Categories
NASIONAL

Ambiga : Tidak Boleh Adakan Persempadanan Semula Tanpa Pembersihan SPR

Sinopsis : BERSIH 2.0 menyokong Black505 kerana Bersih setuju bahawa
PRU 13 adalah terburuk yang pernah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya, kata pengerusi bersama NGO itu Datuk S Ambiga.

Selepas ini SPR akan melakukan persempadanan semula. BERSIH menggesa Ahli-Ahli Parlimen menghalang SPR berbuat demikian selagi isu penipuan PRU13 tidak diselesaikan.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

BERSIH Sokong Himpunan ‘Blackout 505’ 15 Jun – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 04062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil, Ambiga Sreenevasan, menyokong hak Pakatan Rakyat menganjurkan himpunan aman Black 505 di ibu negara, 15 Jun ini.

2. Kemeterian Dalam Negeri dan Polis Di-Raja Malaysia tidak akan berkompromi dengan pegawai polis yang terlibat dengan kes kematian dalam tahanan.

3. Perlantikan empat wanita bagi portfolio penting dalam jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor atau exco, mendapat reaksi yang positif daripada khalayak umum.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adam Adli Didakwa Di Bawah Akta Hasutan

adam adli screen grab 01

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim, 24, mengaku tidak bersalah selepas dituduh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur kerana menghasut di dalam sebuah ucapannya pada forum Pidato Rakyat 13 Mei lepas.

Adam Adli didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 ekoran ucapannya pada malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksima selama tiga tahun, atau didenda RM 5,000 atau kedua duanya sekali.

Hakim Norsharidah Awang, membenarkan Adam Adli dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM 5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Julai 2013 untuk sebutan kes.

Dalam penghujahan peguam belanya N Surendran, Adam sepatutnya dibebaskan tanpa ikat jamin memandangkan beliau adalah seorang pelajar manakala bapanya adalah bekas pesara kerajaan.

Menurut Surendran, sebagai anak muda yang lantang menyuarakan suara rakyat, dakwaan yang dikenakan terhadap beliau perlu dibatalkan kerana tidak mempunyai asas.

“Dakwaan telah dibuat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Kita beritahu mahkamah ini merupakan dakwaan yang tidak mempunyai sebarang asas langsung.

“Bekas Hakim Mahkamah Rayuan (Datuk Mohd Noor Abdullah) yang mengeluarkan kenyataan memecahkan perkauman tidak ada tindakan yang diambil.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kata Akta Hasutan ini dimansuhkan tapi ianya masih digunakan Akta Hasutan yang zalim dan jahat.

“Jadi kita tolak salah guna kuasa seperti ini dan kita akan failkan permohonan membatalkan dakwaan ini di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Selain N Surendran, Adam Adli turut diwakili empat peguam lain iaitu Datuk S Ambiga, Michelle Yesudass, Muhammad Afiq M Noor dan Shamsul Iskandar Mat Akin.

Sementara itu, Ambiga melontarkan persoalan kepada Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara mengapa menjadikan Adam Adli sebagai sasaran semata-mata.

“Kenapa sengaja mensasarkan Adam Adli sedangkan orang lain telah membuat kenyataan lebih parah tetapi dilepaskan dan tidak disiasat.

“Ini adalah dakwaan terpilih dan penyalahgunaan sistem mahkamah.
Untuk menggunakan undang-undang, seharusnya dilaksanakan sama rata.

“Akta Hasutan seharusnya dimansuhkan dan tiada sesiapa pun patut didakwa dibawah akta ini,” jelasnya lagi.

Adam Adli meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar jam 11.40 pagi selepas bayaran ikat jamin dibuat sambil diiringi hampir 50 orang penyokong beliau.

Sebelum ini, Adam ditahan reman selama lima hari sejak 18 Mei lalu selepas ditangkap berhubung kenyataan beliau yang dibuat semasa forum selepas pilihan raya itu yang dianjurkan Suara Anak Muda Malaysia (SAMM).

Categories
NASIONAL

SPR Gagal Kikis Tanggapan Berat Sebelah, Tidak Adil Di Mata Rakyat

ambiga persidangan pru 13 01

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengikis tanggapan umum bahawa ia bebas dari pengaruh mana-mana parti politik dan tidak berat sebelah.

Ini disebabkan beberapa kenyataan SPR sebelum ini yang membuktikan bahawa badan itu tidak bersikap adil kepada semua parti politik dan menguntungkan Umno-BN.

Menurut Pengerusi Bersama NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan, semua parti politik haruslah diberikan layanan sama rata.

