Rafizi: Matlamat NFC Untuk Bekalan Daging Bukan Pasaraya

SHAH ALAM , 1 Mac 2012 : Tindakan NFC mempertahankan operasi perniagaan di Singapura bercanggah dengan matlamat penubuhannya bagi memastikan bekalan daging negara mencukupi dan tidak lagi perlu mengimpot dari luar negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi (NFC), Datuk Seri Salleh Ismail dalam mempertahankan operasi perniagaan di Singapura yang disiarkan dalam satu laman berita The Malaysian Insider disifatkan sebagai satu alasan yang tidak boleh diterima pakai oleh rakyat Malaysia, kata Pengarah Strategi Keadilan, Mohd Rafizi Ramli.

Salleh Ismail dalam laman berita yang disiarkan pada 1 Mac bertajuk “NFCorp Justifies Its Expansion Into Singapore? itu mempertahankan operasi perniagaan milik keluarganya di Singapura yang melibatkan tiga buah restoren dan sebuah pasaraya mewah yang sebelum ini dipercayai menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta.

Beliau berkata Salleh Ismail turut memberikan alasan bahawa pasaran Malaysia untuk membeli daging dari NFC terlalu kecil serta tidak dapat memenuhi pengeluaran NFC, malah turut membayangkan hasrat NFC untuk membuka operasi di Indonesia dalam masa terdekat.

” Saya berasa kesal kerana alasan yang diberikan tidak dapat diterima akal oleh rakyat Malaysia. NFC sehingga sekarang masih gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat untuk mendapatkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan dan dana awam RM250 juta.” katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor kini.

Rafizi menyifatkan perbezaan di antara sasaran yang ditetapkan mengikut dasar-dasar utama negara dan pencapaian NFC setakat ini ‘bagai langit dan bumi’.

Hal ini berdasarkan sumber rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di laman web dan sasaran pengeluaran daging yang ditetapkan kepada NFC iaitu sasaran rasmi JPV bagi Output pengeluaran daging mentah menjelang 2009 sebanyak 50,000 tan bagaimanapun pencapaian NFC sepanjang 2008 hingga 2010 hanya purata 400 tan setahun sahaja (berdasarkan purata 1,914 sembelihan setiap tahun, berat bersih daging 200 kg setiap sembelihan).

Manakala bagi Jumlah lembu yang perlu disembelih oleh NFC untuk memenuhi sasaran 40% permintaan daging tempatan, pencapaian NFC hanya Purata 6 ekor sehari sedangkan sasaran JPV sebanyak 800 ekor sehari (berdasarkan berat bersih daging 200 kg setiap seekor lembu, 300 hari operasi setiap tahun).

” Daripada perbezaan itu, NFC juga tidak ada hak untuk bercakap mengenai pasaran baru diluar negara selagi tidak memenuhi sasaran 40 peratus permintaan tempatan sepertimana tujuan NFC ditubuhkan sebelum ini,” katanya.

Menurut Razali lagi, beliau masih menunggu kenyataan rasmi dari NFC dan kerajaan untuk menjawab kenapa sejumlah wang rakyat dibenarkan dilaburkan dalam aktiviti perniagaan di luar negara yang tidak ada kena mengena dengan tujuan pembiayaan RM250 juta diluluskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.