Categories
AGENDA NASIONAL

Zon merah wabak Covid-19 kekal 26 daerah

SHAH ALAM, 14 APRIL: Zon merah Covid-19 di seluruh negara kekal 26 daerah setakat 12 tengah hari semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lembah Pantai masih merekodkan kes positif tertinggi iaitu 515, meningkat 19 kes berbanding kelmarin, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan daerah kedua dan ketiga tertinggi masing-masing 419 dan 346 kes.

Berdasarkan infografik CPRC KKM, keseluruhannya terdapat 16 kawasan zon jingga, 77 zon kuning serta 29 zon hijau di seluruh negara.

Selangor masih mencatat bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,249 berbanding 1,236 kes kelmarin.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pergiat aktiviti pengesanan Covid-19 di zon merah – Noor Hisham

PUTRAJAYA, 13 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mempergiatkan tindakan dan aktiviti pengesanan jangkitan Covid-19 dalam kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah bagi mengekang virus tersebut dalam komuniti di kawasan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa sama, komuniti di zon berkenaan perlu mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah dan mengurangkan pergerakan.

“Ia bukan sekadar mesej mudah, tetapi juga apa yang perlu dilakukan oleh rakyat.

“Sekurang-kurangnya duduk rumah, amalkan kebersihan dan jarakan selamat untuk mudahkan tindakan KKM berhasil mengesan kes positif di kawasan itu,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM mengaktifkan langkah mengesan, menguji dan mengasing secara padu komuniti di kawasan zon merah bagi membantu mengawal perebakan virus Covid-19 seterusnya menyumbang kepada peratus kematian yang rendah di negara ini.

Sehingga hari ini, zon merah Covid-19 masih kekal 26 daerah, dengan Lembah Pantai merekodkan peningkatan jumlah kes positif yang hampir mencecah 500 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menerima hampir 2,500 panggilan dan lebih 1,200 WhatsApp melalui perkhidmatan tele-kaunseling dan e-kaunseling sejak 28 Mac lepas hingga hari ini.

Beliau berkata tiga isu utama yang diutarakan oleh mereka yang menghubungi talian itu ialah untuk mendapatkan sokongan emosi, bantuan dan sumbangan serta maklumat lanjut Covid-19.

“Secara kumulatif sejak 28 Mac hingga 12 April kita menerima 2,309 panggilan dan 252 WhatsApp. Setakat ini pada pukul 4.30 petang, tambahan 150 panggilan dan lebih 1,000 mesej WhatsApp telah kita terima,” katanya.

Talian tele-kaunseling dan e-kaunseling melalui Talian Sokongan Psikososial Covid-19 diwujudkan bagi memberi sokongan emosi kepada rakyat Malaysia sepanjang PKP, yang merupakan kerjasama KKM dengan Sukarelawan Mercy Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada tambahan zon merah, kekal 26 daerah

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Zon merah Covid-19 kekal 26 daerah, setakat 12 tengah hari semalam, dengan Lembah Pantai masih merekodkan jumlah kes tertinggi positif Covid-19, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah berkenaan merekodkan 459 kes.

Selain Lembah Pantai, daerah Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan kes kedua dan ketiga tertinggi dengan 378 dan 335 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 40 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.

Negeri Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,183 kes manakala kes terendah di Labuan iaitu 15 kes.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan kedudukan kekal dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 di dunia, iaitu negara menghuni tangga ke-34 semalam (11 April) dengan 4,530 kes positif dan 73 kematian.

Berikut adalah senarai lokasi zon merah lain seluruh Malaysia:

Perak
Hilir Perak – 66
Kinta – 98

Selangor
Sepang – 61
Petaling – 335
Hulu Langat – 378
Gombak – 125
Klang – 169
Hulu Selangor – 45

Kuala Lumpur
Cheras – 69
Kepong – 119
Lembah Pantai – 459
Titiwangsa – 112

Putrajaya – 51

Negeri Sembilan
Seremban – 213
Rembau – 53

Melaka
Jasin – 67
Melaka Tengah – 46

Pahang
Kuantan – 76
Jerantut – 64

Johor
Batu Pahat – 51
Kluang – 183
Johor Bharu – 176

Kelantan
Kota Bharu – 88

Sarawak
Kuching – 215
Kota Samarahan – 47

Sabah
Tawau – 70

JUMLAH 3,436

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Sepang, Kota Samarahan kini kategori zon merah Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Dua lagi kawasan dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 23 lokasi setakat ini, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan statistik yang dimuat naik di Twitter KKM hari ini, lokasi terbaharu itu membabitkan daerah Sepang, Selangor dengan 46 kes, serta Kota Samarahan, Sarawak, dengan 42 kes setakat 12 tengah hari semalam (7 April).

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Wilayah Persekutuan Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak); Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan); Jerantut (Pahang); Tawau (Sabah); dan Kuching (Sarawak).

Sementara itu, Lembah Pantai mencatatkan kawasan tertinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 412 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat 345 dan 306 kes positif Covid-19.

Zon merah dikategorikan bagi jumlah melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Setakat ini, Selangor masih mencatat bilangan kes paling tinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 1,020 kes, manakala Perlis kekal merekodkan kes terendah (17).

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 di dunia, apabila negara menghuni tangga ke-30 semalam dengan 3,963 kes positif dan 63 kematian.

Berdasarkan statistik itu, kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada 6 April, iaitu di tangga ke-29.

Negara jiran, Filipina di tangga ke-34 (3,660 kes), Indonesia (2,491 kes) dan Thailand (2,258 kes) pula masing-masing berada di kedudukan ke-38 dan ke-41, manakala Singapura (1,309) di tangga ke-54 senarai itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan 368,449 kes dan Sepanyol (136,675 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas dengan jumlah paling ramai dan kedua dunia, diikuti Itali di kedudukan ketiga dengan 132,547 kes.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 seluruh dunia dilaporkan sebanyak 1,351,011 kes, yang melibatkan 285,517 kes sembuh manakala 74,871 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat daerah di Selangor diisytihar zon merah, cecah 460 kes

SHAH ALAM, 27 MAC: Empat daerah di Selangor yang diisytihar sebagai zon merah wabak Covid-19 merekodkan jumlah 460 kes.

Mengikut angka Kementerian Kesihatan (KKM), Hulu Langat mencatatkan jumlah tertinggi di negeri ini dengan 186 kes, diikuti Petaling Jaya (176), Gombak (54) dan Klang (44).

Jumlah keseluruhan yang direkodkan, sehingga tengah hari semalam, di negeri ini sebanyak 510 kes dengan dua kematian.

Sebanyak 11 daerah di luar Selangor turut diisytihar zon merah iaitu Lembah Pantai (208 kes), Kepong (45), Titiwangsa (49), Johor Bharu (73), Kluang (83), Seremban (85), Hilir Perak (52), Kinta (56),Kota Bharu (55), Kuching (52) dan Tawau (50).

Menurut data di Twitter KKM Putrajaya, sehingga semalam, 2,031 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dengan 23 kematian. Satu lagi kematian dilaporkan hari ini.

KKM menetapkan sesuatu kawasan sebagai zon merah apabila mempunyai lebih 40 kes.