indo-Pacific AS dalam satu kenyataan.

– BERNAMA

Foto Kredit: United States Department of Homeland Security

Categories
GLOBAL

PBB dakwa Korea Utara sorok peluru berpandu di lapangan terbang

NEW YORK, 6 FEB: Panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara masih utuh.

Panel itu dalam satu kenyataan semalam turut memaklumkan Pyongyang menggunakan lapangan terbang dan kelengkapan lain untuk melindungi senjata mereka daripada serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Katanya, sekatan ke atas Korea Utara adalah tidak efektif kerana Pyongyang masih terus menerima penghantaran bekalan produk bahan api, melanggar larangan penjualan arang batu dan melanggar sekatan senjata.

“Program nuklear dan peluru berpandu balistik Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) masih utuh.

“Panel mendapati DPRK menggunakan kelengkapan awam termasuk lapangan terbang untuk mengumpulkan peluru berpandu balistik dan mengujinya bertujuan untuk mematahkan sebarangan serangan,” kata laporan itu.

Laporan sulit itu sudah diserahkan kepada Majlis Keselamatan PBB ketika Presiden Donald Trump bersiap-sedia untuk menghadiri sidang kemuncak kedua dengan pemimpin Kim Jong-un, pada hujung bulan ini.

AS berharap ia bakal menghasilkan perkembangan yang kukuh dalam usaha menamatkan sepenuhnya program senjata Pyongyang.

Hasil siasatan panel terbabit adalah selaras penilaian perisikan AS bahawa Korea Utara mungkin tidak akan menamatkan program senjatanya tetapi bakal menawarkan untuk mengurangkan aktiviti mereka bagi mendapatkan kelonggaran sekatan.

*Sumber: AFP

Categories
GLOBAL

Abe mahu jumpa Jong-un, pulih hubungan diplomatik

TOKYO, 28 JAN: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berikrar ‘meleraikan isu kepercayaan bersama’ dalam pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sekali gus memulihkan semula hubungan diplomatik antara dua negara berkenaan.

Ketika berucap pada majlis pembukaan Parlimen, Abe juga berjanji membawa hubungan antara Sino-Jepun ke tahap baharu dan berikrar menyediakan peruntukan bajet yang mampu memperkukuh infrastruktur ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

“Saya akan bertindak dengan tegas, tidak akan gagal merebut segala peluang untuk memecahkan kerangka kepercayaan bersama.

“Saya sendiri akan berhadapan dengan Pengerusi Kim Jong-un, untuk menangani isu nuklear dan peluru berpandu dengan Korea Utara, selain isu penculikan,” kata nya.

Bagaimanapun, Abe tidak menetapkan tempoh masa untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibuat selepas Jong-un mengarahkan persiapan dibuat menjelang sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijangkakan pada akhir bulan depan.

– AFP

Categories
GLOBAL

Jepun-Korea Selatan sedia runding hubungan dua hala

SEOUL, 24 DIS: Korea Selatan dan Jepun akan mengadakan satu rundingan diplomatik di Seoul mengenai hubungan dua hala dan Korea Utara, pada 31 Disember ini.

Ia susulan ketegangan disebabkan oleh perbezaan berhubung sejarah bersama serta isu sensitif lain, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian luar.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Timur Laut di Kementerian Luar Seoul, Kim Yong-kil akan bertemu rakan sejawat beliau dari Jepun, Kenji Kanasugi, pada sebelah petang.

Pertemuan mereka diatur susulan ketegangan diplomatik berhubung keputusan Mahkamah Agung Korea baru-baru ini bahawa dua firma Jepun harus membayar pampasan kepada rakyat Korea yang dipaksa bekerja di kilang mereka semasa Perang Dunia Kedua.

Jepun secara lantang membantah keputusan itu dan menyatakan bahawa semua isu berkaitan pampasan sudah diselesaikan menerusi perjanjian negara ke negara untuk menormalkan hubungan diplomatik dua hala, pada 1965.