“Masalahnya sekarang pihak yang diberi tanggungjawab ini SPR adalah sebuah badan yang semakin hilang kepercayaan rakyat.

“Begitu juga dengan kebebasan media untuk pembangkang, ianya bagaikan satu gurauan.

“Dakwaan mereka kononnya negara ini amalkan kebebasan media adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat,” kata Ambiga dalam Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia hari ini.

Ambiga juga melahirkan rasa kesal apabila SPR tahun lalu mengeluarkan kenyataan kononnya tidak mempunyai masa mencukupi untuk membersihkan daftar pemilih.

“Mereka cakap tidak cukup masa, sampai sekarang dah 10 bulan berlalu, apa yang mereka buat??

Sementara itu, Ambiga turut berkata BERSIH 2.0 akan menggerakkan kira-kira 10,000 sukarelawan pemantau bagi memantau dalam PRU-13 nanti.

Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia merupakan persidangan yang dianjurkan Pejabat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persidangan yang asalnya dirancang diadakan di bangunan parlimen itu dipindahkan ke Kelab Taman Perdana Diraja disebabkan tidak mendapat kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Persidangan yang diadakan dua hari itu turut dihadiri panelis yang terdiri pelbagai latar belakang politik, pertubuhan dan wakil antarabangsa.

ends

Categories
NASIONAL

Keganasan Politik: KDN Jangan Berat Sebelah

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak menyiasat dakwaan Pakatan Rakyat (Pakatan) bahawa wujud satu rancangan intimidasi yang bertujuan menafikan hak rakyat berpolitik di negara ini.

Ini kerana dari Februari tahun ini sehingga kini, terdapat 11 kejadian intimidasi, keganasan dan kekerasan terhadap pemimpin, aktivis dan program Pakatan di seluruh negara.

Terbaru, Pengerusi Little India Joint Action Committee, S Pathavachalam menerima satu ugutan bunuh berbaur politik pada 16 Ogos lalu oleh seseorang bernama ?Suddukattu Ravi?.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendakwa individu tersebut mengugut untuk membunuh Pathavachalam kerana mempersoalkan projek pembangunan semula IPD Brickfields, Kuala Lumpur.

?Walaupun laporan polis dibuat, beliau telah menerima panggilan kedua dari individu yang sama mengulangi ugutan bunuh tersebut serta mengatakan tiada gunanya beliau membuat laporan kerana ‘polis dan kerajaan dalam tangan saya’,? kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian di dalam satu memorandum yang diserahkan kepada pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya di sini semalam.

Memorandum itu dihantar oleh Nurul Izzah, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dan ahli majlis pimpinan pusat PKR, Sivarasa Rasiah.

?Kami memohon agar KDN menyiasat jika wujud satu perancangan sistematik intimidasi politik melalui insiden-insiden keganasan politik ini,? Nurul Izzah berkata.

Memorandum itu juga mendesak agar orang awam seperti Pathavachalam serta ahli-ahli keluarga mereka dilindungi dari ugutan hanya kerana berbeza pandangan politik.

Antara insiden yang disenaraikan memorandum itu ialah :

1) tindakan membaling batu, telur dan botol air mineral ke para hadirin dalam program ceramah perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung pada 24 Mei di PPR Pantai Permai, Pantai Dalam.

2) serangan batu dan telur ke atas program ?hi-tea? anjuran dua ADUN DAP dan pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan di Merlimau, Melaka pada 19 Mei.

3) serangan terhadap rombongan Naib Presiden PKR, N. Surendren ke Pejabat Perdana Menteri pada 2 Mei, Putrajaya yang mengakibatkan seorang ahli PKR, Murali mengalami kecederaan.

4) serangan terhadap dua ahli DAP iaitu Ganabatirao dan Raidu di Taman Mutiara, Jalan Meru, Klang pada 30 Mei yang mengakibatkan mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami tulang retak, hidung dan tangan patah.

5) ugutan kekerasan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta serangan ke atas dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh oleh ahli-ahli Umno dan Perkasa sewaktu perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota, Pulau Pinang pada 26 Feb.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Lancarkan Tabung Bantuan Guaman Ambiga, BERSIH 3.0

SHAH ALAM 24 MEI : Satu tabung bagi menampung saman tuntutan gantirugi dan kos guaman terhadap Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga dan sembilan ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih dilancarkan hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Exco Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar, tabung itu juga akan digunakan untuk membantu kos guaman peserta-peserta Bersih 3.0 yang ditangkap selain 113 peserta yang dikehendaki pihak polis.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap aspirasi Bersih agar dapat menyumbang sekurang-kurangnya RM 1 setiap seorang bagi tujuan murni ini.

