Categories
NASIONAL

“Terima kasih Noh Omar sahkan Alam Flora kroni Umno” – Azmin

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mengesahkan syarikat Alam Flora merupakan sebuah syarikat pro Umno.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bagaimanapun Kerajaan Negeri tetap bersikap adil dan telus kepada syarikat terbabit.

“Kita tukar bukan kerana Alam Flora pro Umno atau mana-mana parti.

“Pertamanya, sekurang-kurangnya Noh Omar dah sahkan Alam Flora menyokong Umno.

“Bagus, terima kasih Noh Omar dan kedua, kami tamatkan kontrak kerana perkhidmatan yang diberikan Alam Flora,” kata Mohamed Azmin di Lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata demikian apabila diminta reaksi terhadap dakwaan Noh bahawa kontrak Alam Flora ditamatkan ekoran syarikat itu mempunyai hubungan dengan Umno.

“Sebarang keputusan diambil Kerajaan Negeri adalah berdasarkan polisi yang ditetapkan,” kata Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

EZY

Categories
SELANGOR

Pemilihan Kontraktor Sampah dan Sisa Pepejal Tidak Dipengaruhi Lantikan Politik

SHAH ALAM, 29 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan kontraktor kutipan sampah tanpa dipengaruhi Ahli Majlis, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Ronnie menegaskan, semua Ahli Majlis yang dilantik PBT hanya bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan mesyuarat sebut harga dan tender berjalan lancar dan telus.

?Kerajaan Negeri melalui PBT melakukan pemilihan kontraktor berdasarkan dari mesyuarat ini yang dianggotai oleh ahli majlis sebagai pemerhati,? katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Lembah jaya Khasim Abdul Aziz yang mempersoalkan mengapa Ahli Majlis tidak terlibat dalam dasar tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri berhubung sisa pepejal.

Sebelum ini, kata Ronnie, Kerajaan Negeri pernah melantik Ahli Majlis untuk menganggotai jawatankuasa tender dan sebut harga bagi pemilihan kontraktor secara terbuka, bagaimanapun ia dihentikan sebagai mematuhi arahan Pegawai Kewangan Negeri.

?Arahan itu menetapkan supaya anggota-anggota yang dilantik untuk jawatankuasa ini hanya boleh terdiri daripada penjawat awam dan pegawai kerajaan. Lantikan politik tidak dibenarkan dalam pemberian tender.

?Kerana itu, di peringkat negeri, Exco yang dilantik oleh Menteri Besar hanya berfungsi sebagai pemerhati dalam jawatankuasa negeri untuk sebut harga dan tender,? katanya.

Categories
SELANGOR

Banyak Masalah Punca Selangor Tolak Alam Flora

KOTA DAMANSARA, 7 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menyertai skim penswastaan perkhidmatan oleh Kerajaan Pusat menerusi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula tahun lalu berikutan banyak masalah yang ditimbulkan oleh syarikat berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hal itu kerana masalah kerja-kerja kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri ini tidak dapat diselesaikan oleh Alam Flora.

Beliau berkata,  Alam Flora juga bersikap lepas tangan dan ‘serah tugas’ kepada orang lain dalam menangani sesuatu masalah sampah di sesuatu tempat.

“Selalunya jika terdapat sesuatu masalah atau aduan dari masyarakat mereka melengahkannya dan bersikap lepas tangan serta hanya pandai memberikan alasan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Zon Bersih Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Sunway Giza.

Hadir sama, Datu Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R.Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan rekod MBPJ, hampir satu pertiga pendapatan yang dikutip dari cukai pintu iaitu sebanyak RM570 juta dibayar kepada Alam Flora dalam tempoh setahun.

“Tetapi masalah pembersihan dan perlupusan sampah masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah itu juga 30 peratus pembayaran akan diserahkan kepada koordinator Alam Flora, ‘kumpulan goyang kaki’ dan pekerjanya.

“Mereka cuma mendapatkan kontrak kemudian sub kepada orang lain, mereka tidak ada pengalaman dalam bidang ini. Kita tidak mahu orang yang tidak pandai melakukan kerja tapi hanya pandai melobi orang.

“Kerajaan negeri sudah melantik kontraktor yang baru, Alam Flora dulu tidak ada pengalaman sebab itu kita takut, kita tidak mahu lagi orang yang dapat kontrak tetapi tidak pandai buat kerja, itu bukan benda yang baik untuk negara,” katanya.

Jelasnya, setakat ini, hanya empat hingga lima sahaja panggilan aduan dalam masa sehari berbanding 200 panggilan sebelum ini.

MBPJ Perlu Segera Atasi Masalah Sampah di PJ Selatan

PETALING JAYA, 14 MAC : Kotor, berbau, malah menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya.

