Categories
SELANGOR

Nurul Izzah : Rakyat Diseru Hadir 9 Jan

KUALA LUMPUR , 6 JAN: Kehadiran rakyat pada Perhimpunan Aman pada 9 Januari di padang letak kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta adalah amat penting kepada negara sebagai sokongan padu untuk mengembalikan sistem keadilan dan kehakiman.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang ditemui TVSelangor/Selangorkini berkata perjuangan membela nasib Anwar Ibrahim bukanlah sokongan hanya kepada jasad pemimpin ketua pembangkang itu.

Namun yang lebih penting adalah Anwar Ibrahim merupakan simbol kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sistem kehakiman yang adil dan saksama kepada semua.

“Pada saya apa yang akan berlaku pada 9 Januari ini, kita akan teruskan perjuangan ini, dan terus terang saya katakan sebagai seorang anak memanglah beliau 64 tahun yang mempunyai dua orang cucu, dengan kecederaan tulang belakang yang amat serius , jadi kita tidak mahu beliau menanggung kezaliman dan penderitaan ini untuk kali kedua, tapi apapun pada saya yang penting adalah masa depan Malaysia.

Kita bukan untuk melarikan diri , kita bukan untuk menyelamatkan kita satu keluarga, kita nak selamatkan Malaysia secara bersama, kalaulah ini pengorbanan yang terpaksa diambil dan dilaksanakan ,kita buat dengan keyakinan bahawa kita perlu berjuang dalam peperangan pilihanraya umum yang seterusnya mengembalikan keadilan,” jelas Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurut Izzah, rakyat Malaysia dan pihak antarabangsa telah memberikan sokongan mantap dan padu kepada Anwar Ibrahim sejak pemecatan beliau pada 1998.

” Pada saya Alhamdulillah, sokongan pihak antarabangsa itu wujud kerana saya masih ingat lagi dalam kes pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng ada laporan daripada lawatan fakta yang dibuat oleh BAR National Association yang bertajuk Justice in Jeopardy Malaysia 2000 .Sudah ada dalam rekod International Commission Jurist yang menyatakan pengaruh eksekutif ditemui dalam keputusan penghakiman Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng.

“Jadi saya merasakan itu dijadikan sebagai asas untuk membantu kita , tetapi segala-galanya berakar dan bermula daripada negara sendiri, rakyat Malaysia yang menentukan masa depan Anwar Ibrahim dan juga Pakatan Rakyat dan bukannya pihak antarabangsa.

“Pihak antarabangsa hanya memberikan dokongan , kita bukan seperti pimpinan Najib TunRazak yang menggunakan konsultan daripada Britain dan sebagainya, itu bukan tujuan kita, kita sudah ada tenaga dan kepakaran dalam negara yang kita perlukan adalah dokongan mereka isu kemanusiaan sejagat.Mereka dokong keadilan kerana kita menolak kezaliman secara sejagat seperti perjuangan Aung San Suu Kyi di Burma,” jelas Izzah.

Himpunan aman 901 akan berlangsung sebagaimana dijadualkan setelah mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.