Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja perempuan mangsa terbaharu jangkitan rabies di Sarawak

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia akibat dijangkiti wabak rabies di Sarawak pada 11 November lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada enam bagi tahun ini, dan kes ke-28 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

“Individu itu meninggal dunia pada 3.45 petang di Hospital Umum Sarawak (HUS), dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Nov,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata individu berkenaan dimasukkan ke HUS pada 10 Nov selepas demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif, selain turut mengalami aerofobia dan hidrofobia.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes ini. Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan, tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

“Beliau ada memelihara empat ekor kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah mendapat vaksinasi, namun sehingga kini haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil langkah pencegahan seperti mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit.

Beliau turut menyarankan orang ramai mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar.

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan antirabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar, dan laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak, dan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia, bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehesif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan dengan mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa, bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan awam,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki warga emas korban kedua rabies di Sarawak tahun ini

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 62 tahun dari Sibu, Sarawak pada 23 Jun disebabkan wabak rabies, menjadikannya kes kedua yang dilaporkan di negeri itu tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan rabies di negeri itu sebanyak 24 kes termasuk 23 kematian sejak wabak tersebut diisytiharkan pada 1 Julai 2017.

Jangkitan terbaharu itu disahkan melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Perubatan Malaysia semalam, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, lelaki tersebut digigit seekor anjing milik saudaranya di betis kanan ketika mengunjungi rumah saudaranya itu di Jalan Sentosa Barat, Sibu pada 12 Mei lepas.

Mangsa mencuci luka menggunakan air dan sabun selama 15 minit serta mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan, namun dia tidak hadir semula ke fasiliti berkenaan bagi mendapatkan suntikan vaksin anti-rabies, katanya.

Pada 16 Jun, mangsa mengalami lemah kaki dan sembelit, dan pada 19 Jun dia dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut serta dimasukkan ke hospital pada hari sama sebelum meninggal dunia pada 7 malam, 23 Jun, kata Dr Noor Hisham.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai, khususnya di Sarawak, agar mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan rabies termasuk mencuci bahagian yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan mendapatkan rawatan segera jika digigit haiwan peliharaan tanpa sebab atau anjing liar.

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan dan elakkan ia (anjing) bercampur dengan haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin.

“Ahli keluarga digesa memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat dalam kalangan ahli keluarga digigit haiwan khususnya anjing dan kucing bagi memastikan rawatan sewajarnya segera diberikan,” katanya.

Untuk rekod, kes rabies pertama dilaporkan tahun ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun di Sibu yang meninggal dunia pada 26 Mac.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mangsa terbaru wabak rabies meninggal dunia

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Seroang lelaki yang disyaki menghidap wabak Rabies di Sarawak pertengahan minggu ini disahkan meninggal dunia semalam sekitar jam 9.15 pagi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil ujian makmal kes tersebut pada 31 Mei mengesahkan mangsa posiitf rabies.

Katanya, kes rabies ke-18 ini merupakan mangsa ketiga jangkitan akibat dicakar anjing yang diambil dari sumber tidak diketahui termasuk status vaksinasi rabies.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala,” katanya dalam kenyataan.

Dengan pengesahan kes baru ini, jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 18 kes; termasuk 17 kematian.

Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat, iaitu seorang kanak-kanak yang kini berumur 9 tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei 2019, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 62 buah kawasan di 11 Bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies dan Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

Categories
NASIONAL

Seorang lelaki disyaki hidap wabak rabies di Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seorang lelaki disyaki menghidap wabak rabies di Kuching, Sarawak selepas mengalami lemah badan dan kesukaran nafas pada 26 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 26 tahun yang kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak (HUS) mempunyai sejarah menerima dua ekor anjing daripada soerang kenalan media sosial pada Mac lalu.

“Status imunisasi rabies kedua-dua ekor haiwan ini tidak diketahui. Beliau pernah dicakar anjing ini ketika bermain dan tidak mendapatkan sebarang rawatan bagi luka berkenaan.

“Pada pertengahan Mac lalu, kedua-dua anjing itu mati selepas menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia. Bangkai anjing dibuang ke dalam belukar dan tiada laporan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa mendapati keadaanya bertambah teruk ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching sebelum dirujuk ke HUS, pada 29 Mei.