Untuk rekod, Tokyo menjajah Semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945.

Keadaan kembali tegang minggu lepas apabila Tokyo mendakwa sebuah kapal perang Korea Selatan menghalakan radar kawalan tembakannya ke arah pesawat peronda maritim Jepun.

Seoul menyangkal dakwaan itu dan berkata Tokyo salah faham berhubung operasi tentera lautnya untuk membantu sebuah kapal Korea Utara yang hanyut berhampiran sempadan laut.

Sebelum rundingan di peringkat ketua pengarah, Kanasugi, yang juga duta nuklear terkemuka Tokyo, akan bertemu Lee Do-hoon, wakil khas Seoul bagi hal ehwal keamanan dan keselamatan Semenanjung Korea.

Pada pertemuan itu, mereka dijangka membincangkan projek kerjasama antara Korea yang sedang berlangsung dan isu lain berkaitan Korea Utara.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

CSIS: 13 pangkalan peluru berpandu tidak diisytihar Pyongyang

SEOUL, 13 NOV: Sebuah kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) semalam mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 daripada anggaran 20 pangkalan peluru berpandu yang tidak diisytiharkan di Korea Utara, menjejaskan cabaran buat perunding negara Uncle Sam itu untuk memujuk Pyongyang melepaskan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.

Dalam laporan dikeluarkan Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) berpusat di Washington DC, penyelidik berkata, penyelenggaraan dan pembaikan kecil infrastruktur dipantau di sesetengah tapak walaupun rundingan sedang berlangsung.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump berikrar untuk berusaha ke arah gencatan senjata dalam pertemuan bersejarah Jun lalu di Singapura namun perjanjian itu tidak menggariskan butiran terperinci manakala rundingan hanya menunjukkan sedikit perkembangan.

Trump menulis di Twitter tidak lama selepas pertemuan itu ‘tiada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara.’

Korea Utara mengisytiharkan kekuatan nuklearnya ‘lengkap’ serta menghentikan ujian peluru berpandu dan bom nuklear awal tahun ini namun perunding AS dan Korea Selatan belum membuat pengisytiharan sepenuhnya terhadap saiz atau skop program senjata Pyongyang atau janji menghentikan untuk mengerah senjata sedia ada.

Korea Utara berkata, ia menutup tapak ujian nuklear Punggye-ri dan kemudahan ujian enjin peluru berpandu Sohae. Ia juga meningkatkan kemungkinan menutup lebih banyak kemudahan serta membenarkan pemeriksa antarabangsa jika Washington mengambil ‘langkah bersesuaian,’ yang setakat ini tiada tanda.

Seorang jurucakap Rumah Biru presiden di sini, Kim Eui-kyeom berkata, pegawai perisikan Korea Selatan dan AS memantau rapat tapak menggunakan satelit tentera dan laporan CSIS tidak mengandungi maklumat baharu.

“Korea Utara tidak pernah berjanji menutup pangkalan peluru berpandunya. Ia tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, rundingan yang menjadikan penutupan pangkalan peluru berpandunya satu mandotori,” kata Eui-kyeom.

Tapak dikenal pasti CSIS dalam laporannya berselerak dan terletak di kawasan terpencil, pergunungan di seluruh Korea Utara dan mungkin digunakan untuk menyimpan peluru berpandu balitisk pelbagai jenis, terbesar dipercayai berupaya menyerang mana-mana tempat di AS.

Laporan CSIS mendapati, Sakkanmol, tapak terhampir dengan sempadan Korea Selatan dan ibu kotanya di sini, jelas ‘aktif dan diurus dengan baik.’

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Utara musnah tapak ujian roket di Sohae

WASHINGTON 24 JUL: Korea Utara dipercayai sudah memulakan proses merobohkan kemudahan utama di pusat ujian enjin roket milik mereka.

