Categories
AGENDA NASIONAL

Wings dendang 20 lagu popular dalam konsert ulang tahun ke-36

SHAH ALAM, 24 FEB: Kumpulan rock terkenal Wings bakal mendendangkan 20 lagu popular sempena sambutan ulang tahun ke-36 penubuhannya di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada lusa.

Penyanyinya Datuk Awie menjelaskan pemilihan lagu dalam penganjuran konsert berkonsep makan malam itu merangkumi semua album, dari Belenggu Irama hingga Menakluk Kosmos.

“Kita akan persembahkan lagu seperti Intanku Kesepian, Belenggu Irama, Taman Rashidah Utama, Misteri Mimpi Syakilla, Anugerah, Harapan dan Sejati. Ada juga lagu yang kita persembah secara medley,” katanya kepada Selangorkini.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman juga bersyukur berikutan tiket berharga RM3,500 hingga RM15,000 untuk lapan orang semeja habis dalam tempoh enam hari pada hujung Januari.

Beliau percaya jualan untuk 57 meja yang habis dalam masa singkat membuktikan Wings kekal relevan selepas lebih tiga dekad bertapak dalam industri seni.

“Kita juga ada beberapa hadiah untuk kepada penyokong Wings pada malam itu. Siapa bertuah dapat koleksi tertentu berkaitan perjalanan Wings selama 36 tahun,” katanya.

Walau berkonsep makan malam, Awie memberi jaminan persembahannya bersama Syam selaku pemain gitar utama, Edrie (pemain gitar kedua), Eddie (bassis) dan Black (pemain dram) bukan bersifat santai semata-mata.

“Kalau santai nanti bosan. Sudah pasti yang datang nanti setia dengan Wings. Mereka mesti mahu lagu ‘power’, lagu berat tetapi lagu sentimental pun ada kerana ada yang bawa isteri, jadi kita seimbangkan persembahan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tatacara operasi piawai (SOP) tetap dititik berat, malah perjalanan program berkenaan diawasi bagi memastikan setiap peminat mematuhinya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA beri hadiah kepada bayi bertuah lahir 10 Oktober

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan cenderamata kepada ibu yang melahirkan bayi sempena sambutan ulang tahun ke-21 esok, kata timbalan datuk bandar.

Mohd Rashidi Ruslan berkata pihaknya bekerjasama dengan Hospital Shah Alam, Hospital Avisena Women’s and Children, KPJ Selangor Specialist Hospital dan Hospital UMRA Shah Alam bagi menjayakan program tahunan itu

“Selain meraikan ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21, kita mahu berkongsi kegembiraan dengan ibu bapa yang mendapat cahaya mata.

“MBSA akan menyampaikan pakaian dan peralatan bayi kepada ibu bapa yang melahirkan bayi bertuah,” katanya pada program Bual Bicara Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21 yang disiarkan secara langsung di YouTube SelangorTV malam tadi.

Sempena sambutan ulang tahun, MBSA mengadakan pelbagai program antaranya majlis bacaan yassin, doa selamat, kayuhan basikal, kuiz Shah Alam Bandar Rayaku dan hari bertemu pelanggan.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menyediakan beberapa penggunaan fasiliti dan kemudahan awam secara percuma kepada penduduk sekitar sepanjang Oktober.

Selain itu, orang ramai ditawarkan promosi keahlian percuma bagi perpustakaan MBSA dan diskaun bayaran kompaun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM ke-88

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun ini,” menurut Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Hari ATM yang disambut pada 16 Sept setiap tahun akan diraikan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 Sept ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Seldec tawar penghantaran percuma, baucar sempena ulang tahun

SHAH ALAM, 21 JUN : Pelanggan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) berpeluang menerima penghantaran barangan dapur secara percuma sempena sambutan ulang tahun pertama syarikat pada Rabu.

Menurut kenyataan Seldec, orang ramai perlu membeli minimum RM150 bagi melayakkan mereka terima manfaat tersebut termasuk mendapat potongan harga sebanyak RM6.

Selain itu, pelanggan yang berbelanja RM200 ke atas juga berpeluang mendapat penghantaran percuma serta baucar RM10 untuk pembelian seterusnya di aplikasi Seldec Marketplace.