“Pemeriksaan mendapati beliau mengalami kekeliruan (confusion), hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh yang lemah.

“Kes kini di bawah rawatan dan pengawasan rapi di hospital tersebut. Sampel klinikal kes akan diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian rabies,” katanya.

Sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga kini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah 17 orang termasuk 16 kematian dengan kes terakhir pada 18 Januari 2019.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak mengambil anjing tanpa mengetahui status vaksin untuk dipelihara serta mendapatkan pemeriksaan segera jika digigit atau dicakar haiwan di klinik atau hospital berdekatan.

Categories
NASIONAL

Rabies: Satu lagi kes di Kuching

SHAH ALAM, 27 JAN: Satu lagi kes rabies disahkan Jabatan Kesihatan Kuching melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang, Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes terbaharu itu hasil ujian makmal yang diperoleh Jabatan Kesihatan Kuching, semalam.

“Lelaki tersebut mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 Nov tahun lalu. Kes telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Kuching pada hari yang sama tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

“Pada 20 Jan lalu, kes mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta empat hari kemudian (24 Januari).

“Keesokannya, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut selepas mangsa menunjukkan gejala hidrofobia, halusinasi dan agresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap JPBNS berkata kes terbaharu ini menjadikan sejumlah tujuh kes rabies manusia dilaporkan di negeri ini sejak 30 Jun tahun lalu.

“Lima daripada mangsa telah meninggal dunia manakala dua lagi kes masih di rawat di HUS,” katanya.

-Bernama-

Categories
NASIONAL

Sampel anjing dari Gedong dan Serian positif rabies

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengesahkan dua sampel anjing daripada Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), di Ipoh, sebagai positif virus Rabies.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata, dua sampel yang diterima JPVS adalah dari Kampung Kuala, Jalan Gedong, Serian, yang sebelum ini menjadi lokasi jangkitan mangsa keenam dan disahkan dalam keadaan kritikal.

Katanya, keputusan itu berdasarkan Ujian Direct Fluorescent Antibody (FAT) yang dihantar, pada 10 Ogos lalu.

“Setakat ini, sebanyak 36 sampel anjing dan enam sampel kucing dari 180 keputusan yang diterima VRI disahkan positif virus Rabies.

anjing“Jumlah itu menjadikan secara kumulatif 31,815 haiwan peliharaan terdiri dari 24,173 anjing, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain sudah divaksin. Manakala, sebanyak 139 anjing telah divaksin di 10 kampung, dalam daerah Serian,” katanya dipetik Astro Awani.

Selain itu, ISmail berkata, sebanyak 35,759 survelan aktif dan 870 survelan pasif dilakukan untuk mengawal penularan wabak Rabies oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

“193 sampel yang terdiri dari 175 anjing, 17 kucing dan satu kelawar diperolehi dari bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu juga Miri dihantar ke VRI untuk ujian virus Rabies.

“Program Pemvaksinan Anjing yang akan dilaksanakan di Kampung Panchor Dayak dan Panchor Cina, Kampung Semada Belatok, Semada Mawang, Semada Tengah, Kampung Semukoi A, Semukoi Empegang, Kampung Sungai Apeng, Slabi Entukuh, Sungai Buruh dan Singai Turong pula akan ditangguh, pada 19 Ogos ini bagi memberi laluan Program Pemvaksinan Anti-Rabies,” katanya.

Sementara itu, setakat ini1,048 anjing terbiar ditangkap dalam operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan bersama JPVS di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar.

Categories
NASIONAL

92 kes baru gigitan haiwan di Sarawak

SHAH ALAM, 12 OGOS: Sekurang-kurangnya 92 kes baharu gigitan haiwan direkodkan di Sarawak membabitkan
42 kes di Serian, 35 di Kuching, 12 di Samarahan dan tiga di Sri Aman.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, daripada jumlah itu, 84 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 43 kes dan kucing 40 kes manakala lapan kes lagi melibatkan haiwan liar iaitu anjing (4), kucing (3) dan tikus satu kes.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April hingga semalam berjumlah 2,062 kes, katanya.

Kenyataan itu juga menyebut secara kumulatifnya seramai 882 orang menerima suntikan vaksin anti rabies.

