Categories
SELANGOR

Ketua Masyarakat Digesa Pantau Projek Kerajaan

 

SHAH ALAM, 5 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyeru ketua-ketua masyarakat agar bersama-sama memikul amanah dengan telus dan ikhlas bagi menjayakan program Selangorku.

Amanat itu disampaikan dalam satu Majlis Taklimat Selangorku kepada Ketua kampung Tradisi, Ketua Komuniti Kaum India dan Pengerusi JKKK, Kampung Baru/Bagan/Tersusun negeri ini.

“Saya ingin menarik perhatian ketua-ketua kampung termasuk ketua komuniti supaya memantau agar wang yang diperuntukkan untuk rakyat digunakan dengan amanah menerusi program-program yang dianjurkan,” ujar Khalid.

Khalid turut berkongsi rahsia kejayaan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat adalah dasar keterbukaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri di samping barisan kepimpinan kerajaan yang telus dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab menjaga harta rakyat.

“Dengan adanya ketulusan, gejala rasuah dan salah guna kuasa pastinya dapat dikurangkan,” tambah Khalid.

Perlaksanaan dasar kerajaan negeri sama sekali berbeza dengan kerajaan pusat yang baru-baru ini menyampaikan elaun kepada rakyat di kala negara menghadapi hutang yang tinggi.

“Belanjawan yang kita bentangkan adalah belanjawan berimbang di mana hasil yang diperolehi dibelanjakan kembali. Ini bermakna rakyat tidak berhutang kerana kita menggunakan pendapatan yang ada,” ulas Khalid.

Program Selangorku memperuntukkan bajet sebanyak RM300 juta untuk diberi kepada rakyat. Wang yang diperuntukkan merupakan hasil daripada hutang-hutang terdahulu yang dikutip oleh kerajaan sekarang.

“Maka, daripada hasil itu kita adakan Geran Selangorku yang merupakan hasil dari pentadbiran yang bebas rasuah. Rakyat mendapat dividen tanpa rasuah sebanyak RM300 juta,” jelas Khalid lagi.

Majlis taklimat itu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Salahuddin Sultan Abdul Aziz Shah petang tadi turut di hadiri oleh EXCO Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Leave a Reply

Your email address will not be published.