Categories
NASIONAL

DBKL Cuba Usir Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 15 APR: Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka hari ini tegang apabila pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk mengusir aktivis tersebut dari tapak lokasi yang bersejarah itu.

Lima khemah yang baru didirikan pagi ini telah dibuka atas arahan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada kira-kira jam 2 petang.

Setakat laporan ini, hanya lima khemah yang tinggal di dalam kempen yang dimulakan semalam sebagai usaha untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk memansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, tindakan DBKL itu dapat tentangan daripada orang awam yang turun untuk memberi sokongan kepada kumpulan 30 orang mahasiswa yang bermalam di dalam khemah tersebut.

Seorang individu dilihat berbalah dengan pegawai DBKL yang cuba mengarahkan aktivis tersebut untuk menurunkan khemah mereka.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang diadirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, pelawat-pelawat yang mengunjungi mereka telah  memberikan satu suntikan semangat untuk mereka terus bertahan di situ.

“Kedatangan Pak Samad (A.Samad Said), Datuk Ambiga dan ahli-ahli Majlis Peguam dan beberapa aktivis lain di lokasi perkhemahan kami telah menambahkan semangat kami untuk terus bertahan.

“Tak cukup dengan itu, mereka turut membawakan bekalan makanan kepada kami.

“Selain itu kami turut menerima kunjungan orang ramai samada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing dan kami telah mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepada mereka.

“Rata-rata orang ramai yang datang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami,” beritahu Syahid kepada TVS.

Gerakan mahasiswa tersebut turut mengadakan beberapa program di lokasi perkhemahan seperti mengadakan forum, pidato, sesi penerangan dan ‘flash mob’.

Himpunan semalam menarik hampir 4,000 anak-anak muda untuk berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka supaya PTPTN dihapuskan dan diganti dengan pendidikan percuma.

Selain golongan mahasiswa demontrasi tersebut turut mendapat sokongan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis sosial lain.

Antara yang kelihatan di dalam demontrasi semalam ialah Ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, MP Batu, Tian Chua, MP Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj, aktivis sosial terkenal, Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

Perarakan demontrasi petang semalam telah bermula jam dua petang bermula dari masjid jamek, menuju bangunan Sogo (melalui Jalan Raja Laut), bergerak di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.

Berbeza dengan siri-siri demontrasi sebelum ini yang mengundanng kehadiran anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan berakhir dengan keganasan, demontrasi petang semalam berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang kekacauan.

Orang ramai yang ditemui di arked membeli-belah sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman turut menyatakan mereka tidak merasa sebarang kebimbangan akan keselamatan mereka dengan kehadiran kumpulan protes tersebut.

Sebaliknya orang ramai yang sedang membeli belah tetap meneruskan urusan masing-masing.

Berapa peniaga pula memberitahu keadaan akan menjadi tidak terkawal dan menakutkan apabila demontrasi yang dijalankan mendapat halangan pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.