Sehingga kini wabak rabies di Sarawak telah meragut lima nyawa melibatkan empat kanak-kanak dan seorang dewasa.

Sementara itu, mangsa terbaharu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala Gedong di Samarahan dilaporkan kritikal di Hospital Umum Sarawak.

Perkara itu disahkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian tiga hari lepas.

-Bernama

Categories
NASIONAL

Suntik vaksin kawal pembiakan rabies

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sehingga kini 27,687 haiwan diberi suntikan vaksin dalam satu operasi besar-besaran mencegah virus rabies di sekitar daerah Serian, Sarawak.

Dalam kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu sebanyak 20,045 anjing divaksin, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain disuntik bagi mengelakkan rabies merebak.

“Program pemvaksinan anjing adalah bagi mengawal penularan wabak rabies atau anjing gila dilakukan di lima kampung dalam bahagian serian, semalam.

“Antara lima kampung yang terlibat ialah Kampung Terbat Leban, Kampung Terbat Mawang, Kampung Mayang Kawan, Kampung Sebintin dan Kampung Engkeroh,” katanya.

Terdahulu, JPBN Sarawak memutuskan untuk mewujudkan zon penampan antara Sarikei dan Sri Aman bagi mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila ke kawasan lain, di negeri itu.

Sejak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan berkenaan penularan jangkitan rabies terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang meninggal dunia akibat penyakit itu di Sarawak dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun, pada 23 Julai lalu.

Categories
NASIONAL

Pewartaan Rabies kekal di Kuala Sepetang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak tidak akan menarik balik pewartaan kawalan penyakit rabies di kawasan Kuala Sepetang dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Dr Fuziah Muhayat berkata, hal itu kerana proses penarikan balik warta mengenai kawalan hanya akan dilaksanakan jika didapati tiada sebarang kes tempatan dikesan.

Katanya, ia sama ada di dalam mana-mana spesis haiwan mahupun manusia selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Beliau berkata, status keadaan penyakit itu akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang akan dijalankan.

“Sekiranya terdapat pengasingan Lyssa virus (penyebab penyakit rabies) pewartaan itu akan diteruskan sehingga keadaan sampel yang diambil adalah negatif sekurang-kurangnya dua tahun.

“Sehubungan itu, penarikan warta mengenai kawalan penyakit rabies tidak digalakkan ditarik dalam masa terdekat kerana punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies ini terkandung didalam pewartaan itu,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Fuziah berkata, tindakan menarik semula pewartaan tempoh terdekat juga bercanggah dengan Terrestrial Animal Health Code (OIE) yang mensyaratkan tempoh bebas adalah selepas dua tahun kes terakhir yang dilaporkan bersama semua syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi.

Terdahulu, kawasan Kuala Sepetang itu merupakan kawasan yang baharu dikenalpasti sebagai ancaman Rabies.

Pada 13 Julai lalu, jabatan itu menerima aduan daripada seorang penduduk beralamat di Kuala Sepetang memaklumkan anjing peliharaannya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.

Katanya, susulan aduan itu, jabatan melakukan pengambilan sampel karkas anjing itu untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh.

Categories
PBT SELANGOR

Tiada kes jangkitan Rabies di kawasan MBPJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 29 JULAI : Tiada sebarang kes membabitkan penularan jangkitan Rabies di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, penduduk diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan sekiranya terkena gigitan kucing atau anjing liar.

“Sehingga kini tiada kes penyakit Rabies dalam kalangan manusia atau anjing dicatakan di kawasan MBPJ. Satu perasi mega tangkapan anjing liar telah dijalankan 20 Julai lalu di sekitar Jalan PJS 5/10 Taman Desa Ria sebagai langkah berjaga-jaga.

“Operasi melibatkan 20 anggota jabatan dan lapan anggota polis dengan 11 ekor anjing liar telah ditangkap,” katanya.

mbpjMohd Azizi memaklumkan, sebanyak 381 aduan gangguan anjing direkodkan sehingga minggu epid 28, awal Julai lalu.

“330 ekor anjing liar juga telah ditangkap dengan 15 kompaun dan 67 notis kacau ganggu dikeluarkan kepada pemilik,” katanya.

