Categories
SELANGOR

Sentiasa Mengulangi Bacaan Rahsia Johan Tahfiz 30 Juz

SHAH ALAM, 24 MAC :  Komitmen untuk sentiasa mengulang-ulang bacaan Al Quran adalah rahsia disebalik kejayaan Badruzzaman Zakaria yang digelar Johan Hafazan Lelaki di dalam Pertandingan Hafazan Peringkat Negeri Selangor 2012.

Badruzzaman dari Petaling Jaya mendapat markah tertinggi iaitu 97.7 peratus dalam Kategori Tahap 3 Lelaki (1 – 30 Juz) pertandingan itu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau membawa pulang RM5,000 bersama anugerah mengerjakan umrah, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

“Nasihat saya kepada sesiapa yang berhasrat untuk menghafal ayat Al-Quran, ialah mereka perlu meletakkan sasaran berapa ayat Al-Quran yang ingin dihafal.

?Ia tidak kisah jika mengambil masa yang agak lama untuk menghafalnya samada sedikit atau banyak, yang penting keazaman dan komitmen,” kata Badruzzaman yang ditemui selepas upacara penyampaian hadiah.

Tempat kedua di dalam kategori Tahap 3 dimenangi Suhail Jamaluddin dari Hulu Langat dan ketiga jatuh kepada Muhammad Zul Aiman Zahidi dari Kuala Selangor.

Sementara itu, johan bagi Tahap 3 Perempuan (1 – 30 Juz) jatuh kepada Izzah Nafisah Ismail dari Kuala Langat yang memperoleh 90 markah. 

 

Izzah berkata kejayaannya merupakan hasil kesungguhan dan keazaman yang kuat untuk memperbaiki hafalan dari masa ke semasa disamping sikap yang tidak mengenal jemu dan sentiasa tabah.

“Niat untuk menghafal kena betul dan sentiasa mengulang-ulang hafalan ayat-ayat Al-quran bagi memastikan hafalan semakin mantap,” katanya.

Tempat kedua kategori Tahap 3 Perempuan disandang oleh Farihah Zulkifli dari Gombak dan ketiga dimenangi oleh Maemunah Achmad Fatoni dari Petaling Jaya.

Dalam majlis itu ,Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang mewakili DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kategori Tahap 1 Lelaki (1 -10 Juz) dimenangi oleh Aminul Ghazali Mohd Jawawi dari Sepang, manakala Sumaiyah Najihah Mohd Zaini dari Petaling Jaya memenangi kategori perempuan.

Manakala Tahap 2 lelaki (1 -20 juz) dimenangi oleh Muhammad Zul Akmal Abdul Latif dari Sepang, manakala Siti Fatimah Baharuddin dari Hulu Selangor memenangi Kategori Perempuan,.

Seramai 50 peserta yang terdiri daripada 27 lelaki dan 23 perempuan dari sembilan daerah memperdengarkan bacaan hafazan mereka.

 Peserta yang cemerlang akan mewakili Selangor dalam Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Perlis pada 13 sehingga 17 April ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS) berkata seramai 25 peserta layak menerima elaun insentif bulanan sebanyak RM100 selama enam bulan.

“Mereka dipilih kerana telah mencapai markah 90 peratus ke atas bagi semua kategori ujian samada lelaki dan perempuan. Elaun ini akan dibayar oleh Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.