Categories
SELANGOR

Azmin : Adun Umno-BN Lempar Tuduhan, Tapi Tak Berani Berdepan

SHAH ALAM 09 JULAI : Azmin Ali hari ini menempelak Sulaiman Abdul Razak berhubung tuduhan pemilikan akaun RM 3 Bilion oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Azmin (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata tuduhan Sulaiman (Permatang-BN) itu merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab oleh Umno-BN.

Beliau menegaskan fitnah terbabit ditaja oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Anwar berada dalam penjara Sungai Buloh di antara 1999 ke 2004.

Jelasnya, dalam kertas siasatan yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris, kes tersebut tiada bukti.

“Siasatan itu dijalankan dengan menyeluruh dan teliti termasuk akaun di luar negara dan dalam negara, tiada asas untuk mendakwa beliau (Anwar).

“Siapa Permatang untuk tampil dalam dewan, nak jadi juara konon, sudah sampai masa untuk kita dedah siapa Adun Permatang ini,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman tidak berada dalam dewan ketika penjelasan dari Azmin.

“Inilah kekuatan yang ada pada Umno-BN, apabila lontar tuduhan tetapi ‘lari’ untuk mendengar fakta, tidak berani untuk berdepan dengan fakta,” katanya.

Sebelum ini, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa Anwar memiliki 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion pada 1999.

Categories
SELANGOR

Perbekalan Tambahan Selangor Untuk Kenaikan Gaji Kakitangan Awam


SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan Selangor telah membentangkan permintaan untuk tambahan perbekalan sebanyak kira-kira RM 120,115,327.23, yang mana majoriti wang tersebut untuk menampung kenaikan gaji kakitangan awam negeri.

Berdasarkan kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, RM 61.54 juta yang akan dibelanjakan bagi menampung kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Ini melibatkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 serta kenaikan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA).

Manakala selebihnya, iaitu RM 58.575 juta adalah untuk perbendaharaan (RM 18.155 juta) dan kumpulan wang pembangunan (RM40.420 juta).

“Berpandukan anggaran perbelanjaan sehingga Disember tahun 2012, terdapat kekurangan sebanyak RM120,115,327.23.

“Sehubungan itu peruntukan tambahan sebanyak RM120,115,327.23 adalah diperlukan bagi menampuang kekurangan tersebut.

“Peruntukan tambahan ini diperlukan oleh jabatan-jabatan kerajaan,” ujar beliau semasa membentangkan rang undang?undang Perbekalan Tambahan 2012.

Antara jabatan yang terlibat adalah Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Mufti, Jabatan Agama Islam Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Jabatan Pertanian Selangor dan kira-kira 17 jabatan lain yang terletak di bawah seliaan Kerajaan Negeri.

 

 

Categories
SELANGOR

SELCAT Mahu Siasat Konsensi Berat Sebelah di KUIS

SHAH ALAM 09 JULAI : Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan mempertimbangkan untuk mengadakan sesi pendengaran awam tetang penyelewengan di dalam dalam pembinaan asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata ia perlu diambil perhatian supaya memberikan maklum balas agar tidak diputar belitkan oleh mana-mana pihak lain.

“Ahli Jawatankuasa akan mempertimbangkannya dan tindakan perlu diambil kepada mereka yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan itu,” katanya semasa membahas rang undang undang pertambahan belanjawan 2012 di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo memberi kontrak kepada syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar KUIS dengan nilai RM125.8 juta.

Walaubagaimanapun, RRSB hanya menjadi orang tengah dan memberi kontrak itu kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan nilai RM96.1 juta.

Rafizi mendakwa RRSB dikuasai oleh Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memiliki 51% pegangan saham manakala isterinya memiliki 6% dan selebihnya dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd.

Selain itu, Mohamed Khir juga menetapkan RRSB diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh ini, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah ?atas angin? dan mendapat keuntungan sebanyak 524%.

Sehubungan itu, konsesi sewa asrama ini membebankan pengurusan KUIS dan anggaran sewa yang sepatutnya hanya separuh dari jumlah asal iaitu RM6 juta setahun.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Tambah Lagi Lori Kompaktor Sampah

SHAH ALAM 09 JULAI : Kerajaan Selangor akan membeli 50 lagi lori kompaktor sampah bagi menganti lori yang usang dan rosak agar sistem kutipan sampah di seluruh negeri dapat terus diperkasakan kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew.

“Kompaktor yang akan dibeli itu sebagai tambahan kepada 50 buah kompaktor yang sudah dibeli baru-baru ini oleh syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB),” katanya semasa menjawab soalan dari Dr Shafie Abu Bakar (Bangi-Pas).

