SHAH ALAM, 24 FEB: Kumpulan rock terkenal Wings bakal mendendangkan 20 lagu popular sempena sambutan ulang tahun ke-36 penubuhannya di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada lusa.
Penyanyinya Datuk Awie menjelaskan pemilihan lagu dalam penganjuran konsert berkonsep makan malam itu merangkumi semua album, dari Belenggu Irama hingga Menakluk Kosmos.
“Kita akan persembahkan lagu seperti Intanku Kesepian, Belenggu Irama, Taman Rashidah Utama, Misteri Mimpi Syakilla, Anugerah, Harapan dan Sejati. Ada juga lagu yang kita persembah secara medley,” katanya kepada Selangorkini.
Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman juga bersyukur berikutan tiket berharga RM3,500 hingga RM15,000 untuk lapan orang semeja habis dalam tempoh enam hari pada hujung Januari.
Beliau percaya jualan untuk 57 meja yang habis dalam masa singkat membuktikan Wings kekal relevan selepas lebih tiga dekad bertapak dalam industri seni.
“Kita juga ada beberapa hadiah untuk kepada penyokong Wings pada malam itu. Siapa bertuah dapat koleksi tertentu berkaitan perjalanan Wings selama 36 tahun,” katanya.
Walau berkonsep makan malam, Awie memberi jaminan persembahannya bersama Syam selaku pemain gitar utama, Edrie (pemain gitar kedua), Eddie (bassis) dan Black (pemain dram) bukan bersifat santai semata-mata.
“Kalau santai nanti bosan. Sudah pasti yang datang nanti setia dengan Wings. Mereka mesti mahu lagu ‘power’, lagu berat tetapi lagu sentimental pun ada kerana ada yang bawa isteri, jadi kita seimbangkan persembahan,” katanya.
Beliau juga menegaskan tatacara operasi piawai (SOP) tetap dititik berat, malah perjalanan program berkenaan diawasi bagi memastikan setiap peminat mematuhinya.