Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi dan Zuraida Fail Saman Balas Terhadap Shahrizat

PETALING JAYA 9 MAC : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin hari ini memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap mereka.

Saman Shahrizat, yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita dan Komuniti menerusi Muhammad Shafee dan Co difailkan terhadap Rafizi dan Zuraida pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan beliau terbabit dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Pendirian saya dan YB Zuraida sememangnya konsisten daripada awal lagi dan kita memang menunggu peluang untuk ke mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku dalam NFC.

“Kerana setakat ini kita tidak dapat maklum balas yang memberansangkan daripada pihak audit mahupun jawapan-jawapan menteri,” ujar Rafizi dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini petang tadi.

Rafizi turut melahirkan kekhuatiran Shahrizat mungkin melengah-lengahkan atau membatalkan saman berkenaan ekoran risiko besar yang bakal timbul jika skandal tersebut dibicarakan di mahkamah nanti.

“Ini kerana beliau tahu jika ia diteruskan, semua pimpinan Barisan Nasional akan terheret ke dalam kes ini.

“Saya juga faham risiko yang dihadapi mereka bilamana kes ini diteruskan maka segala dokumen yang setakat ini dirahsiakan akan terdedah,” jelas Rafizi.

Sehubungan itu, Rafizi bertindak memfailkan saman balas terhadap Shahrizat terutamanya ke atas kata-kata berbaur fitnah yang diucapkannya ketika pembukaan Perhimpunan Agung Wanita Umno pada 30 November 2011 lepas.

“Saman ini bukan soal wang atau peribadi, sebaliknya ia sebagai memberi ruang bagi memastikan kes ini mendapat tarikh perbicaraan di mahkamah.

“Kalau kita defendan dan beliau plantif, beliau berpeluang untuk menangguhkan atau menggugurkan kes.

“Oleh itu, sekarang kita ingin menjadi plantif untuk memastikan kes ini tidak ditangguhkan pihaknya dan dibicarakan di mahkamah,” beritahu Rafizi sambil menambah sekurang-kurangnya kes penyelewengan berkenaan dibawa ke muka pengadilan setelah tidak diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan Umno-BN.

Categories
NASIONAL

Zuraida Sedia Hadapi Shahrizat di Mahkamah

PETALING JAYA 8 FEB : Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan beliau menerima kertas saman yang dikemukakan terhadapnya berhubung pembongkaran isu Pusat Fidlot Negara (NFC).

Zuraida berkata, pihaknya mengalu-alukan saman yang dikemukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil kerana memberi peluang kepada pihaknya mendapatkan maklumat-maklumat penting yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

“Kami yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja.

“Untuk tujuan itu, kami telah melantik satu pasukan peguam yang terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N.Surendran dan Gopal Sreenevasan,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

PKR sebelum ini mendakwa wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. Projek itu diberikan kepada syarikat yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak-anaknya.                                                                                                                          

Isu NFC ini muncul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya disamping mempunyai tindakan salahguna dana.

Sebagai respon terhadap segala dakwaan yang melibatkan diri dan keluarganya, Shahrizat memfailkan saman terhadap dua pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saman yang difailkan melalui peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta dari Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Zuraida.

Bercakap kepada pemberita, Zuraida berkata pihaknya juga bersedia untuk memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat bagi merungkai skandal besar negara ini.

Categories
NASIONAL

NFC: Rafizi, Zuraidah Sedia ke Mahkamah

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin sedia ke Mahkamah untuk membuktikan segala pendedahan yang dilakukan berhubung skandal NFC adalah benar dan bukan bermotif politik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Rafizi berkata berdasarkan laporan berita internet hari ini bahawa Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap beliau dan Zuraidah.

“Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

“Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.” jelas beliau.

Katanya peluang ini memang telah ditunggu-tunggu supaya kuasa mahkamah boleh digunakan untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

“Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

“Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

“Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.” kata beliau.