Jelasnya, pembelian kompaktor baru itu terpaksa dibeli kerana sejak 13 tahun lalu, pentadbiran Umno-BN tak pernah mengantikan kompaktor yang lama.

Ronnie juga membidas Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN) kerana bertanya mengapa kerajaan negeri membeli kompaktor baru.

“Saya tidak faham kenapa sampai sekarang tidak faham. Kalau awak mahu semua kontraktor ada kompaktor, awak tahu berapa harganya?

“Kalau kita buat macam itu maksudnya hanya orang kaya saja boleh jadi kontraktor. Kenapa dulu Alam Flora pun buat sedemikian?

Ronnie menambah aduan mengenai sampah sudah berkurangan sejak pihak berkuasa tempatan mengambilalih sistem kutipan secara penuh pada Mac 2012.

Jelasnya, tindakan daripada beberapa Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya Yayasan Amal turut membantu PBT dalam memantau kutipan di kawasan setempat daripada sebarang aktiviti berunsur sabotaj.

“Masalah itu (kutipan) dapat diatasi walaupun terdapat unsur-unsur sabotaj daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghalang lori serta mengancam pekerja untuk menggagalkan kerja-kerja kutipan sampah di negeri ini.

“Selain itu, tindakan melonggokkan sampah juga dilakukan sejurus selepas kutipan rutin dilakukan oleh pihak kontraktor untuk tatapan media,” katanya.

Categories
SELANGOR

DNS gesa Kerajaan Pusat Hapus Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau

SHAH ALAM 27 MAC : Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini menggesa Kerajaan Pusat menghapuskan kutipan tol di Lebuhraya Persekutuan II, iaitu di Sungai Rasau dan Batu Tiga.

Usul itu dikemukakan oleh Adun Kampung Tunku, Lau Weng San di bawah Peraturan Tetap 26 (1) dan dipersetujui oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim.

Weng San berkata, hal itu perlu dibuat selaras dengan pemansuhan tol Cheras-Kajang oleh Kerajaan Pusat.

Katanya, sejak tahun 1995, tol itu merupakan jalan utama bagi penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Sejarah pembangunan jalan itu selepas pemisahan Singapura dari Malaysia dan menjadikan Klang sebagai pelabuhan utama, jadi pada tahun 1974 lebuh raya itu dibina yang asalnya empat lorong kecuali Petaling Jaya enam lorong.

“Selepas tahun 1995, Projek Lebuhraya Utara Selatan(Plus) dipilih oleh Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf dan mengenakan kutipan tol sebanyak RM1.10 bagi kereta di tol Batu tiga dan RM1.00 bagi tol Sungai Rasau.

“Jadi jumlah pergi dan balik sebanyak RM4.20 setiap hari bagi penduduk yang melalui jalan itu setiap hari, lebih-lebih lagi kawasan Lembah Jaya, Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam akan dikenakan tol yang mahal setiap hari,” katanya.

Beliau berkata selain tol yang mahal setiap hari, penduduk juga terpaksa mengalami masalah kesesakkan lalu lintas yang amat teruk.

“Setiap hari, lebuh raya itu menampung lebih 30,000 kenderaan dan kapasiti ini meningkat setiap waktu puncak. Ini akan memeritkan lagi pengguna,”katanya.

Usul itu turut dipersetujui oleh Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan.

M.Manoharan berkata. dengan terhapusnya tol berkenaan ia dapat membantu golongan miskin di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Kilang Radioaktif Tidak Boleh Di Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC : Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul bagi menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang pemprosesan bahan radioaktif di Selangor.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata industri bahan radioaktif adalah amat berisiko dan memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

“Industri yang melibatkan penggunaan radioaktif adalah sangat berisiko tinggi untuk dilaksanakan kerana memerlukan beberapa aspek yang perlu di ambil kira sebelum kita melaksanakannya,” ujar Weng San yang membentangkan usul tersebut.

Rakyat juga telah menolak pembinaan loji-loji yang serupa dan ini ditunjukkan di dalam himpunan 110,000 rakyat memprotes loji Lynas di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Weng San menambah gempa bumi 8.9 richer yang mencetuskan tsunami dan pemusnahan stesen jana nuklear pada 2011 harus menjadi contoh terbaik buat rakyat menilai keselamatan bahan radioaktif.

Menyokong usul tersebut, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut berkata rakyat tidak seharusnya tergesa-gesa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

“Manusia tergesa-gesa mengejar pembangunan yang mengatasi kekangan dan halangan akan memudaratkan generasi akan datang.?

Usul tersebut disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat dengan sebulat suara.

Categories
SELANGOR

Iskandar : Komited Bina Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM 27 MAC : Kerajaan Negeri komited melaksanakan projek perumahan Rumah Mampu Milik(RMM) kerana prihatin dengan keperluan dan kehendak golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri di negeri ini.

