Categories
AGENDA NASIONAL

Yadim terbuka beri kefahaman berhubung Islam kepada masyarakat

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sentiasa terbuka untuk memberikan kefahaman berhubung ajaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata ini termasuk memberi kefahaman kepada mereka yang terlibat dalam ajaran ‘Agama Melayu’ yang dipercayai dibawa oleh individu dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

“Yadim akan menerima semua pihak yang ingin mendapatkan penjelasan berhubung agama Islam yang sebenar. Kita sangat-sangat terbuka,” katanya kepada pemberita pada program Yadim Peduli: Ziarah Prihatin Sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ajaran ‘Agama Melayu’ yang sebelum ini dilaporkan sedang disiasat oleh pihak berkuasa selepas dikatakan menggunakan lafaz syahadah yang pelik serta disambung dengan pengakuan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali.

Tuan Kamarul Arief berkata pihaknya akan menggerakkan Majlis Amal Islami iaitu satu entiti di bawah Yadim untuk memberikan kefahaman berhubung ajaran Islam sebenar selain menggiatkan usaha menerusi pelbagai platform lain termasuk media sosial.

Menurutnya, pelbagai program penerangan kepada masyarakat sedang diatur Yadim merangkumi penggunaan webinar dan Facebook selain bergerak ke seluruh negara menerusi program Nadwah Islam Kekuatan Ummah (Nadiku 2021), yang dijangka dilakukan akhir bulan ini.

Mengenai program ziarah prihatin tersebut, Tuan Kamarul Arief berkata pihaknya memperuntukkan RM30,000 untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan seperti beras, lampin pakai buang, telekung serta bantal kepada Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria Johor Bahru, Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan serta 10 Rumah Saudara Kita di sekitar bandar raya ini.

Program dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Johor dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Johor itu katanya mengetengahkan konsep harmoni dalam memupuk perpaduan sekali gus menonjolkan Islam sebagai agama yang indah.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

YADIM: Subjek agama lain tidak sesuai di sekolah rendah

KOTA BHARU, 20 MEI: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) beranggapan cadangan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di peringkat sekolah rendah adalah tidak sesuai.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Aziz berkata, pelajar di sekolah rendah khususnya yang beragama Islam masih kecil, justeru fokus kepada pemantapan Islam, dari segi akidah dan tauhid perlu dibuat terlebih dahulu.

“Bagi pelajar yang masih kecil perlu didedahkan kepada asas fardu ain…Allah SWT yang maha agung… Dia yang mencipta, Dia yang memberi rezeki. Pendedahan kepada agama lain sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara yang majmuk lebih sesuai di peringkat sekolah menengah atau institut pengajian tinggi.

“(Pada peringkat sekolah menengah) pelajar faham mengenai Islam namun di peringkat sekolah rendah adalah tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Colek dan Sembang Santai di sini, malam tadi.

Pada 18 Mei lalu, Presiden MBM Jufitri Joha dilaporkan berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tidak mempersetujui cadangan MBM, bagaimanapun kementerian konsisten dengan cadangan sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.

– BERNAMA