Categories
SELANGOR

MARRIS Laksana projek-projek RM65 juta di Selangor

SHAH ALAM 26 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa peruntukan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjaya merealisasikan projek-projek penyelenggaraan dan baik pulih di setiap kawasan.

Katanya setakat ini sebanyak RM 65,939,561.82 disalurkan untuk perlaksanaan projek MARRIS yang melibatkan sebanyak 1,065 projek pada tahun 2011.

“Daripada keseluruhan projek tersebut, sebanyak 926 iaitu 87 peratus projek siap dilaksanakan.

“Manakala bakinya sebanyak 139 iaitu 13 peratus projek adalah projek yang baru diluluskan melalui peruntukkan tambahan sebanyak RM 1 juta bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan,” ujar Abdul Khalid ketika menjawab soalan Adun Balakong, Yap Lum Chin.

Abdul Khalid turut menerangkan kaedah terbaru untuk mengenal pasti projek bagi memberi jaminan hak sama rata kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Perbincangan mengenai projek tersebut dibuat bersama-sama antara Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk disenaraikan dan dilaksanakan.

“Kaedah ini dilihat mampuu mengelakkan penyelewengan dan salah guna peruntukan selainkan memastikan hanya projek yang mempunyai impak dan praktikal sahaja yang patut diteruskan,” jelas Abdul Khalid.

Beliau juga menambah, permohonan yang diperaku perlu dikemukakan kepada Perbendaharaan Negeri Selangor bersama-sama ‘Bill of Quantity’ yang kemudian disemak Pegawai Teknikal.

“Di peringkat PBT, prosedur perolehan dibuat secara terbuka di mana projek di bawah RM 20,000 dilaksanakan secara undian manakala projek bernilai lebih dari itu sehingaa RM 500,000 dibuat secara sebut harga.

“Bagi projek melebihi RM 500,000 pula dilaksanakan secara tender terbuka.

Kaedah ini selaras dengan dasar perolehan Kerajaan Negeri iaitu ‘value for money’,” beritahu Abdul Khalid.

Satu pasukan audit turut ditubuhkan bagi memantau kerja-kerja MARRIS yang dianggotai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Leave a Reply

Your email address will not be published.