Itulah antara situasi kurang menyenangkan yang dapat digambarkan tentang keadaan di sekitar pasar borong dan kawasan perumahan di Taman PJS 1, PJS 2 dan Taman Sri Manja di sini.

Walaupun pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyediakan tong sampah di setiap kawasan perumahan, namun ia tidak mampu menampung timbunan sampah yang semakin bertambah saban hari.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah kutipan sampah yang menjadi antara isu paling ketara yang berada di bawah pemantauannya.

Beliau berkata, isu ini menjadi semakin serius sejak dua minggu lalu ekoran pertukaran kontraktor sampah yang kini sedang diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun jelasnya, perkara ini telah diajukan kepada pihak MBPJ untuk tindakan susulan dengan jaminan ia akan diselesaikan dalam jangka waktu terdekat.

“Sebenarnya masalah sampah telah lama diperkatakan di kawasan Taman Medan dan Petaling Jaya. Saya telah menemui pihak MBPJ baru-baru ini dan mereka memberi jaminan akan menguruskan serta menyelesaikan pengurusan sisa pepejal di sini dengan segera.

Pihak MBPJ memaklumkan bahawa masalah sampah berlaku ekoran pertukaran kontraktor lama (Alam Flora) yang kini diambil alih oleh PBT. Saya berharap penduduk setempat boleh bersabar sementara menunggu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan pihak MBPJ supaya menyediakan lebih banyak tong sampah bersaiz besar di setiap kawasan perumahan untuk mengelakkan masalah sampah daripada terus berulang.

Ujarnya, penduduk juga dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekitar bagi mengatasi serangan haiwan perosak seperti lalat dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya telah menyediakan peruntukan untuk menjalankan operasi tangkap tikus bersama pihak MBPJ. Ia mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana penduduk amatlah digalakkan untuk menyertai operasi ini.

Cadangannya, bagi sesiapa yang dapat menangkap tikus akan diberi ‘upah’ atau bayaran. Ia masih berada dalam perbincangan dan akan dimaklumkan sekiranya boleh dilaksanakan,” jelasnya.

 

MB: Kecelakaan Penswastaan Bebankan Rakyat

SHAH ALAM, 2 MAC: Kecelakaan penswastaan yang membabitkan tindakan kerajaan negeri yang lalu menswastakan beberapa sumber negeri kepada para kroni sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi tidak harus diulangi.

Demikian beritahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan isu sampah yang sebelum ini disabotaj oleh pihak-pihak yang memiliki kepentingan perniagaan dan politik.

“Sabotaj ada tetapi sekarang sudah mula berkurangan. Dahulu mereka-mereka ini dapat kontrak dan kontrak ini pulak disubkan kepada orang lain,” kata Khalid.

“Inilah yang dipanggil kecelakaan penswastaan maknanya rakyat tidak dapat manfaat yang terbaik tetapi terpaksa membayar dengan kos yang tinggi,”beritahu Khalid.

Khalid turut menyelar pemegang konsesi pembersihan sampah sebelum ini, Alam Flora Sdn Bhd yang bertindak sebagai orang tengah sekaligus meningkatkan kos yang ditanggung kerajaan negeri.

“Yang kena marah ialah penjawat awam atau majlis tempatan di perbandaran Tetapi yang dapat bisnes ialah Alam Flora.

“Apa yang Alam Flora lakukan ialah jadi taukeh dan agih-agihkan kontrak kepada orang-orang lain dan dapat komisen sekurang-kurangnya sepuluh peratus dari kerja-kerja tersebut.

“Maknanya kalau ada program RM400 juta, Alam Flora dapat RM40 juta dan kerajaan negeri merasakan ini tidak boleh diteruskan kerana rakyat bukan pandang Alam Flora tentang kebersihan tetapi memandang kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tentang kerja pembersihan.

Kontrak Alam Flora turut tidak diperbaharui apabila kerajaan negeri memilih kontraktor baru yang menjalankan sendiri operasi pemungutan sampah di negeri ini tanpa orang ketiga.

“Jadi daripada menerima beban marah tetapi tidak dapat melaksanakan apa-apa, saya rasa lebih baik kita ambil alih tugas ini dan buat supaya kita dapat memenuhi kehendak rakyat dan mendapat hasil terbaik daripada perbelanjaan-perbelanjaan yang kita buat.

“Oleh kerana kita lebih pentingkan perlaksanaan, kita berminat untuk memilih pemilik operasi.

“Pemilik operasi ini adalah yang kita pilih melaui tender terbuka dan merekalah yang penting untuk kita.

“Sebab itulah kita mula dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Khalid kepada Editor Berita TVS, Mat Zahari Ali dalam temuramah ekslusif itu.