“Pastikan anda masukkan promokod HAPPY6 sebelum daftar keluar. Jom membeli-belah di www.seldec.com.my sekarang dan tebus promo kod ini sebelum 30 Jun,” maklum kenyataan itu.

Seldec memasar hasil tani usahawan kecil di negeri ini secara meluas selain menawarkan produk yang sukar diperoleh dalam pasaran antaranya ikan patin, tempoyak, sambal hitam Pahang, rempah gulai nasi dagang dan lemang resipi asli dari Gemencheh, Negeri Sembilan.

Pelbagai promosi seperti penghantaran percuma dan potongan harga juga dibuat secara berkala. Layari Facebook Seldec untuk maklumat lanjut.

Dilancarkan Kerajaan Negeri pada Seldec pada 3 Oktober 2019, pelanggan boleh membeli pelbagai barang keperluan antaranya daging segar, peralatan rumah, makanan diproses, makanan sejuk beku termasuk kuih-muih

Seldec menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan www.seldec.com.my/en.

Categories
AGENDA NASIONAL

Diskaun 70 peratus saman JPJ bermula esok

PUTRAJAYA, 12 APRIL: Diskaun 70 peratus selama dua bulan ditawarkan untuk semua saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula esok termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tawaran diskaun untuk saman yang boleh dikompaun itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-75 JPJ, melibatkan 3.5 juta saman aktif yang dikenal pasti sejak 2010 hingga Mac tahun ini.

Beliau berkata pembayaran saman dengan diskaun yang ditetapkan itu boleh dibuat di semua pejabat JPJ serta secara dalam talian melalui portal rasmi jabatan.

“Saya galakkan bayar saman ini secara dalam talian bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di JPJ selain ia kurang memudaratkan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Jubli Platinum Ulang Tahun JPJ ke-75 di sini hari ini.

Wee berkata JPJ juga memperkenalkan sistem menunggu giliran secara dalam talian iaitu JPJeQ hari ini bagi mengelakkan 3C (tempat sesak, sempit dan duduk jarak dekat) di semua premis dan kaunter JPJ.

“Aplikasi secara mobile itu membenarkan pelanggan membuat pilihan cawangan JPJ yang tidak ramai pelanggan serta menggunakan kod QR untuk mendapatkan nombor giliran dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas,” kata Wee.

Bersempena ulang tahun itu juga, JPJ melancarkan siri nombor pendaftaran “FD” bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya yang boleh dibida selama lima hari bermula hari ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Wee berkata bidaan nombor pendaftaran itu akan ditutup pukul 10 malam pada Jumaat dan keputusannya diumumkan pada 17 April.

“Siri FD merupakan kesinambungan dari siri “FC” yang menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian iaitu JPJeBid yang kini telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun sehingga 50 peratus sempena ulang tahun

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-20, bermula 1 hingga 30 Oktober.

Datuk bandar berkata jenis kompaun layak mendapat pengurangan adalah Undang-undang Kecil (UKK) Kedai Gunting Rambut 1983, UKK Taman 2005, UKK Vandalisme 2005, UKK Establisymen Makanan, UKK Pengendali Makanan, UKK Iklan, UKK Penjaja, UKK Pasar dan Perintah Pengangkutan Jalan 2007.

“Kempen ini antara inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan mereka yang mempunyai tunggakan kompaun menyelesaikan bayaran, jadi kita harap kempen seumpama ini dapat membantu mereka.

“Orang ramai dinasihat mengambil peluang untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil antaranya sekatan urus niaga atau tindakan mahkamah,” kata Dato’ Haris Kasim selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat bayaran di kaunter utama Wisma MBSA Persiaran Perbandaran Seksyen 14 serta pejabat MBSA cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

“Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta pula, orang ramai boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan Bank Rakyat.

“Bayaran juga boleh dibuat menerusi JomPAY dengan hanya memasukkan kod bil 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong hargai pengorbanan ATM, bendung penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-87 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota ATM, khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

“Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

“Semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka melalui hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook Istana Negara hari ini.

Hari ATM disambut pada 16 September setiap tahun.

-BERNAMA