Categories
EXCO SELANGOR

Umat Islam diseru sertai bacaan zikir Ratib Al-Haddad, mohon dijauhi Covid-19

SHAH ALAM, 14 JUN: Umat Islam negeri ini diseru menyertai bacaan zikir Ratib Al-Haddad malam ini bagi memohon perlindungan daripada ancaman Covid-19.

Melalui poster dikongsikan EXCO hal ehwal agama Islam, hari terakhir program melalui Selangor Berzikir itu digalakkan dibuat di kediaman masing-masing mulai jam 9.05 malam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diundang sebagai tetamu khas.

Program turut menampilkan Pengerusi Majlis Ta’lim Darul Murtadza Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Bacaan zikir Ratib Al-Haddad dianjurkan selama dua minggu sejak 1 Jun lalu sebagai usaha menggalakkan rakyat untuk memohon doa perlindungan supaya dijauhi daripada wabak.

Zikir tersebut boleh ditonton secara langsung di Facebook Zawawi Mughni.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Zikir Ratib Al-Haddad mulai malam ini, mohon dijauhi ancaman virus

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam negeri ini diseru menyertai program bacaan zikir Ratib Al-Haddad mulai hari ini hingga 14 Jun sebagai ikhtiar memohon perlindungan daripada ancaman Covid-19.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata inisiatif melalui program Selangor Berzikir digalakkan dibuat di kediaman masing-masing mulai jam 9 malam.

“Program ini usaha Kerajaan Negeri bagi menggalakkan rakyat Malaysia khasnya di Selangor untuk terus berusaha dan memohon doa perlindungan agar dijauhi daripada musibah dan wabak ini.

“Semoga dengan amalan seluruh warga negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh akan dapat membina kekuatan jiwa dan memberi kesejahteraan hidup kita bersama,” katanya.

Beliau ditemui pada program serahan sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Mohd Zawawi berkata beberapa ulama turut dijemput untuk berkongsi manfaat zikir Ratib Al-Haddad yang diamalkan ratusan tahun lalu bagi mengangkat sesuatu penyakit.

Zikir tersebut juga boleh ditonton secara langsung di Facebook Zawawi Mughni.

Foto Facebook Zawawi Mughni