Dalam ucapan penggulungan ketika sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya prihatin dengan kemampuan rakyat untuk membayar ansuran rumah, maka keputusan dibuat  untuk memastikan harga RMM adalah tidak melebihi RM100,000.

“Jika lebih RM100,000, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 tidak akan dapat membeli kerana perlu membayar ansuran bagi tempoh 20 tahun.

“Tetapi jika RMM berharga sekitar RM89,000 maka bayaran ansuran bulanan hanya sekitar RM602 sebulan dan gaji minima untuk mendapat pinjaman pula adalah RM1,806,” jelas Iskandar.

Sementara itu, beliau turut memberitahu penyediaan rumah berkenaan adalah berdasarkan ‘cross-subsidised’ atau ‘saling-sumbang’.

“Ia selari dengan konsep Islam di mana harta orang kaya ada hak orang miskin iaitu konsep zakat.

“Jika kita lihat negara-negara lain juga, perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana bukanlah tempat mendapat untung,” ujar Iskandar lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng: Bukti JATI ada hubungan dengan UMNO-BN

SHAH ALAM, 27 MAC : Pesanan Blackberry yang dikirim oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Teng Chang Khim kepada semua Exco Selangor termasuk Bekas Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hassan Ali telah disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Adun-Adun Umno-BN.

Selain itu, Hasan Ali juga menggesa mereka meninggalkan dewan pagi ini kerana memprotes tindakan yang dibuat oleh Chang Khim.

SMS yang dihantar Teng kepada Exco yang kemudiannya dimajukan Hasan kepada Adun Bn adalah seperti berikut “This is possibly the last winding up sessions for exco, opportunity should be fully used to talk about our success in the past four years like what Yaakob is doing now.(Teng tersilap hantar sms ini pada saya, persoalannya tidakkah ini bertentangan dengan amalan speaker TIDAK sepatutnya bias. Elok tak kita jadikan isu pagi ini dan KELUAR TINGGALKAN DEWAN. Hari ini sidang tamat,”.)

Teng turut mengakui tersalah mengantar pesanan SMS tersebut kepada Bekas Exco, Hasan Ali dan menganggap pesanan sms tersebut bukan merupakan isu besar atau menyalahi etika Dun.

“Ini juga menunjukkan bahawa Umno-BN mempunyai hubungan yang baik dengan JATI,” ujar Chang Khim ketika ditanya bagaimana pesanan ini boleh diketahui oleh Adun Umno-BN.

Tujuh orang ADUN Umno-BN bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Teng tersebut.

SMS tersebut mengandungi pesanan dari Chang Khim yang menyarankan semua Exco supaya membuat penggulungan usul dengan sebaik-baiknya seperti apa yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Categories
SELANGOR

Tiada Lagi Kecurian Kayu Bakau Di Rekodkan

SHAH ALAM, 27 MAC : Jabatan Perhutanan Selangor (JPS) mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi menangani masalah kecurian kayu bakau setelah lesen pengusahasilan kayu bakau ini ditamatkan pada 1 Julai 2010.

JPS merekodkan sehingga 29 Februari 2012 tiada sebarang kecurian kayu bakau dalam kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam dengan tertangkapnya seorang warganegara Malaysia yang menjadi ketua sindiket di Pulau Ketam pada tahun 5 Mei 2010.

Sehubungan itu, JPS melaksanakan operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin PDRM Selangor, dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menambah kekerapan rondaan di 25 hutan simpan paya laut persisir pantai dan kawasan pulau.

Selain itu, JPS juga melakukan rondaan enam kali melalui udara setahun dan turut menempatkan kakitangan JPS di jeti-jeti bagi memeriksa kayu bakau yang di import dari Indonesia dan negeri-negeri lain.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata demikian  ketika menjawab soalan dari ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkaitan pengurusan Hutan Paya Laut di Selangor.

Elizabeth turut berkata, selain pemasangan papan tanda di sepanjang hutan simpan, JPS juga melaksanakan kempen kesedaran tanaman bakau dengan kerjasama korporat, NGO dan orang awam.

“Tindakan pemasangan tanda ini adalah sebagai salah satu kaedah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kewujudan hutan simpan,” ujar beliau.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan BN Dahulu Tidak Peka Isu Kemiskinan

SHAH ALAM 27 MAC : Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dalam pergulungannya di Dewan Undangan Negeri hari ini mempersoalkan tindakan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan kadar peratusan kemiskinan di negeri itu hanya 0.05 peratus pada tahun 2005.

Katanya, hal itu menunjukkan kerajaan dahulu tidakdan peka menjadikan isu kemiskinan sebagai satu permasalahan yang serius.

