Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SUKANKINI

Kasma teruja sertai latihan Yamaha-VR46 Master Camp

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUL: Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin berjaya menamatkan sesi latihan intensif Yamaha-VR46 Master Camp bersama empat pelumba Asia lain di Akademi VR46 milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di Tavullia, Itali.

Pelumba berusia 16 tahun itu terpilih menyertai kem latihan pada 4 hingga 11 Julai lalu bersama empat lagi pelumba Yamaha, Peerapong Loiboonpeng dari Thailand, Galang Hendra Pratama dan Imanuel Putra Pratna (Indonesia) serta Soichiro Minamimoto (Jepun) berdasarkan persembahan cemerlang dalam siri perlumbaan Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia 2016.

VR46 aKasma berkata, beliau sangat teruja berpeluang berlumba bersama Rossi di litar latihan ‘flat track’ dan di Litar Misano selain menggunakan jentera ‘dirt bike’.

“Saya banyak pelajari dalam setiap program latihan dan sangat gembira dengan pengalaman ini. Namun, sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kejurulatihan VR46.

“Pengalaman lima hari di sini sangat berguna dan juga merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan. Terima kasih kepada pihak Yamaha, jurulatih kami dan juga seluruh kakitangan VR46 yang telah mengatur program latihan sangat menakjubkan,” katanya.

Katanya, latihan dengan menggunakan jentera ‘dirt bike’ dianggap antara latihan terbaik dalam membantu meningkatkan kemahiran pelumba mengawal jentera.

Program selama lima hari itu dibentuk Rossi dengan memberi tumpuan terhadap kecergasan fizikal pelumba dan kawalan jentera sebagai faktor utama yang dapat membantu proses perkembangan serta meningkatkan kemahiran pelumba.

VR46Bagi legenda MotoGP, Rossi sendiri menganggap siri latihan bersama lima pelumba itu mencapai keputusan diharapkan.

“Mudah-mudahan mereka menerima pendedahan yang sangat berguna di Akademi VR46, bukan sekadar pengetahuan dan juga kemahiran, sebaliknya juga kekuatan mental.

“Kesemua mereka merupakan pelumba yang bagus dan cepat belajar walaupun banyak perkara yang terpaksa dipelajari dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.

-nR-