Menurut sekumpulan pakar, tindakan itu menunjukkan perubahan penting susulan sidang kemuncak antara pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump, yang berlangsung di Singapura, bulan lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai ’38 North’, berkata imej satelit komersial yang diperoleh menunjukkan Pyongyang sudah memulakan proses merobohkan bangunan di stesen pelancar satelit Sohae.

Yang turut dimusnahkan, katanya, peralatan ujian enjin roket yang digunakan untuk menguji enjin bahan api cecair bagi peluru berpandu balistik dan kenderaan pelancar angkasa.

Sohae yang terletak di kawasan pantai barat laut Korea Utara, adalah lokasi ujian roket bagi menghantar satelit ke orbit.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Trump yakin jalin hubungan baik dengan Jong-un

SINGAPURA 12 JUN: Presiden Donald Trump meramalkan beliau akan menjalin ‘hubungan hebat’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, hari ini, ketika kedua-duanya bertemu pada pertemuan bersejarah di Singapura.

“Kami akan mempunyai hubungan hebat, saya tidak ragu-ragu lagi,” kata Trump dengan senyuman dan sentuhan di belakang Jong-un yang bertentangan dengan ketegangan dan pertumpahan darah antara kedua-dua musuh Perang Dingin selama beberapa dekad itu.

Sementara itu, Jong-un, berkata Korea Utara dan Amerika Syarikat berjaya mengatasi halangan untuk mengadakan sidang kemuncak itu.

SUMBER/FOTO: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Pertemuan Trump, Jong Un cipta sejarah

SINGAPURA 12 JUN: Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berjabat tangan dan tersenyum ketika memulakan pertemuan bersejarah hari ini, beberapa bulan selepas saling berperang lisan dan ancaman perang nuklear.

Bagi kedua-dua pemimpin, yang pertama antara Jong Un dan Trump, ia berkemungkinan menjadi saat yang jelas dalam kerjaya mereka.

Pertemuan kedua-duanya tidak terfikir boleh dilakukan tahun lalu apabila ketegangan memuncak di rantau berkenaan berhubung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara ketika ia berusaha mencapai matlamat membangunkan peluru berpandu dengan peledak nuklear yang boleh sampai di Amerika Syarikat.

Trump berjanji menghalang ia berlaku dan mengancam Korea Utara dengan perang yang tidak pernah disaksikan dunia.

SUMBER: REUTERS
FOTO: AFP

Categories
GLOBAL

Korea Utara musnah tapak ujian nuklear bulan ini

SEOUL 13 MEI : Korea Utara akan memusnahkan tapak ujian nuklear negara itu bulan ini sebelum sidang kemuncak bersama Amerika Syarikat (AS) dan berjanji untuk meletupkan terowong berkenaan di hadapan media asing yang dijemput khas.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji tindakan Korea Utara untuk memusnahkan tapak ujian Punggyeri dalam satu majlis dijadualkan antara 23-25 Mei.

“Terima Kasih, satu tindakan yang bijak dan baik hati,” kata Trump menerusi Twitter.

Dialog dicetuskan oleh Seoul itu menyaksikan bagaimana hubungan Korea Utara – Amerika Syarikat yang saling bertukar cercaan dan ugutan perang sejak tahun lalu bertukar kepada persetujuan untuk mengadakan persidangan antara Kim serta Trump di Singapura pada 12 Jun nanti.

Namun pengkritik memberi amaran, Pyongyang masih belum menyatakan sebarang komitmen dalam menyerahkan kesemua senjata milik mereka, termasuk peluru berpandu yang berkeupayaan untuk terbang hingga ke AS.

Washington menuntut Korea Utara menghentikan semua program nuklear negara terbabit dan menekankan bahawa pengesahan adalah kunci utama.

Punggye-ri di timur laut Korea Utara sebelum ini menjadi lokasi kesemua enam ujian nuklear termasuk yang terakhir dan paling kuat pada September tahun lalu, dikenali sebagai H-bomb. menurut Pyongyang.

SUMBER: AFP