Persoalan itu ditujukan kepada Yap Ee Wah (Adun Sungai Pelek-BN), yang sebelum ini menimbulkan isu yang mempertikaikan seramai lebih 400,000 rakyat negeri Selangor menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

“Kenapa 400,000 yang menerima BR1M? Saya tidak pelik kerana rata-rata rakyat negeri ini berpendapatan bawah RM3,000 dan tidak hairanlah ramai yang perlukan bantuan kerana jika lihat 80 peratus rakyat mengalami kemiskinan bandar, memang wajar mendapat bantuan itu.

“Angka ini menunjukkan mereka masih mengalami taraf hidup yang rendah bukannya seperti yang diumumkan oleh Umno-BN dahulu. Sekiranya rakyat dalam kontek lima juta penduduk, maknanya hanya 2,500 sahaja rakyat miskin, itu tidak mungkin.

“Jadi jangan persoalkan mengapa mereka menerima BR1M,”katanya.

Tambahnya, sewajarnya Kerajaan Negeri memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan berbanding pendapatan golongan miskin tegar yang hanya mendapat RM450 semasa pentadbiran dahulu.

“Adakah itu dikatakan negeri maju? Jadi jangan persoalkan mengapa 80 peratus rakyat negeri ini mengambil BR1M. Persoalan ini adalah dimana kredibiliti kerajaan dahulu dan sekarang dimana perkiraan itu tidak tepat.

“Saya akui di sini isu kemiskinan bandar adalah tinggi dan tahap perbelanjaan patut dipertingkatkan dan oleh kerana itu Kerajaan Negeri melaksanakan gaji minimum dan banyak program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) diperkenalkan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Strawberry Leisure Farm Tarikan Baru Pelancong Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa produk pelancongan di negeri ini yang mempunyai potensi untuk menarik pelancongan dalam dan luar negara.

Antara tarikan terbaru adalah ladang strawberry yang terletak berhampiran Batang Kali dan bersempadanan dengan Negeri Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika menjawab soalan soalan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kassim bahawa tarikan terbaru tersebut telah dibuka semenjak 2009 lagi.

“Produk yang terbaru berhampiran Batang Kali yang juga menjadi tumpuan ialah seperti Starwberry Leisure Farm yang mejadi tumpuan pelancongan dalam dan luar negara.

“Semenjak ia dibuka pada Ogos 2009, ia telah dapat menarik pengunjung seramai 500,000 orang sehingga ke hari ini,” ujar beliau di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Selain itu, beberapa padang golf turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk menarik pelancong-pelancong ke Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan Bukit Beruntung Golf Course yang menjadi tumpuan para pemain golf khususnya pelancong-pelancong dari negara Korea.

“Pada masa yang sama terdapat pembangunan Mines Golf City of Bukit Beruntung yang bakal menjadi golf course  terulung di negara ini,” kata beliau yang juga merupakan Adun Bukit Lanjan itu.

Sebelum itu Elizabeth turut memberitahu usaha membangunkan produk pelancongan di Negeri Selangor dibuat secara menyeluruh dan bukannya ditumpukan kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kerajaan Negeri turut berusaha membangunkan produk-produk pelancongan seluruh negeri Selangor dan tidak tertumpu kepada sesetengah kawasan sahaja.

“Kawasan-kawasan berpotensi ini akan dipromosikan kepada pelancong luar sebagai kawasan-kawasan tarikan baru yang terdapat di seluruh Negeri Selangor,” kata beliau lagi.

Categories
SELANGOR

MB: Usaha Tingkatkan Kemudahan Di Masjid

SHAH ALAM 26 MAC : Kerajaan Negeri kini merangka program secara besar-besaran khusus untuk menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan dan menaiktaraf fasiliti-fasiliti masjid dalam usaha menyemarakkannya, ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita akan jalankan program membersihkan tempat mandi, bilik air, tempat ambil air sembahyang dan sebagainya supaya dapat memberikan satu ‘standard’ kepada masjid-masjid kita.

“Jika ini berjaya dicapai, saya percaya ia akan memberikan rasa selesa kepada musafir yang singgah dan secara tidak langsung ia akan memberikan juga keselesaan kepada mereka mengerjakan ibadah,” ujar beliau ketika menjawab soalan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Sidang DUN pagi ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, program ini juga mensasarkan golongan belia untuk turut serta supaya dapat memberikan nilai ukhuwah dan bermasyarakat dalam diri para remaja.

“Usaha memartabatkan Islam sememangnya kita pupuk dari peringkat sekolah sehingga ke program-program yang dijalankan di masjid-masjid.

“Kita tidak hanya tertumpu pada penyampaian ceramah semata-mata tetapi menyeluruh ke pelbagai program dan aktiviti yang lebih efektif,” jelasnya lagi.