Categories
NASIONAL

Zon penampan kekang wabak Rabies

SHAH ALAM, 27 JULAI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mewujudkan zon penampan antara Sarikei dan Sri Aman bagi mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila ke kawasan lain, di negeri itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan membuat pemantauan dan mengambil sampel anjing untuk ujian makmal terutama di kawasan bandar bagi menentukan status kawasan terbabit melalui zon itu.

“Pihak Majlis Kerajaan Tempatan di lokasi berkenaan pula akan mengambil tindakan untuk memastikan tiada anjing liar berkeliaran di kawasan seliaan mereka,” kata sekretariat jawatankuasa itu dalam kenyataan lewat, petang semalam.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan Barat) bersetuju meningkatkan kerjasama antara dua negara bagi mengekang penularan wabak itu dengan memberi penekanan kepada lima perkara, baru-baru ini.

anjingBERNAMA melaporkan, ia terdiri daripada usaha mewujudkan komunikasi dua hala antara JPVS dengan Dinas Kesehatan Hewan untuk saling bertukar maklumat berkenaan dengan wabak Rabies, mewujudkan ‘Immune Belt’ atau jalur imun di sempadan dua negara, melarang eksport dan import haiwan, saling bertukar pengalaman serta latihan jika perlu.

Sejak Kementerian Kesihatan mengumumkan berkenaan penularan jangkitan rabies terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang meninggal dunia akibat penyakit itu di Sarawak dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun, pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, sekretariat jawatankuasa berkenaan memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Sarawak mewujudkan klinik gigitan anjing di Hospital Serian, Hospital Sri Aman dan Hospital Umum Sarawak serta Klinik Kesihatan Sentosa di Kuching khusus untuk memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing.

Bagi yang tinggal di luar daripada kawasan klinik berkenaan, mereka yang pernah digigit anjing dinasihati mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran khususnya bagi kes gigitan yang berlaku, sejak April.

Sehingga kini, jumlah haiwan peliharaan yang diberi suntikan vaksin di Sarawak adalah 18,144 ekor terdiri dari 10,504 anjing, 7,595 kucing dan selebihnya haiwan lain.

“Buat masa ini, stok simpanan vaksin untuk haiwan adalah mencukupi. Pihak JPVS akan melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan terancang di tempat tertentu, yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, melalui media masa,” menurut kenyataan itu.