“Walaupun pada dasarnya Kerajaan Selangor mampu menyediakan dana tersebut tetapi kita berpendapat bahawa semua rakyat harus komited dan terlibat secara langsung dalam merealisasikan agenda dan matlamat Bersih,” ujar Dr. Xavier dalam kenyataannya.

Kerajaan Umno-BN telah menfailkan saman terhadap Ambiga dan jawatankuasa tersebut bagi menuntut ganti rugi RM122,000 untuk memperbaiki 15 kenderaan. Kenderaan tersebut didakwa rosak di dalam kekecohan yang berlaku pada himpunan BERSIH 3.0 pada April 28 lalu.

Dr Xavier menambah, sebuah sekretariat juga akan ditubuhkan bagi mengumpul dana kutipan dari orang ramai.

“Kita juga akan memaklumkan kepada orang ramai satu nombor akaun dalam masa terdekat untuk tujuan mengumpul sumbangan orang ramai.

“Sekretariat juga akan melancarkan ‘nationwide roadshow’ bagi menangkis segala tohmahan dan gambaran negatif yang Kerajaan Umno-BN lemparkan terhadap Bersih 3.0 menerusi media arus perdana,” jelasnya sambil selagi lagi menyeru seluruh rakyat menyumbang demi usaha murni tersebut.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah Buat Laporan Polis Terhadap Ganguan Depan Rumah Ambiga

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam telah membuat satu laporan Polis terhadap kumpulan yang mendirikan gerai-gerai perniagaan secara haram di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Menurut Nurul Izzah, tindakan kumpulan tersebut mendirikan gerai perniagaan bukan sahaja menimbulkan gangguan terhadap Ambiga dan jiran-jirannya malah turut melakukan gangguan seksual terhadap mereka.

“Bukan mendirikan gerai-gerai sahaja, tetapi juga poster berbaur lucah melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ambiga, yang tak boleh diterima langsung.

“Cara mereka tidak menunjukan akhlak yang begitu baik. Kita menghormati hak asasi rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tetapi perlulah menghormati ‘privacy’ dan undang-undang tidak boleh hanya dikuatkuasakan kepada kumpulan yang anti kerajaan,” ujar Nurul Izzah kepada TVS hari ini.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Damansara itu, kumpulan tersebut turut mengeluarkan kenyataan yang berbaur amaran terhadap Ambiga, Anwar dan BERSIH 3.0.

Menurut laporan itu juga, pertubuhan pro-Umno, Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia) dan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) juga bercadang untuk hadir esok untuk membuat kekacauan.

Nurul Izzah turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak berkuasa yang melakukan pendakwaan terpilih.

“Saya kecewa kerana pada masa yang sama mereka mendakwa Anwar, Azmin Ali dan Chegu Bard serta Ambiga yang baru disaman oleh kerajaan Malaysia.

?Tetapi membiarkan pelaku-pelaku yang membuat gangguan terhadap Ambiga walau telah dijelaskan ada peruntukan undang-undang untuk memaksa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap mereka.

“DBKL bertanggungjawab mengguna duit cukai negara untuk memadam semula kerja-kerja vandalisma yang mereka buat atas jalan raya, tetapi kenapa vandalisma yang mereka buat itu tidak didakwa.

“Bayangkan semasa BERSIH 3.0, DBKL telah mengguna undang-undang kecil dan polis diarah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kemasukan peserta BERSIH 3.0 ke Dataran Merdeka yang merupakan tempat awam yang tiada sesiapa yang tingga di situ.

“Saya bukan bercakap tentang pegawai bawahan. Saya cakap tentang Timbalan Ketua Polis Negara, saya bercakap tentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar, macam tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghentikan perbuatan mereka itu,” ujar beliau lagi.

Turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat itu, kumpulan terlibat telah  melanggar beberapa akta termasuk Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Keseksaan.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Disamping menghormati hak asasi rakyat, Nurul Izzah berkata pihak terlibat juga harus menghormati kenteraman pihak lain khususnya apabila melibatkan kawasan peribadi atau kediaman seseorang.

“Saya tidak tolak kalau hendak berdemo dan sebagainya, tetapi yang saya hendak persoalkan ialah bila mencerobohi kawasan ‘privacy’ yang bukan tempat umum berhampiran perkarangan rumah orang, kalau depan rumah menteri kabinet pun saya tak bersetuju,” beritahu beliau.

