Categories
NASIONAL

Umno-BN Cuba Hasut Penduduk Bukit Botak

SELAYANG,17 APR : Penyokong Umno-BN sedang menyebarkan ura-ura yang gagasan itu boleh menurunkan harga rumah di projek penempatan semula Bukit Botak walaupun pada asalnya, mereka gagal melaksanakan projek tersebut semasa mereka berkuasa 23 tahun lepas.

Mengikut hasutan Umno-BN, gagasan itu dapat menawarkan harga rumah di Bukit Botak kepada RM 70,000 sedangkan yang memajukan projek itu adalah Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat.

“Kita meminta penduduk jangan terperdaya dengan perkara itu kerana selama 26 tahun kerajaan Barisan Nasional tidak dapat menyiapkan projek perumahan ini.

“Dan pada hari ini dengan kos untuk pembinaan yang ada tidak mungkin akan dapat ditawarkan pada harga bawah RM70,000,” kata William, di dalam satu sidang media Pejabat Khidmat DUN Taman Templer di sini.

Selama 26 tahun, seramai 2,300 keluarga peneroka bandar dibiar terumbang ambing setelah projek penempatan semula mereka di Bukit Botak gagal disiapkan oleh tiga pentadbiran Menteri Besar Umno-BN.

Pakatan berjaya menyiapkan ¾ daripada projek yang melibatkan 1,442 rumah itu dalam masa tiga tahun. Keseluruhan projek itu dijangka siap pada November tahun ini.

“Ada beberapa khabar angin yang sedang berjalan, antaranya ialah kewujudan ejen-ejen luar yang menawarkan harga-harga tertentu untuk pembelian lot-lot di bahagian sudut tertentu.

“Kita nasihatkan kepada penduduk jangan membayar apa-apa wang kepada ejen-ejen ini kerana tidak ada skim seperti ini,” ujar William.

Hadir bersama Penyelaras DUN Taman Templer, Mohammad Abd Rahman dan Ahli Majlis Selayang, Zaidi Abdul Talib.

Menurut Mohammad harga pasaran bagi rumah itu adalah RM170,000. Namun kerajaan Selangor hanya menetapkan harga pada RM99,000 sahaja kepada penduduk.

Tambahnya, jika penduduk ingin menjual-balik rumah itu kepada Kerajaan Selangor, ia akan dibeli dengan harga RM160,000.

?Orang yang tidak layak untuk skim pinjaman kerana sudah berusia, maka ada beberapa cadangan agar ia rumah itu diserahkan kepada warisnya dan penamanya itu membuat pinjaman perumahan itu,” kata Mohammad.

Penduduk yang masih belum menerima surat tawaran daripada PKNS dinasihatkan agar menghubungi pihak Bahagian Jualan PKNS dengan menelefon nombor 03-55192211 pada kadar segera.

Proses undian untuk rumah Bukit Botak fasa awal akan diadakan pada 21 April.

Rumah projek Bukit Botak itu yang ditawarkan penduduk adalah adalah rumah teres setingkat yang dibina dengan keluasan lantai 850 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan reka bentuk moden.

Penduduk juga disediakan kemudahan lain seperti dua tapak surau, satu tapak tadika dan satu kawasan lapang.