MB: Kecelakaan Penswastaan Bebankan Rakyat

SHAH ALAM, 2 MAC: Kecelakaan penswastaan yang membabitkan tindakan kerajaan negeri yang lalu menswastakan beberapa sumber negeri kepada para kroni sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi tidak harus diulangi.

Demikian beritahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan isu sampah yang sebelum ini disabotaj oleh pihak-pihak yang memiliki kepentingan perniagaan dan politik.

“Sabotaj ada tetapi sekarang sudah mula berkurangan. Dahulu mereka-mereka ini dapat kontrak dan kontrak ini pulak disubkan kepada orang lain,” kata Khalid.

“Inilah yang dipanggil kecelakaan penswastaan maknanya rakyat tidak dapat manfaat yang terbaik tetapi terpaksa membayar dengan kos yang tinggi,”beritahu Khalid.

Khalid turut menyelar pemegang konsesi pembersihan sampah sebelum ini, Alam Flora Sdn Bhd yang bertindak sebagai orang tengah sekaligus meningkatkan kos yang ditanggung kerajaan negeri.

“Yang kena marah ialah penjawat awam atau majlis tempatan di perbandaran Tetapi yang dapat bisnes ialah Alam Flora.

“Apa yang Alam Flora lakukan ialah jadi taukeh dan agih-agihkan kontrak kepada orang-orang lain dan dapat komisen sekurang-kurangnya sepuluh peratus dari kerja-kerja tersebut.

“Maknanya kalau ada program RM400 juta, Alam Flora dapat RM40 juta dan kerajaan negeri merasakan ini tidak boleh diteruskan kerana rakyat bukan pandang Alam Flora tentang kebersihan tetapi memandang kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tentang kerja pembersihan.

Kontrak Alam Flora turut tidak diperbaharui apabila kerajaan negeri memilih kontraktor baru yang menjalankan sendiri operasi pemungutan sampah di negeri ini tanpa orang ketiga.

“Jadi daripada menerima beban marah tetapi tidak dapat melaksanakan apa-apa, saya rasa lebih baik kita ambil alih tugas ini dan buat supaya kita dapat memenuhi kehendak rakyat dan mendapat hasil terbaik daripada perbelanjaan-perbelanjaan yang kita buat.

“Oleh kerana kita lebih pentingkan perlaksanaan, kita berminat untuk memilih pemilik operasi.

“Pemilik operasi ini adalah yang kita pilih melaui tender terbuka dan merekalah yang penting untuk kita.

“Sebab itulah kita mula dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Khalid kepada Editor Berita TVS, Mat Zahari Ali dalam temuramah ekslusif itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.