Menurut Nurul Izzah lagi selain beliau, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng turut membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap kumpulan yang mendakwa kononnya mewakili para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Categories
NASIONAL

Ambiga : Tuntutan Ikhlas, Biar SUHAKAM Siasat

KUALA LUMPUR, 19 MEI : Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga mempersoalkan tindakan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Bumiputera Malaysia (Ikhlas) menuntut ganti rugi lebih RM1 juta yang didakwa akibat penganjuran BERSIH 3.0 di sekitar Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Beliau berkata, Ikhlas dilihat cuba mengaitkan BERSIH dalam isu itu walhal ia boleh dipertikaikan kerana kalangan peniaga lain menjalankan perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut.

Katanya, BERSIH amat sangsi dengan kenyataan dibuat persatuan peniaga itu kerana ketika ini pula NGO tersebut menyatakan kesal kerana warga asing dikatakan menguasai kawasan perniagaan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Sekarang mengatakan warga asing berniaga pula. Apakah tujuan mereka dan sampai hari ini mereka tidak mengemukakan hal kerugian mereka kepada saya. Tiada sebarang maklumat tentang tuntutan mereka tetapi saya dengar mereka telah pergi ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Itu cara yang baiklah. Biar mereka buat tuntutan mereka di SUHAKAM dan kita akan melihat bagaimana SUHAKAM akan membantu dan menasihati mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ambiga berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah dalam laporan media hari ini yang menyatakan kekesalan dengan kebanjiran peniaga asing yang memonopoli pusat beli belah Jalan Tunku Abdul Rahman seolah-olah menyekat peluang peniaga Bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, didapati 80 peratus daripada keseluruhan lot niaga di situ dikuasai peniaga asing termasuk dari Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan beberapa peniaga dari rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini Ikhlas menyatakan mengalami kerugian hampir puluhan ribu ringgit berikutan himpunan BERSIH 2.0 dan 3.0 sehingga bertindak membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga pada 10 Mei lalu tetapi kenyataan terbaru itu memberi gambaran berlainan.

Mengulas lanjut, Ambiga menjelaskan perkara itu sengaja dijadikan isu dengan memberi gambaran bahawa penganjuran BERSIH membuatkan peniaga mengalami kerugian.

“Persoalannya isu ini bukan melibatkan BERSIH sahaja tetapi juga yang lain. Kalau ada acara lain dengan jalan ditutup seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sebagainya, tetapi kalau mereka membuka perniagaan mungkin akan mendapat untung kerana kalau dilihat gerai makanan dan minuman yang dibuka beroleh untung yang banyak,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa Kok Mengecam Tindakan Polis Berdiam Diri Dalam Protes Anti-Ambiga

 

SHAH ALAM, 16 MEI : Exco Selangor Teresa Kok mengecam sikap polis yang tidak mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi berterusan di hadapan rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk Ambiga Sreenevasan beberapa hari lepas.

Teresa mempersoal kenapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar membenarkan kumpulan terbabit mengadakan senaman punggung dan demonstrasi burger di hadapan rumah Ambiga.

Menurut Teresa, tindakan boleh diambil terhadap NGO tersebut di bawah Seksyen 506 dan 509 Akta Ugutan dan Gangguan Seksual kerana menganggu keharmonian kawasan perumahan dan mengugut keluarga Ambiga.

“Tindakan sedemikian ini hanya bertujuan memalukan Ambiga sekeluarga dan turut mengganggu ketenteraman kawasan rumah disekitarnya,” kata Teresa, yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.

Sebelum ini, sekumpulan peniaga burger dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memasak burger di hadapan rumah Ambiga, seorang penganut agama Hindu, dan menggantung makanan tersebut di pintu pagar beliau.

Agama Hindu menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.

Semalam, seramai 20 orang dari Kelab Kebajikan dan Veteran Tentera (PVTM) mengadakan senaman ‘punggung’ di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.

Khalid mempertahankan sikap polis dengan mengatakan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA), membenarkan semua orang boleh berhimpun asalkan notis diberi notis kepada polis dan  tidak mengganggu ketenteraman awam.

Teresa juga mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.

“Najib selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga perlu bertindak terhadap polis kerana lepas tangan dari mengambil sebarang tindakan,” katanya yang juga MP Seputeh dan Adun Kinrara.

Katanya lagi, kerajaan pusat perlu menghentikan tindakan berdiam diri terhadap kumpulan itu untuk mengelak dari tanggapan bahawa mereka disokong kerajaan pusat.

ends

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.

Categories
NASIONAL

DBKL Cuba Usir Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 15 APR: Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka hari ini tegang apabila pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk mengusir aktivis tersebut dari tapak lokasi yang bersejarah itu.

Lima khemah yang baru didirikan pagi ini telah dibuka atas arahan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada kira-kira jam 2 petang.

