Categories
EXCO SELANGOR

Umat Islam diseru sertai bacaan zikir Ratib Al-Haddad, mohon dijauhi Covid-19

SHAH ALAM, 14 JUN: Umat Islam negeri ini diseru menyertai bacaan zikir Ratib Al-Haddad malam ini bagi memohon perlindungan daripada ancaman Covid-19.

Melalui poster dikongsikan EXCO hal ehwal agama Islam, hari terakhir program melalui Selangor Berzikir itu digalakkan dibuat di kediaman masing-masing mulai jam 9.05 malam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diundang sebagai tetamu khas.

Program turut menampilkan Pengerusi Majlis Ta’lim Darul Murtadza Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Bacaan zikir Ratib Al-Haddad dianjurkan selama dua minggu sejak 1 Jun lalu sebagai usaha menggalakkan rakyat untuk memohon doa perlindungan supaya dijauhi daripada wabak.

Zikir tersebut boleh ditonton secara langsung di Facebook Zawawi Mughni.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP penuh bukan halangan ribuan hadir buat saringan

KLANG, 1 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh mulai hari ini tidak menghalang kelancaran program Saringan Komuniti di dua lokasi di sini.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata sebanyak 7,000 individu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dr Muhammad Farhan Rosli menjelaskan seramai 3,800 orang mendaftar di Dewan Sungai Klang manakala baki membabitkan saringan di Dewan Kemunting, Kota Kemuning.

Dr Muhammad Farhan Rosli

“Terdapat 7,000 individu berdasarkan data pradaftar dan kita jangka lebih 5,000 orang datang untuk membuat saringan,” katanya ketika ditemui di Dewan Sukan Klang di sini.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Kandis berpuas hati dengan jumlah kehadiran 1,800 peserta setakat pagi tadi dan dijangka bertambah pada sebelah petang.

“Kita jangka jumlah itu akan bertambah apabila masing-masing mengetahui ia diteruskan selepas ada yang berbelah bahagi kerana menjangka ia ditangguh.

“Alhamdulilah kita mendapat kebenaran dari kerajaan untuk meneruskan program saringan ini kerana kepentingan dalam mengekang penularan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Muhgni.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri diteruskan mengikut jadual sepanjang PKP penuh selama dua minggu.

Categories
SELANGOR

Kenang pengorbanan, hargai sumbangan pasukan bomba – Zawawi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 5 OKT: Sumbangan, peranan dan bakti pasukan bomba demi memastikan kesejahteraan rakyat harus dikenang serta dipahat kemas dalam ingatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata, hal itu kerana tugas anggota keselamatan terbabit amat sukar dan sering terdedah dengan risiko luar jangka.

“Sepanjang tempoh sebulan saya dilantik sebagai ADN Sungai Kandis, ada lima kes besar berlaku yang memerlukan khidmat anggota bomba.

“Ia termasuk kebakaran di Johan Setia, pembakaran sampah haram di Jalan Kebun, kebocoran gas ammonia dan kebakaran dua buah rumah di kawasan ini, baru-baru ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Menghargai Petugas Bomba, di Ibu Pejabat Bomba Penyelamat Space U8, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 petugas bomba dan penyelamat daerah itu menyertai majlis berkenaan yang dipimpin Penguasa Bomba (Ketua Cawangan Perakuan Bangunan), Bukhari Ahmad.

Zawawi berkata, majlis terbabit bertujuan memperingati dan mengenang pengorbanan anggota pasukan berseragam itu dalam membantu rakyat di sini.

Katanya, ia sekali gus dapat merapatkan hubungan pimpinan bersama anggota berkenaan untuk terus bekerjasama pada masa akan datang.

“Saya berharap mereka terus mencurahkan bakti dan menjalankan perkhidmatan terbaik sebagai amanah Allah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban syahid ketika misi menyelamatkan seorang remaja lemas di sebuah lombong di Puchong, semalam.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala, dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohd Zawawi calon PRK DUN Sungai Kandis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JUL: Teka-teki calon mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, akhirnya terjawab.

Calon berkenaan adalah Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) serta Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), di peringkat pusat.

Pengumuman itu dilakukan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRK N49 yang diadakan di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi, 48, juga adalah Timbalan Pengerusi Masjid An-Naim, Jalan Kebun.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari pengundian akan dijalankan pada 4 Ogos, manakala penamaan calon ditetapkan 21 Julai ini.