Categories
PBT SELANGOR

Perkasa Jabatan Undang-Undang, MPK tubuh Unit Litigasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mewujudkan Unit Litigasi yang dipantau secara terus oleh Yang DiPertuanya dalam usaha memperkasakan Jabatan Undang-Undang MPK, sedia ada.

Yang DiPertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, unit baru itu akan diketuai oleh Zulina Yahya dengan sokongan tiga pegawai undang-undang lain.

Katanya, unit terbabit akan mengambil alih pengurusan dan pentadbiran antaranya Unit Sivil, Unit Cukai Taksiran, Unit Trafik dan Unit Bukan Trafik.

“Jawatankuasa Pihak Berkuasa Melantik dan Pembangunan Modal Insan bersetuju pada 18 Januari lalu untuk menubuhkan unit ini dengan tujuan untuk memperkasakan Jabatan Undang-Undang dari sudut pendakwaan dan litigasi.

“Manakala, Unit Pentadbiran, Unit Kontrak dan Perjanjian serta Unit Gubalan dan Penyelidikan Maklumat masih berada di bawah pengurusan dan pentadbiran Pejabat Penasihat Undang-Undang,” katanya.

Yasid berharap dengan penubuhan dan penstrukturan unit-unit itu akan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

“Unit akan diletakkan dan dipantau terus oleh Yang Dipertua berkuatkuasa mulai 1 Februari,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Hampir 5 juta pelancong sudah melawat Klang tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 OGOS: Bandar DiRaja Klang, bandar yang pernah menjadi ibu negeri Selangor suatu ketika dulu, kini menjadi destinasi pelancongan terpenting di Selangor ekoran jumlah pengunjung semakin meningkat saban tahun.

Bandar yang sarat dengan peninggalan sejarah itu juga diwartakan sebagai Tahun Melawat Klang tahun ini.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, setakat Julai lalu, hampir lima juta pengunjung direkodkan hadir ke daerah itu sempena Tahun Melawat Klang 2017.

Katanya, Heritage Walk, Muzium Diraja dan Guan Yin Temple merupakan antara tarikan yang menyumbang kepada pertambahan pelancong.

SUNGAI KLANG“Mengikut data yang direkodkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mencatatkan 5,600 pengunjung; rangkaian gedung perniagaan borong GM Klang, seramai 1.3 juta dan Bousted Cruise Centre, seramai 130,000.

“Manakala, Pulau Ketam mencatatkan seramai 2 juta pengunjung; City Heritage Tour sebanyak 1.3 juta dan Istana Alam Shah seramai 3,500 pengunjung,” katanya kepada SelangorKini.

Yasid berkata, pencapaian Tahun Melawat Klang 2017 itu disifatkan berjaya dilaksanakan ekoran jumlah kedatangan pengunjung mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

“Setakat ini, pencapaian kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Klang 2017 amat memberangsangkan. Kita juga menubuhkan satu pasukan iaitu Ahli Jawatankuasa Kecil Pelancongan bagi membantu menjana lagi kedatangan orang luar ke sini,” katanya.

Terdahulu, Yasid memaklumkan peningkatan tahap kebersihan dan hasil pemuliharaan Sungai Klang juga memainkan peranan terpenting dalam usaha mempromosikan Klang sebagai produk pelancongan.

Katanya, kedatangan pelancong meningkat apabila Klang kini menawarkan suasana lebih menarik dan bersih termasuk Sungai Klang sendiri.

Sungai Klang 2Antara aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ialah Royal Klang Town Heritage Walk, Jom Berkelah, ‘We Love Klang Treasure Hunt’, lawatan ke Pulau Ketam, pertandingan memancing selak tirai, Klang Arts Festival, pertandingan fotografi Jambatan Kota, kayuhan basikal klasik dan ‘We Love Klang Food Festival’.

Antara lain produk pelancongan yang menarik di Bandar Diraja Klang ialah Istana Alam Shah, Galeri Diraja, Pusat Pemborong Terbesar di Asia Tenggara GM Klang, Royal Klang Heritage Walk dan Boustead Cruise Centre.

Pada 2015, daerah itu menerima lebih 5.2 juta pengunjung di tujuh lokasi menarik di Klang manakala ia meningkat kepada 7.9 juta pengunjung pada 2016.

=EZY=