Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bantu Petani Hadapi Virus Moko

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri Selangor berusaha membantu para penanam pisang di negeri ini untuk mengatasi  virus penyakit Moko yang menyerang tanaman pisang di Dun Sungai Air Tawar.

Menurut Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti keperluan para pengusaha penanam pisang yang terjejas akibat tanaman diserang virus terbabit.

“Pada dasarnya Kerajaan Negeri menasihatkan kepada petani untuk memusnahkan tanaman pisang dan tidak menanam pokok pisang bagi tempoh satu hingga dua tahun bagi memastikan inokolum bakteria tersebut dapat dihapuskan.

“Dalam masa yang sama Jabatan Pertanian sedang dalam proses menyediakan Standard Operating Prosedur (SOP) untuk memusnahkan pokok pisang dan mengumpulkan data kawasan tanaman yang diserang penyakit moko pisang serta mengenal pasti apakah keperluan-keperluan yang boleh membantu para petani,” kata beliau.

Ketika menjawab soalan Adun Sungai Air Tawar, Dato Raja Ideris Raja Ahmad, Yaakob  menjelaskan kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tanaman yang sesuai untuk diusahakan oleh petani terlibat.

“Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa tanaman yang sesuai dengan keadaan tanah di kawasan berkenaan dan menggalakkan tanaman seperti koko di bawah pokok kelapa dan tanaman integrasi seperti nanas, jagung, serai dan labu manis.

“Bagaimanapun, dari masa ke masa Jabatan Pertanian akan mengenal pasti tanamanan-tanaman lain yang sesuai sebagai tanaman alternatif,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Kota Anggerik.

Sebelum ini tanaman pisang seluas 1,251 hektar di Negeri Selangor telah terjejas akibat diserang virus Moko.

Manakala bagi kawasan Dun Sungai Air Tawar pula melibatkan seramai 467 pengusaha penanaman pisang dengan kawasan seluas 791.30 hektar yang diserang virus yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published.