Setakat laporan ini, hanya lima khemah yang tinggal di dalam kempen yang dimulakan semalam sebagai usaha untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk memansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, tindakan DBKL itu dapat tentangan daripada orang awam yang turun untuk memberi sokongan kepada kumpulan 30 orang mahasiswa yang bermalam di dalam khemah tersebut.

Seorang individu dilihat berbalah dengan pegawai DBKL yang cuba mengarahkan aktivis tersebut untuk menurunkan khemah mereka.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang diadirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, pelawat-pelawat yang mengunjungi mereka telah  memberikan satu suntikan semangat untuk mereka terus bertahan di situ.

“Kedatangan Pak Samad (A.Samad Said), Datuk Ambiga dan ahli-ahli Majlis Peguam dan beberapa aktivis lain di lokasi perkhemahan kami telah menambahkan semangat kami untuk terus bertahan.

“Tak cukup dengan itu, mereka turut membawakan bekalan makanan kepada kami.

“Selain itu kami turut menerima kunjungan orang ramai samada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing dan kami telah mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepada mereka.

“Rata-rata orang ramai yang datang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami,” beritahu Syahid kepada TVS.

Gerakan mahasiswa tersebut turut mengadakan beberapa program di lokasi perkhemahan seperti mengadakan forum, pidato, sesi penerangan dan ‘flash mob’.

Himpunan semalam menarik hampir 4,000 anak-anak muda untuk berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka supaya PTPTN dihapuskan dan diganti dengan pendidikan percuma.

Selain golongan mahasiswa demontrasi tersebut turut mendapat sokongan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis sosial lain.

Antara yang kelihatan di dalam demontrasi semalam ialah Ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, MP Batu, Tian Chua, MP Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj, aktivis sosial terkenal, Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

Perarakan demontrasi petang semalam telah bermula jam dua petang bermula dari masjid jamek, menuju bangunan Sogo (melalui Jalan Raja Laut), bergerak di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.

Berbeza dengan siri-siri demontrasi sebelum ini yang mengundanng kehadiran anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan berakhir dengan keganasan, demontrasi petang semalam berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang kekacauan.

Orang ramai yang ditemui di arked membeli-belah sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman turut menyatakan mereka tidak merasa sebarang kebimbangan akan keselamatan mereka dengan kehadiran kumpulan protes tersebut.

Sebaliknya orang ramai yang sedang membeli belah tetap meneruskan urusan masing-masing.

Berapa peniaga pula memberitahu keadaan akan menjadi tidak terkawal dan menakutkan apabila demontrasi yang dijalankan mendapat halangan pihak polis.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ambiga: BERSIH 3.0 Tetap di Adakan Di Dataran Merdeka

SHAH ALAM 11 APR: Penganjur BERSIH 3.0 menegaskan bahawa perhimpunan itu tetap akan diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April walau dipujuk kerajaan supaya memindahkannya ke lokasi lain.

Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, cadangan yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu tidak boleh dipersetujui.

Katanya, penganjur memilih Dataran Merdeka itu kerana berkaitan dengan sejarah dalam perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan dan demokrasi Malaysia.

“BERSIH 3.0 tidak melihat satu keperluan untuk menukar tempat untuk duduk dan bantah pada perhimpunan BERSIH kali ini,” katanya.

Tambahnya, penganjur tidak dapat menerima alasan bahawa perhimpunan itu tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka memandangkan banyak acara lain telah diadakan di situ seperti ulangtahun ke-205 Polis Diraja Malaysia.

Selain Hishammuddin, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz juga menggesa BERSIH 3.0 supaya meminta kebenaran pemilik lokasi tersebut sebelum mengadakan perhimpunan itu.

Padang yang sering digunakan untuk konsert dan perbarisan peringkat nasional itu diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ambiga tidak menyebut bahawa penganjur akan mendapatkan kebenarakan DBKL, namun beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa tersebut akan menulis surat kepada polis untuk memaklumkan rancangan mereka.

“Kami berharap bahawa pihak polis akan membantu dalam memudahkan aliran trafik pada 28 April itu, sepertimana mereka berbuat pada beberapa perhimpunan awam sebelum ini,” katanya.

Selain Hishammuddin, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz juga menggesa BERSIH 3.0 supaya meminta kebenaran pemilik lokasi tersebut sebelum mengadakan perhimpunan itu.

Ambiga juga berkata Akta Berhimpun Secara Aman (PPT) tidak lagi berkuat kuasa, sambil menambah bahawa BERSIH 3,0 berpendapat bahawa PPT melanggar jaminan perlembagaan kebebasan berhimpun, katanya.