Untuk rekod sehingga kini, tiada laporan jangkitan dicatatkan di Selangor.

Jangkitan Rabies yang mula menular sejak awal Julai lalu di Sarawak mengorbankan lima nyawa dengan empat mangsa lain adalah kanak-kanak.

Mangsa terbaru melibatkan kematian lelaki berusia 53 tahun dikenali sebagai Tinding Lambang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, Kuching 24 Julai lalu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Zon penampan kekang wabak Rabies

SHAH ALAM, 27 JULAI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mewujudkan zon penampan antara Sarikei dan Sri Aman bagi mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila ke kawasan lain, di negeri itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan membuat pemantauan dan mengambil sampel anjing untuk ujian makmal terutama di kawasan bandar bagi menentukan status kawasan terbabit melalui zon itu.

“Pihak Majlis Kerajaan Tempatan di lokasi berkenaan pula akan mengambil tindakan untuk memastikan tiada anjing liar berkeliaran di kawasan seliaan mereka,” kata sekretariat jawatankuasa itu dalam kenyataan lewat, petang semalam.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan Barat) bersetuju meningkatkan kerjasama antara dua negara bagi mengekang penularan wabak itu dengan memberi penekanan kepada lima perkara, baru-baru ini.

anjingBERNAMA melaporkan, ia terdiri daripada usaha mewujudkan komunikasi dua hala antara JPVS dengan Dinas Kesehatan Hewan untuk saling bertukar maklumat berkenaan dengan wabak Rabies, mewujudkan ‘Immune Belt’ atau jalur imun di sempadan dua negara, melarang eksport dan import haiwan, saling bertukar pengalaman serta latihan jika perlu.

Sejak Kementerian Kesihatan mengumumkan berkenaan penularan jangkitan rabies terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang meninggal dunia akibat penyakit itu di Sarawak dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun, pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, sekretariat jawatankuasa berkenaan memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Sarawak mewujudkan klinik gigitan anjing di Hospital Serian, Hospital Sri Aman dan Hospital Umum Sarawak serta Klinik Kesihatan Sentosa di Kuching khusus untuk memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing.

Bagi yang tinggal di luar daripada kawasan klinik berkenaan, mereka yang pernah digigit anjing dinasihati mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran khususnya bagi kes gigitan yang berlaku, sejak April.

Sehingga kini, jumlah haiwan peliharaan yang diberi suntikan vaksin di Sarawak adalah 18,144 ekor terdiri dari 10,504 anjing, 7,595 kucing dan selebihnya haiwan lain.

“Buat masa ini, stok simpanan vaksin untuk haiwan adalah mencukupi. Pihak JPVS akan melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan terancang di tempat tertentu, yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, melalui media masa,” menurut kenyataan itu.

Categories
PBT SELANGOR

MPK proaktif kawal wabak Rabies

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif bagi mengawal wabak anjing gila atau Rabies dengan mengambil tindakan berjaga-jaga selain meningkatkan tangkapan anjing liar di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, antara langkah akan diambil oleh MPK adalah pengambilan sampel darah secara rawak dari anjing berkeliaran bagi menentukan status penyakit itu.

Katanya, MPK turut akan menjalankan pemusnahan anjing berkeliaran yang menunjukkan tanda awal penyakit terbabit.

“Kita juga akan mengedarkan risalah dan memberi nasihat kepada pemilik anjing bagi mendapatkan vaksinasi haiwan mereka.

YDP MPK“Jabatan Kesihatan juga akan mendapatkan maklumat daripada doktor yang merawat pesakit yang digigit anjing,” katanya selepas mesyuarat bulanan, di sini, hari ini.

Yasid berkata, sehingga bulan ini, sejumlah 5,881 anjing berkeliaran ditangkap berbanding 8,359, pada 2016.

“Manakala, jumlah kompaun yang dikenakan kepada pemilik yang tidak mempunyai lesen sebanyak 37 dan 390 notis peringatan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, MPK meneruskan operasi menangkap anjing terbiar setiap hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa kelima jangkitan virus Rabies dari Serian, Sarawak meninggal dunia, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun itu meninggal dunia, pada jam 10.43 malam.

Sehingga 23 Julai lalu, 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di tiga kawasan terbabit dikesan dan diberikan rawatan lanjut.