Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.

Categories
NASIONAL

DBKL Bersetuju Beri Kelonggaran Pada Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

Gambar oleh Shuaib Ayob

SHAH ALAM, 15 APR : Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka dilaporkan tenang setelah beberapa rundingan diadakan pemimpin tempatan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi rundingan yang dilakukan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama penguatkuasa DBKL petang tadi, mereka bersetuju untuk memberi kelonggaran selain tidak berkasar terhadap mahasiswa berkenaan.

Salahuddin ketika dihubungi TV Selangor turut mengesahkan beliau akan membawa isu perjuangan mahasiswa berhubung pemansuhan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke Parlimen esok.

Beliau turut menasihati aktivis yang menyertai perkhemahan tersebut untuk menjaga keselamatan diri supaya tiada mana-mana pihak mengganggu atau mengasari mereka.

“Mereka hanya berada di situ (Dataran Merdeka) untuk menyatakan hak dan suara mereka. Sebagai tanda sokongan kepada mahasiswa ini, saya telah memberi komitmen untuk membawa perkara ini ke perbahasan Parlimen.

?Satu sidang media khas berhubung isu berkenaan juga akan diadakan tengah hari esok,” katanya.

Salahuddin berjaya berunding dengan DBKL selepas satu pasukan penguatkuasa agensi itu merobohkan dan merampas beberapa khemah pada kira jam 2 petang.

Namun, selepas beberapa minit tegang di mana pegawai DBKL dan aktivis bertikam lidah, agensi itu beredar dan membenarkan aktivis tersebut mendirikan khemah mereka semula.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Sementara itu, Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, sejak awal pagi tadi pelbagai provikasi dilakukan pihak DBKL untuk mengusi mahasiswa dari tempat berkenaan.

Setakat ini, daripada sepuluh buah khemah yang didirikan, hanya empat daripadanya yang masih bertahan, manakala selebihnya telah rosak dan dirampas.

Syahid turut mengesahkan tiada kekasaran yang dilakukan pihak DBKL setakat ini.

Categories
NASIONAL

DBKL Cuba Usir Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 15 APR: Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka hari ini tegang apabila pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk mengusir aktivis tersebut dari tapak lokasi yang bersejarah itu.

Lima khemah yang baru didirikan pagi ini telah dibuka atas arahan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada kira-kira jam 2 petang.

Setakat laporan ini, hanya lima khemah yang tinggal di dalam kempen yang dimulakan semalam sebagai usaha untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk memansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, tindakan DBKL itu dapat tentangan daripada orang awam yang turun untuk memberi sokongan kepada kumpulan 30 orang mahasiswa yang bermalam di dalam khemah tersebut.

Seorang individu dilihat berbalah dengan pegawai DBKL yang cuba mengarahkan aktivis tersebut untuk menurunkan khemah mereka.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang diadirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, pelawat-pelawat yang mengunjungi mereka telah  memberikan satu suntikan semangat untuk mereka terus bertahan di situ.

“Kedatangan Pak Samad (A.Samad Said), Datuk Ambiga dan ahli-ahli Majlis Peguam dan beberapa aktivis lain di lokasi perkhemahan kami telah menambahkan semangat kami untuk terus bertahan.

“Tak cukup dengan itu, mereka turut membawakan bekalan makanan kepada kami.

“Selain itu kami turut menerima kunjungan orang ramai samada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing dan kami telah mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepada mereka.

“Rata-rata orang ramai yang datang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami,” beritahu Syahid kepada TVS.

Gerakan mahasiswa tersebut turut mengadakan beberapa program di lokasi perkhemahan seperti mengadakan forum, pidato, sesi penerangan dan ‘flash mob’.

Himpunan semalam menarik hampir 4,000 anak-anak muda untuk berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka supaya PTPTN dihapuskan dan diganti dengan pendidikan percuma.

Selain golongan mahasiswa demontrasi tersebut turut mendapat sokongan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis sosial lain.

Antara yang kelihatan di dalam demontrasi semalam ialah Ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, MP Batu, Tian Chua, MP Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj, aktivis sosial terkenal, Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

Perarakan demontrasi petang semalam telah bermula jam dua petang bermula dari masjid jamek, menuju bangunan Sogo (melalui Jalan Raja Laut), bergerak di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.

Berbeza dengan siri-siri demontrasi sebelum ini yang mengundanng kehadiran anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan berakhir dengan keganasan, demontrasi petang semalam berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang kekacauan.

Orang ramai yang ditemui di arked membeli-belah sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman turut menyatakan mereka tidak merasa sebarang kebimbangan akan keselamatan mereka dengan kehadiran kumpulan protes tersebut.

Sebaliknya orang ramai yang sedang membeli belah tetap meneruskan urusan masing-masing.

Berapa peniaga pula memberitahu keadaan akan menjadi tidak terkawal dan menakutkan apabila demontrasi yang dijalankan mendapat halangan pihak polis.